Monday, March 16, 2009

Gobind digantung tugas setahun isu Najib-Altantuya



Wakil rakyat DAP Gobind Singh Deo digantung tugas sebagai ahli parlimen selama setahun selepas mengaitkan timbalan perdana menteri dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Usul yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz diluluskan melalui undi mulut selepas dibahas selama kira-kira 40 minit.

Sewaktu pengundian dijalankan, kesemua ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan sebagai tanda membantah.

Usul tersebut dibentangkan pada kira-kira jam 11.30 pagi di hadapan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pembentangan usul tersebut dibantah keras oleh pembangkang, sehingga menimbulkan kebuntuan hampir satu jam.

Pandikar hanya dapat mengawal keadaan pada kira-kira 12.30 tengahari dan membenarkan ahli-ahli parlimen membahaskan usul tersebut.

Usul terhadap ahli parlimen Puchong kerana dianggap menghina dewan berhubung tuduhannya terhadap Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam pembunuhan wanita Mongolia itu.

Minggu lepas, anak lelaki Pengerusi DAP Karpal Singh itu digantung tugas sehari kerana kenyataannya tersebut.


Teks lengkap usul seperti berikut:

1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan mencadangkan:

Bahawa pada 12 Mac 2009, Yang Berhormat Tuan Gobind Singh Deo, ahli parlimen kawasan Puchong semasa perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendakwa YAB timbalan perdana menteri, ahli parlimen kawasan Pekan terlibat dalam kes pembunuhan.

Bahawa Yang Berhormat ahli parlimen kawasan Puchong juga telah
mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghina Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat setelah diperintah keluar Dewan.

Dan bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat ahli parlimen kawasan Puchong adalah merupakan satu dakwaan yang sangat serius dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai ahli parlimen serta merupakan satu penghinaan kepada Dewan ini.

Maka inilah dipersetujui bahawa Yang Berhormat ahli parlimen
kawasan Puchong hendaklah digantung tugas dari jawatannya sebagai ahli parlimen selama dua belas (12) bulan dari tarikh keputusan usul ini diluluskan.

Dalam masa penggantungan ini Yang Berhormat ahli parlimen kawasan Puchong tidak akan dibayar kesemua bayaran elaun dan kemudahan sebagai seorang Ahli Parlimen.

2 comments:

Tok Pambu said...

Bukit Gantang mempunyai penduduk melayu sebanyak 63%

Mungkin kah semua penduduk melayu ini 100% menyokong BN?
Jawapan nya TIDAK MUNGKIN.

Jika 25% SAHAJA penduduk melayu ini menyokong PR, maka BN akan TUMBANG.

Kami kaum india dan cina akan berdiri teguh dihadapan PAS bersama sama DAP dan PKR @ Pakatan Rakyat

Ali Abdullah said...

Salam Bro,

Mungkin pakatan rakyat telah lupa, bahawa isu pergantungan itu tidaklah seberapa sangat jika dibandingkan dengan keceluparan seorang yang bergelar ahli parlimen menuduh Timbalan Perdana Menteri sebagai seorang pembunuh.

Apakah Gobind Singh juga merupakan seorang yang suka mengeluarkan kenyataannya tanpa bukti dan fakta yang kukuh? Jika itulah beliau, maka apakah yang kita dapat katakan tentang perkara yang lain, apakah beliau selama ini cuma bercakap ikut sedap mulut?

Jika dijadikan sebaliknya, apakah tindakan beliau terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan yang sama terhadapnya? Kita juga telah tahu siapa pakatan rakyat ini sebenarnya, mereka inilah yang banyak membuat persepsi tidak baik terhadap kepimpinan negara. Mereka inilah perosak minda masyarakat masa kini.