Wednesday, March 18, 2009

Penyokong Ali Rustam jumpa PM


Kira-kira 150 penyokong Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertemu Perdana Menteri malam tadi meminta beliau mempertimbangkan keputusan Lembaga Disiplin Umno yang melarang Ketua Menteri Melaka itu bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan.

Kumpulan penyokong dari Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak dan Pulau Pinang itu, berkumpul di TUDM Subang kira-kira pukul 9 malam bagi menunggu ketibaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dari Indonesia yang tiba kira-kira pukul 10.45 malam.

Ketua Umno Bahagian Batu Gajah, Datuk Mohd Yusoff Kassim ketika ditemui media di sini malam ini berkata mereka sempat menemui Abdullah dan menyampaikan harapan supaya Presiden parti itu mengkaji semula keputusan yang dibuat.

"Kami meminta Perdana Menteri supaya mempertimbangkan semula keputusan untuk melarang Mohd Ali (bertanding) dan beliau memberikan respons yang positif," katanya.

Menurut Mohd Yusoff, pada pertemuan hampir 20 minit itu, Abdullah berjanji akan memikirkan perkara itu dan akan menemui Mohd Ali esok.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengumumkan bahawa Mohd Ali dilarang daripada bertanding pada pemilihan parti setelah beliau didapati melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno, yang melibatkan politik wang.

Lembaga Disiplin itu juga mendapati Naib Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, yang merupakan calon Ketua Pemuda, bersalah kerana melanggar perkara yang sama tetapi hanya diberi amaran.

Lembaga itu bagaimanapun mendapati bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, juga calon Ketua Pemuda Umno, tidak melanggar tataetika ahli parti. BERNAMA

TERUSKAN PERJUANGAN!


Calon Timbalan Presiden UMNO

No comments: