Thursday, March 19, 2009

Kita menghormati Lembaga Disiplin dan kita juga perlu dihormati oleh Lembaga Disiplin




Oleh : tepakberusulam

Lembaga Disiplin UMNO kini menjadi tumpuan dan fokus utama setelah lama agak dingin dan tidak menyengat. Seperti yang dikatakan oleh Rais Yatim , menteri luar , jika kita tidak menghormati Lembaga Disiplin UMNO siapa lagi yang mahu menghormati Lembaga disiplin UMNO. Betul kata Rais Yatim itu, jika kita orang UMNO tidak menghormati Lembaga Disiplin UMNO siapa lagi yang akan menghormati Lembaga Disiplin UMNO. Mungkin Rais boleh berkata demikian kerana bukan Rais yang menghadapi tindakan Lembaga Disiplin , belum tahu lagi samada Rais boleh menghormati Lembaga Disiplin UMNO jika terkena pada batang hidung beliau, oleh kerana menghormati UMNO , Rais yang dahulu membakar jambatan dan menyertai semangat 46 dan kembali kepada UMNO kerana menghormati UMNO. Apa-apa pun itu dahulu, masa berlalu , zaman berubah.

Sememangnya sebagai ahli UMNO kita perlu menghormati lembaga disiplin kerana jika bukan kita menghormati siapa lagi ? Tapi untuk di hormati , Lembaga Disiplin perlu memperlakukan seperti yang perlu dihormati. Baiklah , kita menghormati keputusan Lembaga Disiplin , kita terima kerana kita kena terima, tetapi kita juga tidak mahu menipu. Berapa kerat yang menghormati keputusan Lembaga Disiplin ini ? .Turunlah ke akar umbi dan bertanya kepada akar umbi dan tanya lah pemimpin UMNO , berapa kerat yang menghormati keputusan Lembaga Disiplin ini ? Kita jangan menipu diri kita sendiri. Kita jangan menyumbat perkara buruk di bawah karpet. Lambat laun ianya akan berbau juga. Jika Lembaga Disiplin mahu tahu apa kata akar umbi , eloklah kiranya diperjelaskan agar mereka tahu , apakah sebenarnya yang mereka pertikaikan,

1) Bagaimana Lembaga Disiplin implimentasikan cara memantau dan cara memilih mereka yang mahu disiasat ?

2) Mengapa hanya pemimpin dan calon tertentu saja yang dipilih untuk dibicarakan?

3) Apakah dengan siasatan yang dilakukan oleh Lembaga Disiplin kepada sebilangan calon dan ahli UMNO ini bererti semua yang lain adalah bersih? .

4) Apakah hanya berdasarkan aduan tertentu sahaja Lembaga Disiplin mengambil sebagai kes Disiplin UMNO?

5) Mengapa Ali Rustam , Khairy Jamaluddin , Khir Toyo , Azalina Othman Said, Datuk Norza sahaja yang disiasat? Bagaimana dengan Mukhriz? Muhiyuddin Yassin , Mohammad Mohd Taib , Sharizat , Rafidah dll ? Apakah Lembaga Disiplin telah merasa yakin bahawa mereka - mereka ini bersih walaupun tidak ada sesiapa yang membuat aduan.

6) Mengapa Mukhriz tidak disiasat ? Semua orang tahu apa yang berlaku walaupun Lembaga Disiplin yang tidak tahu , Apa jaminan Lembaga Displin memastikan Mukhriz bersih, Muhiyuddin Yassin bersih ?

Saya setuju dengan saranan Hishamuddin –

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata semua calon yang bertanding pada pemilihan Umno, termasuk dirinya sepatutnya disiasat. Calon Naib Presiden Umno itu berkata sekiranya ada bukti kukuh maka tindakan daripada Lembaga Disiplin Umno dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlulah adil kerana kredibiliti mereka sentiasa diuji.

“Saya harap semua termasuk diri saya sendiri perlu disiasat. Dengan syarat bahawa siasatan itu adil dan tidak ada syak wasangka bahawa calon tertentu sahaja disiasat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno yang dipengerusikan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Menara Parlimen di sini hari ini.

7) Kenapa hanya yang memberi disiasat dan diambil tindakan oleh Lembaga Disiplin , kenapa yang menerima dan yang membuat aduan mereka menerima tidak diambil tindakan. Menerima adalah lagi buruk dari memberi.

9) Kenapa yang disiasat adalah orang-orang yang rapat dengan Pak Lah, bermula dengan Datuk Norza , Ali Rustam , Khairy Jamaluddin , saya tidak mahu menyebut Khir Toyo dan kemungkinan besar Azalina akan dipanggil dan sekiranya Azalina disabit kesalahan fasa 10.1 jiga Lembaga Disiplin mengaitkan dengan SU beliau yang ditahan oleh SPRM , sahlah kesemua yang terbabit adalah orang-orang Pak Lah kerana Khir Toyo tela terselamat dari tuduhan.

10) Kenapa baru sekarang , tinggal beberapa hari saja lagi untuk perhimpunan UMNO , baru Lembaga Disiplin mengumumkan keputusan siasatan , kerana untuk membuat rayuan dan untuk Lembaga Disiplin menimbang dan mengemukakan kembali rayuan mungkin mereka ini tidak sempat untuk bertanding. sama macam tidak perlu membuat rayuan.

Tidak keterlaluan saya katakan apa yang berlaku sekarang membuat ahli UMNO bosan dan membuat ahli UMNO takut untuk bersama UMNO dan apa yang berlaku sekarang tidak lebih dari membersihkan UMNO dari ahli-ahli dan bukan membersihkan politik wang dalam UMNO. Budaya yang berlapuk ini tidak mungkin boleh dicuci dalam masa setahun dua. Formula untuk membersihkan politik wang patut dikaji dengan lebih mendalam seperti yang disebut di atas tadi, jangan hanya menghukum yang memberi , hukum juga yang meminta dan menerima. Kesimpulannya , apakah nama -nama yang diumumkan oleh Lembaga Dispilin ini adalah key person yang boleh memulihkan politik wang dalam UMNO. Sejauh manakah keyakinan Lembaga Disiplin UMNO telah membuat satu keputusan yang membolehkan UMNO jadi bersih dengan tersingkirnya Datuk Norza , Ali Rustam , kemungkinan satu dua nama lagi .

Kita simpati dan ahli UMNO simpati dengan mangsa Lembaga Disiplin kerana mereka tahu akan impak yang dihadapi oleh mereka . Walaupun mereka tidak bersalah atau tidak pasti kesalahan mereka kerana mereka dipaksa menghormati keputusan Lembaga Disiplin. Peluang mereka terjejas dan semua kerja keras dihanyutkan saja kedalam longkang dan menanggung malu. Kerjaya mereka akan perlahan-lahan terkubur.

Apa yang berlaku hari ini dan pendedahan Lembaga Disiplin solah-olah menepuk air di dulang, mendedahkan keburukan ahli UMNO dan seolah membuka pekung di dada. Seolah pemimpin UMNO ini sememangnya kaki politik wang , kaki rasuah . lembaga Disiplin UMNO jugalah yang mengesahkan bahawa UMNO ini sebenarnya mempunyai pemimpin yang rasuah. Lihat apa yang terjadi di Melaka apabila pihak pembangkang mahu Ali Rustam disiasat oleh SPRM. Ini masaalah dalaman UMNO , UMNO seolah-olah berbanga dengan mengaibkan Ketua Menteri Melaka berkenaan. Lembaga Disiplin juga yang menghebahkan kepada dunia bahawa ahli dan pemimpin mereka mengamalkan rasuah Mengapa perlu dipanggil sidang akhbar. Apakah hanya kerana mahu menunjukkan bahawa lembaga disiplin UMNO menjalankan tugas. Jika benar mereka menjalankan tugas , jalankan secara menyeluruh. Siasat semua calon termasuk kerusi Presiden UMNO. Kalau setakat secara rambang dan hanya menyiasat yang terpilih sahaja dan bagaikan melepaskan batuk ditangga , tak perlu lah diperbesarkan perkara ini. Memburukkan lagi apaila UMNO melibatkan SPRM didlam rumah tangga UMNO. Sepatutnya Rumah tangga UMNO adalah tanggungjawab UMNO bukan suruhanjaya yang lain. Siapa yang memburukkan UMNO ?

Tiga pilihan raya kecil yang akan jalan serentak, setelah kalah dalam dua pilihan raya kecil yang lalu , apakah kita mampu tewas lagi. Senjata dan peluru telah pun disediakan oleh Lembaga Disiplin UMNO untuk menembak UMNO itu sendiri. Apakah kita mampu untuk tewas lagi . Apakah terlarat tentera UMNO berperang dan mengharungi peluru pembangkang dan diikuti oleh peluru yang dibekalkan oleh lembaga disiplin itu sendiri. Bila UMNO mahu berubah? Bila UMNO mahu menjadi bijak kerana pembangkang nampaknya lebih bijak dari kita sekarang. Semakin hari semakin kita robek kan kubu kita sendiri, lama-lama UMNO hanya tinggal pemimpin dan lembaga disiplin sahaja.

Bukalah mata , bukalah telinga , turun lah sendir idan dengar rintihan ahli UMNO. Ini adalah satu teguran ikhlas buat UMNO kerana saya sayangkan penulis sayangkan UMNO dan penulis malu melihat kemelut UMNO yang tiada henti. UMNO perlu direformasikan segera. Jangan punahkan UMNO dan janganlah lagi menanam kebencian rakyat kepada UMNO, dengarlah apa yang dirintihkan oleh rakyat kerana tanpa rakyat apa yang akan tinggal pada UMNO.

Dipetik dari www.tepakbersulam.com

No comments: