Saturday, March 7, 2009

Penyokong himpunan bantah dasar bahasa Inggeris rempuh polis



Beratus-ratus penyokong Perhimpunan 100,000 Rakyat, dianjur bagi membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingeris (PPSMI), merempuh polis tetapi berjaya disuraikan daripada memasuki kawasan Istana Negara.

Beratus-ratus penyokong merempuh sekatan polis - bermula di Masjid Negara kira-kira pukul 2 petang tadi untuk menuju ke Istana Negara.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Kira-kira 20 minit kemudian mereka melepasi Jalan Kg. Atap menuju ke Jalan Istana.

Bagaimanapun mereka ditahan di laluan Jalan Kg. Atap-Jalan Syed Putra daripada memasuki kawasan Jalan Istana.

Sebaik sahaja mereka tiba di kawasan pertemuan Jalan Syed Putra-Jalan Kg. Atap, anggota pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata.

Mereka bertindak merempuh pintu besar Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas tidak berpuas hati dengan keputusan polis yang hanya membenarkan tujuh wakil perhimpunan itu bergerak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kira-kira pukul 2.30 petang tadi, hanya Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang berada di pintu masuk utama ke Istana Negara.

Difahamkan beliau memasuki kawasan Istana Negara pukul 2.35 petang dan keluar 15 minit kemudian. Memorandum diserahkan kepada Penolong Datuk Paduka Maharajalela Azuan Effendy Zairakithanini.

Sepatutnya tujuh orang dimaklumkan telah mendapat kebenaran untuk memasuki Istana Negara bagi menyerahkan memorandum.

Terdahulu mereka berhimpun di kawasan Masjid Negara walaupun berhadapan dengan hujan renyai-renyai.

Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditempatkan di kawasan Masjid Negara juga tidak mampu untuk menahan kumpulan berkenaan daripada 'melepasi' garisan kawalan keselamatan.

Helikopter PDRM juga berlegar memantau pergerakan penyokong perhimpunan itu.

No comments: