POLITIK HARIAN: Melayu pertikai kedudukan bangsa sendiri dan raja adalah biadab - Sultan Selangor

Saturday, March 7, 2009

Melayu pertikai kedudukan bangsa sendiri dan raja adalah biadab - Sultan Selangor




Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa kesal terhadap golongan Melayu yang terus mempersoalkan kedudukan bangsanya sendiri dan Raja-raja Melayu walaupun perkara itu termaktub dalam perlembagaan.


Baginda menyifatkan kumpulan orang Melayu ini sebagai biadab, tidak berbudi bahasa dan tidak merasa segan atau malu sedangkan mereka telah diasuh dari zaman nenek moyang atas landasan adat istiadat, budi pekerti, bersopan santun, hormat-menghormati dan sentiasa bermuafakat.


"Di atas landasan inilah maka orang Melayu disegani dan dihormati (tetapi) di mana orang Melayu sekarang?


"Negara baru mencapai kemerdekaan setengah abad, orang Melayu telah bercakaran, hilang maruah, hilang budi pekerti disebabkan terlalu ghairah untuk merebut kuasa hingga sanggup menggadaikan bangsa dan negeri," titah baginda ketika merasmikan upacara pembinaan semula Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz dekat sini, hari ini.


Sultan Sharafuddin turut melahirkan kebimbangan terhadap orang Melayu di Selangor yang telah berpecah belah disebabkan oleh berlainan fahaman politik.


Titah baginda, walaupun bangsa Melayu tidak mungkin akan hilang dari dunia, tetapi tidak ada gunanya sekiranya orang Melayu yang tinggal itu tidak bertamadun, tidak dihormati dan boleh dipermainkan serta diperalatkan.


"Beta sudah berkali-kali menyeru kepada rakyat Melayu di negeri Selangor ini supaya menghormati antara satu sama lain, memahami akan kedudukan satu dengan yang lain dan yang paling penting, mempercayai antara satu dengan yang lain.


"Jika orang Melayu sentiasa menyimpan syak wasangka antara satu dengan yang lain maka inilah yang akan menimbulkan rasa curiga, rasa sangsi dan cemburu yang menyebabkan timbulnya fikiran dan tindakan yang negatif sesama rakyat jelata," titah baginda.


Sultan Sharafuddin juga menyeru rakyat Selangor supaya bertenang dan merenung sedalam-dalamnya apa yang telah berlaku dan bertanya kepada diri sendiri sama ada mahu keamanan dan kesejahteraan hidup yang dirasai kini berterusan, atau bertelagah sesama sendiri sehingga memusnahkan negeri sendiri.


Baginda menyeru orang Melayu supaya bersatu apabila timbul isu-isu yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

1 comment:

RAZE M JAMALUDIN said...

Sedih tengok orang melayu sekarang, terlalu mudah lupa diri dan tidak menggunakan akal yang diberi untuk menilai sebelum bertindak. Terlalu banyak berperangsangka buruk hingga melemahkan bangsa sendiri. Sultan/Raja adalah benteng terakhir orang melayu....kalau ini pun nak di gadai hanya kerana KUASA DUNIA YANG HANYA SEMENTARA itu....entahlah...Sedarlah bangsaku