Monday, March 16, 2009

Siapa bakal pemimpin generasi baru?


Hari ini, Mingguan Malaysia menyiarkan wawancara dengan calon-calon yang akan bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita UMNO.

Bagi jawatan Ketua Pemuda, tiga calon akan bersaing iaitu Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Dr.Mohamad Khir Toyo dan Khairy Jamaludin manakala bagi jawatan Ketua Wanita pula ia menyaksikan pertarungan antara penyandang jawatan, Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Sudah pastilah wawancara yang disiarkan akan memberikan sedikit pendedahan kepada perwakilan kedua-dua sayap itu untuk mengetahui serba sedikit mengenai calon-calon berkenaan. Melalui cara sedemikian, perwakilan akan memahami dan membuat pertimbangan yang sewajarnya berhubung siapa paling layak memimpin mereka.

Hakikatnya, dalam kedudukan UMNO sekarang selepas apa yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu serta kemunculan hampir 2 juta pengundi baru yang terdiri daripada generasi muda, pemilihan ketua yang tepat bagi kedua-dua sayap berkenaan amat penting.

Keputusan yang dibuat haruslah berasaskan kepada keyakinan bahawa pemimpin yang dipilih mampu menerajui sayap-sayap penting UMNO bagi meraih sokongan rakyat terutamanya generasi muda.

Atas sebab itulah, dalam membuat keputusan, para perwakilan tidak harus terjebak dengan sebarang taktik kotor yang mungkin digunakan oleh penyokong-penyokong calon bagi meraih kejayaan.

Sebaliknya, mereka perlu memperhitungkan dari semua segi sama ada pemimpin yang hendak dipilih itu benar-benar berwibawa dan serasi dengan kehendak generasi muda serta rakyat.

Dalam soal ini, keputusan berasaskan kepada persepsi, buruk sangka dan andaian harus diketepikan sama sekali. Penilaian tidak harus dilakukan secara lahiriah semata-mata tetapi juga melalui kajian yang mendalam mengenai kemampuan seseorang calon.

Mereka juga tidak harus terpengaruh dengan dakyah penulis-penulis buku politik yang akan muncul bagi melahirkan idea songsang bagi menjatuhkan mana-mana calon.

Bagi perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO, mereka mempunyai tiga pilihan sama ada memilih Mukhriz, Mohamad Khir atau Khairy. Ketiga-tiga mereka mempunyai track record dan pencapaian tersendiri.

Namun apa yang perlu difahami ialah cabaran yang menanti Pemuda UMNO amat getir. Pemuda memerlukan seorang ketua yang bukan sahaja mampu memimpin malah lebih penting berupaya mengatur strategi bagi memastikan generasi muda menyokong BN. Mereka tidak boleh memilih pemimpin yang dilihat mudah mengalah dan tidak tahan dengan tekanan memandangkan apabila menjadi ketua nanti, tekanan yang bakal diterima adalah lebih hebat berbanding segala senario yang berlaku ketika pemilihan.

Kriteria Ketua Pemuda yang diperlukan bukan sahaja berwawasan malah cukup bertenaga bagi melayan kehendak dunia generasi muda, ertinya bak kata orang di waktu pagi mampu hadir mesyuarat bersama Perdana Menteri, tengah hari menghadiri pertemuan peringkat antarabangsa, sebelah petang bermain futsal bersama para belia dan sebelah malam melayari internet bagi mendapat perkembangan terkini.

Justeru dalam membuat pilihan, perwakilan Pemuda perlu melihat kekuatan dan kelemahan seseorang calon. Mereka tidak boleh terperangkap dengan segala tohmahan, fitnah, persepsi dan buruk sangka. Kesemua calon harus diadili dengan seadil-adilnya dan bukannya dikorbankan hanya kerana persepsi atau andaian. Apa yang paling penting dalam mencari kemenangan semangat setiakawan di dalam Pemuda harus dikekalkan.

Jangan kerana berebut jawatan maka segala taktik kotor digunakan sehingga ia akhirnya akan menguntungkan pembangkang. Biarlah pertandingan berjalan secara adil dan saksama.

Pemuda hanya ingin memilih yang terbaik antara tiga calon yang bertanding dan bukannya mengundi untuk menguburkan karier politik sesiapa. Ketua yang akan dipilih harus mampu diterima oleh generasi muda selari dengan kehendak dan aspirasi mereka.

Tidak perlulah mana-mana penyokong calon memperkecilkan antara satu sama lain, ini adalah pemilihan dalam parti, ia hanya bersifat sementara sebelum barisan kepimpinan Pemuda turun ke gelanggang sebenar menentang barisan pembangkang.

Penyokong-penyokong calon tidak harus dalam pemilihan ini `mengumpul’ sebanyak mungkin ‘peluru’ untuk digunakan oleh pembangkang dalam pilihan raya. Kerusi Ketua Pemuda hanya satu, ertinya dua calon pasti akan kalah, persoalannya apakah kerana perebutan dalam parti segala-galanya harus ‘ditelanjangi’ yang akhir mengakibatkan UMNO kehilangan pemimpin?

Oleh itu kalau pun hendak menunjukkan keberanian dalam berkempen janganlah sampai semangat setiakawan dikorbankan kerana ketiga-tiga calon tersebut pun sudah pasti tidak akan merestuinya. Apa yang penting pemilihan ini harus bertujuan bagi memperkukuhkan parti dan bukannya menghancurkan UMNO.

Kepada perwakilan, mereka perlu sedar amanah yang ada pada diri mereka. Jangan terlalu mengambil kesempatan dengan menganggap persaingan sengit antara tiga calon itu akan membuka laluan kepada mereka untuk ‘menuai keuntungan’. Sikap terlalu melihat kepada ganjaran sehingga tersilap memilih ketua akan mendatangkan kesan yang amat buruk kepada pergerakan itu.

Bagi Wanita UMNO pula, setelah berlaku kontroversi berhubung bagaimana seharusnya jawatan ketua diwarisi, akhirnya penentuan akan dilakukan antara Rafidah dan Shahrizat.

Perwakilan Wanita akan membuat keputusan siapa yang mereka fikir layak untuk menerajui sayap berkenaan dan paling penting melalui keputusan itu, ia akan memaparkan bahawa mereka bijak memilih pemimpin.

Dalam soal ini, walaupun kaum wanita sememangnya dikenali sebagai golongan yang mempunyai emosi yang tinggi tetapi dalam membuat keputusan tersebut mereka perlulah matang. Ia bukan pertandingan untuk menyelamatkan karier politik sesiapa sebaliknya satu pemilihan bagi memastikan Wanita mempunyai pemimpin yang benar-benar layak bagi membantu UMNO dan BN dalam pilihan raya.

Oleh itu seperti juga pertandingan dalam Pemuda, perwakilan Wanita yang sudah tentu terdiri daripada mereka yang lebih tua daripada perwakilan Pemuda perlu matang dalam membuat keputusan.

Kalau mereka memikirkan bahawa era salah seorang calon sudah berlalu maka putuskan dalam pemilihan kali ini, begitu juga kalau mereka merasakan salah seorang calon tidak berkeupayaan untuk mengemudi Wanita bagi berhadapan cabaran getir yang menanti UMNO dan BN.

Segala-galanya diputuskan dengan matang dan bijak bukan berasaskan kepada persepsi apatah lagi terperangkap dengan sikap hipokrit mana-mana calon. Pemilihan ini bakal menentukan masa depan UMNO bukannya soal karier politik atau keserasian antara satu pemimpin dengan pemimpin yang lain. Apa guna keserasian dalam parti, kalau akhirnya UMNO ditolak oleh rakyat?

Oleh itu perwakilan Wanita perlu memikirkan semasak-masaknya siapa yang mereka mahu menjadi ketua mereka. Tidak perlulah buruk memburuk antara satu sama lain atau mana-mana calon yang merebut jawatan dalam pergerakan itu terlalu banyak bersandiwara.

Wanita UMNO adalah salah satu sayap terpenting dalam parti itu, selama ini ia sudah banyak memberi sumbangan kepada kejayaan BN. Justeru jangan sampai pergerakan berkenaan menjadi lemah hanya semata-mata kerana perebutan jawatan. Dalam soal ini kesemua calon yang bertanding tidak kira apa pun jawatan perlu ikhlas. Janganlah berpuak-puak atau merasakan diri kita sahaja hebat. Sama ada seseorang pemimpin itu hebat atau tidak, rakyat yang akan menentukannya dalam pilihan raya.

Jika rakyat merasakan Wanita UMNO sudah menyediakan barisan kepimpinan yang mantap sudah pasti mereka akan menyokongnya tetapi kalau mereka melihat ada sesuatu yang tidak kena kepada calon yang dipilih maka BN akan menerima pembalasannya.

Apa pun keadaannya, rakyat sedang memerhati apa yang berlaku dalam UMNO sekarang termasuklah di dalam Pemuda dan Wanita. Sama ada kedua-dua sayap itu akan mampu meraih sokongan rakyat atau tidak ia bergantung kepada saf kepimpinan yang bakal dipilih.

Pemuda dan Wanita memerlukan suntikan bukan sekadar untuk melihat ia cantik dari luar sahaja tetapi lebih penting berdaya tahan dalam berhadapan cabaran mendatang. Terserahlah kepada perwakilan untuk menentukannya tetapi apa yang diharapkan jangan sampai kerana terlalu taksub menyokong seseorang calon ia sampai mengorbankan calon yang benar-benar layak.



Merakyatkan Pemuda UMNO - KJ





Mukadimah



‘‘Jangan burukkan kawan-kawan’’ Itulah pesanan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin kepada jentera yang membantu beliau berkempen merebut jawatan Ketua Pemuda.

Beliau membuat peringatan itu kerana tidak mahu pemilihan yang bakal menyaksikan persaingan antara beliau dengan dua lagi calon iaitu Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo membawa perpecahan kepada Pemuda.

Bagi Khairy dalam keghairahan untuk memenangkan calon masing-masing semangat setiakawan dalam Pemuda harus dikekalkan. Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, beliau yang kini menyandang jawatan Naib Ketua Pemuda secara terbuka menjawab pelbagai persoalan berkaitan dirinya dan perebutan jawatan dalam Pemuda.

Apapun beliau amat berharap perwakilan akan membuat keputusan berasaskan kepada realiti dan bukannya persepsi terhadap seseorang calon. Khairy juga turut memaparkan apa yang ingin beliau lakukan dalam usaha merapatkan hubungan Pemuda dengan rakyat.

MINGGUAN: Bagaimana penerimaan perwakilan, ketika YB berkempen?


KHAIRY: Alhamdulillah, maklum balas dan sokongan yang diterima terhadap gagasan setiakawan daripada perwakilan sangat positif dan saya harap akan diterjemahkan kepada undi pada 25 Mac nanti.

Kempen dalam Pemuda kali ini turut menyaksikan peribadi YB diserang sekali lagi, apa pandangan YB?

KHAIRY: Saya berpendapat, faktor paling besar yang menyemarakkan perbincangan dan tuduhan terhadap saya selama ini ialah “isu menantu”. Tuduhan utama ialah karier saya dipercepatkan kerana saya menantu Perdana Menteri. Bahaslah apa pun. Persepsi bahawa laluan saya dipermudahkan cepat merebak. Apakah salah dan dosa saya, sebenarnya kerana menjadi menantu? Jodoh, ajal maut, semuanya di tangan Tuhan. Tetapi yang pasti isu menantu ini akan hilang dengan sendirinya apabila Pak Lah menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Selepas itu berlaku, saya tidak akan dilihat sebagai seorang yang dibayangi oleh isu ini dan tidak boleh dipersalahkan lagi atas segala yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan.

Tetapi apakah semua persepsi itu betul?


KHAIRY: Tidak. Saya menjadi sasaran mudah umpama kambing hitam. Kita mesti akui setiap pemimpin apatah lagi Perdana Menteri mempunyai ramai pengkritik. Mereka ini akan cari sasaran mudah untuk menyerang, memandangkan saya menantu Perdana Menteri dan kebetulan pula terlibat dalam politik, segala permasalahan pentadbiran negara dikatakan berpunca daripada KJ.

Persepsi ini menjadi mengarut sampai harga minyak naik pun saya disalahkan. Pemilihan calon-calon pilihan raya pun salah saya juga. Semua tuduhan ini bersifat sensasi, umpama menjelmakan insan kerdil seperti Khairy Jamaluddin menjadi punca segalanya. Sampai hari ini apabila saya mencabar mereka yang menuduh saya untuk kemukakan bukti, mereka gagal. Jadi saya percaya, semua itu adalah agenda politik untuk melemahkan Perdana Menteri dan menguburkan kerjaya politik saya.

Bagaimanapun saya pasrah dan reda dengan dugaan ini dan berharap perwakilan yang berjumpa saya mengenali KJ sebenarnya dan boleh memisahkan antara realiti dan persepsi.

Difahamkan YB sekali lagi akan menjadi sasaran penulis-penulis buku politik?

KHAIRY: Secara peribadi dan prinsipnya, saya menghormati hak setiap orang mengkritik, menegur, menyokong atau menyatakan beliau tidak gemar pemimpin tertentu. Cuma kalau boleh elakkan perbuatan mencerca dan menghindari perkataan yang terlalu kesat. Ini kerana, apapun perbezaan pandangan, jangan kita meletakkan tahap kita serendah mereka yang dijelaskan oleh Rasulullah umpama memakan daging saudaranya sendiri.

Saya harap perwakilan tidak dipengaruhi oleh buku-buku politik yang jelas berat sebelah dan menyerang calon-calon secara peribadi. Mereka sudah ada masa yang agak lama untuk menilai setiap calon. Penilaian yang dibuat secara langsung in person adalah lebih sahih daripada cerita dalam sesetengah buku-buku politik yang berniat menjatuhkan pemimpin.

Apa masalah utama yang harus diselesaikan oleh seorang Ketua Pemuda?

KHAIRY: Masalah utama berhubung kemerosotan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN). Ini adalah cabaran utama Pemuda UMNO.

Dalam hal ini, saya akan mantapkan lagi gerak kerja Pemuda dalam dua aspek. Pertama, dari segi latihan dan pendidikan politik. Ia bertujuan memperkuatkan jati diri ahli dan merakyatkan Pemuda. Maksudnya, dalam setiap tindakan Pemuda selepas ini akan membawa kesan positif kepada rakyat kerana Pemuda harus dilihat sebagai pembela nasib rakyat.

Perkara kedua, mengembalikan peranan aktivis dalam Pemuda. Saya akan menubuhkan kor penceramah dan imam muda iaitu lima penceramah dan lima imam muda dari setiap bahagian. Mereka akan menjadi aktivis kita di peringkat akar umbi dan memastikan dalam dua aspek yang mungkin kita nampak ada sedikit kelemahan iaitu penyampaian maklumat dan aktiviti keagamaan.

Saya juga akan menubuhkan unit penyampai maklumat yang akan menggunakan teknologi terkini bagi memastikan setiap ahli dan rakyat sentiasa dibekalkan dengan maklumat dan keputusan terkini yang dibuat oleh pemimpin. Ini termasuk unit perang siber yang lebih agresif melalui kaedah seperti blog dan juga portal rangkaian sosial seperti Facebook dan MySpace yang begitu popular di kalangan generasi muda. Maklumat yang kita sampaikan mesti terkini, tepat dan padat. Barulah ahli kita memahami bagaimana nak berdepan dengan sesuatu isu di kawasan masing-masing.

Tetapi dikalangan Pergerakan Pemuda sendiri dikatakan berlaku jurang antara ahli dengan pemimpin?


KHAIRY : Sebab itulah saya ingin membawa pendekatan mengakar umbikan kepimpinan Pemuda. Yang pertama, saya akan pastikan mesyuarat exco Pemuda dibuat di setiap negeri. Ini akan memperlihatkan pemimpin Pemuda turun ke bawah dan sentiasa bersama ahli-ahli. Saya juga berharap mesyuarat Pemuda negeri juga akan dibuat di setiap bahagian dan bukan di ibu negeri sahaja.

Saya juga akan hidupkan kembali program Pemuda masuk kampong supaya Pemuda dilihat bersama dengan masyarakat setempat. Kita perlu kikis imej Pemuda UMNO sebagai satu institusi yang dilihat elit melalui langkah turun kebawah bersama rakyat.Saya bercadang untuk sentiasa bergerak kebahagian-bahagian untuk memahami masaalah rakyat secara langsung tempat bergantung kepada laporan ibu pejabat.Kita perlu kepada kepimpinan yang hands on dalam keadaan politik hari ini.Bagi menaikan martabat Pemuda diakar umbi, saya mencadangkan satu pindaan kepada Perlembagaan parti bagi membolehkan ketua-ketua Pemuda cawangan menjadi perwakilan secara automatic kepada mesyuarat perwakilan bahagian. Ini akan mengurangkan jurang antara Pemuda cawangan dan bahagian induk dan member suara kepada Pemuda diperingkat akar umbi. Ia juga merupakan harapan ahli akar umbi yang rasa diri mereka tidak dibela kerana tiada kuasa politik.

Ramai generasi muda terjejas akibat kegawatan ekonomi, apa visi YB dalam hal ini?


KHAIRY : Bagi saya, yang penting adalah kita dapat menjanakan ekonomi di peringkat akar umbi. Saya akan bekerja kuat dalam memantau agensi-agensi kerajaan agar pakej rangsangan ekonomi RM60 bilion yang baru diumumkan sampai ke golongan muda supaya mereka ini mendapat pekerjaan, memperolehi modal pinjaman serta peluang bagi menjana ekonomi. Banyak masaalah yang dihadapi dalam ekonomi hari ini adalah disebabkan oleh birokrasi dan kerenah institusi kewangan dan jabatankerajaan. Perkara ini perlu perhatian dan antara tugas Pemuda adalah memudahkan generasi muda mendapat akses kepada kemudahan dan peluang ekonomi yang disediakan oleh kerajaan.

Jika dilantik sebagai Ketua Pemuda salah satu tanggung jawab saya adalah menjaga kebajikan orang muda. Dan saya akan pastikan Pemuda bukan hanya memainkan peranan sebagai pendesak tetapi juga pemudah cara untuk memastikan pemerkasaan ekonomi orang muda di peringkat akar umbi berjalan dengan baik. Isu utama bagi saya adalah pengangguran dan peluang untuk memulakan perniagaan bagi generasi muda.

Antara tiga kelompok yang saya telah kenal pasti dan memerlukan perhatian iaitu generasi ke dua bagi Felda dan Felcra, generasi kedua dari kampong-kampung tradisi dan golongan muda yang berasal dari keluarga yang berpendapatan rendah di Bandar. Jika Pemuda dilihat mengambil berat masaalah ekonomi mereka dengan inisiatif menarik, saya percaya kita dapat mengembalikan keyakinan mereka terhadap gagasan politik yang dibawa oleh UMNO.

Institusi Melayu nampaknya semakin diprkotak-katikah, apakah komen YB?

KHAIRY : Saya cukup sensitive terhadap satu konspirasi yang seolah-olah mahu memperkotak-katikan institusi asas negara iaitu institusi raja-raja Melayu dan juga kontrak sosial yang telah dimeterai oleh semua kaum.

Saya percaya pemuda harus berada di barisan hadapan mempertahankan institusi ini, malah saya sendiri secara lantang bersuara bagi memastikan bangsa dan institusi raja-raja tidak diperlekehkan. Bila Pemuda disifatkan sebagai ‘celaka’, rasanya sayalah antara yang paling awal tampil mencabar orang itu mengeluarkan bukti yang Pemuda UMNO ada mengirimkan peluru hidup pada beliau. Apabila kemuliaan institusi Raja Raja Melayu dipersendakan saya tampil mempertahankannya. Saya meramalkan serangan terhadap bangsa dan institusi Melayu nukan dengancara intelek, kewarasan dan hikmah.

Pemuda UMNO perlu tewaskan mereka yang memperlekehkan kita dengan akal dan ketajaman pemikiran. Saya bersedia berdepan dengaan mana-mana pihak termasuk pembangkang demi mempertahankan maruah bangsa dan negara.Sekarang sudah tiba masa kita berdepan secara terbuka dengan musuh-musuh kita dan Pemuda perlu kepimpinan yang bukan hanya berani tetapi juga mampu mengatasi serangan tersebut dalam medan politik.

Jika dilihat dari segi umur, YB adalah yang termuda, apakah ia akan memainkan peranan dalam pemilihan?

KHAIRY : Saya rasa factor umur penting kerana hanya orang muda dapat memahami jiwa orang muda. Sebagai seorang calon yang masih dalam umur Pemuda, sudah pasti visi saya adalah untuk Pemuda dan bersifat jangka panjang. Saya tidak melihat jawatan Ketua Pemuda sebagai batu loncatan. Kalau nak singgah untuk sepenggal, kita takkan dapat membawa pembaharuan berkekalan. Saya menawarkan diri sebagai calon yang mempunyai wawasan jangka masa panjang untuk Pemuda.

Itulah sebabnya, mengapa saya memilih slogan setiakawan supaya saya dapat menubuhkan satu rangkaian yang seangkatan dengan saya dan akan terus maju bersama dalam politik.

Begitu juga apabila saya lebih senang bergerak dipanggil KJ. Pangilan KJ memudahkan saya bergerak tanpa protokol tertentu dan bagi mendekatkan diri dengan pemuda. Bagi saya, ahli Pemuda dan semua golongan muda perlu diyakini bahawa mereka mempunyai akses kepada pemimpin mereka. Inilah pegangan saya.

Dua lagi calon tidak mahu menerima jawatan dalam Kabinet, jika mereka dipilih sebagai Ketua Pemuda?

KHAIRY : Saya menghormati keputusan kedua-dua sahabat saya itu. Bagaimanapun soal pelantikan sebagai angota pentabiran adalah hak mutlak Perdana Menteri. Tetapi jika Ketua Pemuda dilantik, saya melihat ini sebagai satu penghormatan kepada orang muda dan member ruang kepada Ketua Pemuda menterjemahkan inspirasi dan wawasan Pemuda UMNO dan juga kepentingan golongan muda di dalam Kerajaan.

Apa harapan YB berkaitan peralihan kuasa yang akan berlangsung tidak lama lagi?


KHAIRY : Saya yakin proses peralihan kuasa akan berjalan lancer kerana ia melibatkan dua pemimpin berjiwa besar. Saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai bakal Perdana Menteri dan Presiden UMNO UMNO walaupun beliau mengambil alih dari seorang pemimpin yang juga bapa mertua saya. Saya berikrar untuk member sokongan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada najib.

Satu nasihat penting yang Pak Lah berikan kepada saya, kita perlu menjadi orang parti yang kuat. Contohnya, pada team B kalah… Pak Lah tidak keluar dari UMNO walaupun dipecat dari jawatan cabinet. Di situ beliau membuktikan kesetiaannya kepada parti. Jadi, bagi saya yang diajar untuk menjadi orang kuat parti UMNO, saya akan terus member komitmen kepada kepimpinan parti. Saya juga percaya bahawa Najib is the right man at bthe right time. Beliau adalah seorang pemimpin yang diangkat tepat pada masanya.

Akhir kata jika ditakdirkan YB kalah. Apakah YB akan terus menyumbang pada parti?

KHAIRY : Saya dipilih menjadi Ahli Parlimen Rembau atas tiket UMNO-BN. UMNO adalah wadah perjuangan bagi saya. Saya tidak sekali-kali akan kecewa dengan UMNO. Kalau saya menang pula, pertama sekali saya harus rapatkan barisan dan beri keyakinan kepada penyokong-penyokong Mukhriz dan Mohamad Khir bahawa saya bersama mereka sejajar dengan tema dan falsafah kempen ‘setiakawan’.Saya tidak sama sekali akan mengenepikan Mukhriz dan Mohamad Khir, sebagai contoh; kalau berlaku satu pilihanraya kecil di Selangor, kita sangat memerlukan peranan dan sumbangan Mohamad Khir manakala Mukhriz pula mempunyai idea-idea yang boleh disumbangkan untuk Pemuda.

Adalah menjadi tanggung jawab saya menyatukan kesemua elemen dan ahli dalam pemuda.

Patuhi kehendak akar umbi - Mukhriz



Dalam pencalonan di peringkat bahagian, Datuk Mukhriz Mahathir mendapat pencalonan tertinggi dan beliau menganggap ia satu petanda baik apabila dalam cabutan kedudukan calon bagi pemilihan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, beliau mengekalkan kedudukan di nombor satu.

Namun itu bukanlah jaminan bahawa kemenangan akan menyebelahi beliau dalam pemilihan yang bakal berlangsung pada 25 Mac nanti. Atas sebab itulah, dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, Ahli Parlimen Jerlun itu melahirkan perasaan sedikit gusar apakah kedudukan nombor satu itu akan diterjemahkan pula dalam bentuk undi.

Justeru menurut beliau, sehingga ke saat-saat akhir kempen, beliau akan terus berusaha bertemu dengan perwakilan seramai mungkin bagi menyampaikan misi dan visinya.

‘‘Tetapi pada pusingan akhir ini, tumpuan lebih diberikan kepada usaha beramah mesra dengan perwakilan supaya mereka mengenali diri saya,” katanya.

Bagi Mukhriz, tagline Berani Berubah yang dibawanya semakin difahami oleh perwakilan dan beliau berharap mereka akan terus memberi sokongan sehingga melayakkan dirinya menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

MINGGUAN: Kempen pemilihan UMNO kini boleh dikatakan memasuki pusingan akhir, setakat ini bagaimana Datuk melihat peluang untuk mencapai kemenangan?

MUKHRIZ: Dari segi peluang saya fikir, peluang untuk menang masih ada, namun begitu disebabkan pemilihan kali ini melibatkan pertandingan tiga penjuru, kalau menangpun mungkin dalam jumlah undi yang tipis. Atas sebab itulah, saya tidak boleh mengambil mudah maklumat dan makluman balas positif yang kita terima.

Sebaliknya kita harus terus bergerak untuk bertemu dengan seramai mungkin perwakilan dalam berhadapan dengan pusingan terakhir ini. Saya ingin meyakinkan mereka apa yang hendak saya lakukan jika diberi kepercayaan memimpin Pemuda. Jadi kalau itu dapat dilakukan saya berserah kepada Allah SWT untuk menentukan nasib saya dalam pemilihan kali ini.

Setakat ini, sejauh manakah penerimaan ahli-ahli Pemuda terutamanya perwakilan terhadap tagline Berani Berubah yang dibawa oleh Datuk?

MUKHRIZ: Saya nampak perwakilan sudah mulai sedar bahawa saya walaupun yang paling berumur di antara tiga calon tetapi saya mewakili perubahan, ertinya saya tidak mewakili zaman silam. Saya dilihat mampu membawa satu perubahan yang diperlukan oleh sayap terpenting dalam UMNO iaitu Pemuda. Ada juga di kalangan mereka menyatakan bahawa tema slogan kempen Berani Berubah membakar semangat mereka untuk melakukan strategi dan pendekatan bagaimana hendak berhadapan dengan pilihan raya. Ia kerana ramai melihat Pilihan Raya Umum Ke-13 akan menentukan masa depan kita semua.

Mereka juga melihat bahawa saya mudah diterima oleh rakyat secara keseluruhannya dan juga bangsa Melayu itu sendiri. Ini dilihat sebagai satu kelebihan sekurang-kurangnya untuk ‘membuka pintu’ kita masuk ke kawasan-kawasan yang mungkin sebelum ini kita anggap sebagai sedikit bermasalah bagi mendekati pengundi muda, contohnya di institusi pengajian tinggi dan golongan profesional serta di kawasan perkampungan.

Nampaknya tema kempen Berani Berubah ini diterima baik dan mereka memahami apa yang saya maksudkan oleh dua perkataan ini dan itulah yang mereka mahu melihat kepimpinan Pemuda selepas ini.

Apakah pemahaman terhadap slogan itu mampu memberi kefahaman kepada perwakilan Pemuda mengenai kepentingan pemilihan kali ini?

MUKHRIZ: Sebenarnya, jika kita perhatikan kepentingan pemilihan UMNO kali ini bukan sahaja difahami oleh perwakilan malah orang di luar UMNO juga mengetahuinya. Ini jelas apabila mereka bercakap dengan kaum keluarga dan kawan-kawan, rata-rata mengatakan bahawa walaupun mereka bukan ahli UMNO dan bukan orang UMNO tetapi mereka sentiasa menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) berikutan perjuangan yang kita bawa.

Tetapi apabila kebelakangan ini mereka lihat UMNO tidak lagi berpegang kepada asas perjuangannya, maka mereka memberi sokongan kepada pihak lain atau mereka melakukan undi protes atau langsung tidak keluar mengundi ketika pilihan raya. Berikutan perkembangan ini, saya yakin perwakilan faham bahawa pemilihan kali ini paling penting dalam sejarah UMNO.

Dalam soal ini, kita harus faham dua perkara, pertama, kalau kita menunjukkan kepada rakyat bahawa kita tidak menepati aspirasi rakyat terhadap UMNO dan kedua kalau kita mengamalkan amalan yang tidak sihat di dalam pemilihan itu sendiri, maka sudah tentu keputusan pilihan raya umum akan datang tidak akan memihak kepada kita.

Malah jika itu berlaku, kalau pun ada segelintir kecil di kalangan kita yang hendak mencari makan melalui UMNO ia pasti akan terjejas kerana kita tidak menguasai kerajaan. Oleh itu tidak perlulah, kita hendak fikirkan sangat kehendak memperkayakan diri sebaliknya dalam pemilihan ini, kita perlu berusaha membuat satu ketetapan yang mampu memberi kepuasan kepada parti.

Apa yang perlu difahami, dalam pilihan raya umum lalu, BN dan UMNO sudah kalah di Kedah, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, jadi kalau ini sudah berlaku jangan mimpi kita boleh mementingkan diri kita sendiri sambil mengenepikan bangsa dan rakyat yang sepatutnya diberikan keutamaan.

Pilih pemimpin berpengalaman – Mohamad Khir





‘Ini pemilihan bagi menentukan perjuangan hidup mati UMNO dalam membela nasib bangsa dan negara, oleh itu Pemuda UMNO memerlukan pemimpin berpengalaman untuk menjadi ketua.” Itulah rumusan yang diberikan oleh bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo apabila ditanya kepentingan pemilihan UMNO kali ini.

Dalam pertemuan yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Subang, Dr. Mohamad Khir yang baru pulang daripada menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor berkata, beliau yakin bahawa perwakilan Pemuda memahami betapa pentingnya mereka membuat keputusan yang tepat dalam memilih individu menjadi ketua mereka.

Mohamad Khir memberitahu wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR bahawa Pemuda UMNO tidak boleh memilih Ketua yang tidak mempunyai pengalaman memandangkan cabaran yang menanti parti amat besar dan hebat.

‘‘Bagi saya, Pemuda memerlukan pemimpin apa yang disebut ready made (sudah tersedia), ertinya selesaikan sahaja pemilihan sudah bersedia melaksanakan tanggungjawab bagi memperkukuhkan parti, bukannya pemimpin yang baru belajar untuk memimpin,” katanya.

Apapun Mohamad Khir menyerah kepada kebijaksanaan perwakilan membuat pilihan tetapi apa yang pasti beliau berharap mereka akan memberi peluang kepadanya untuk memimpin pergerakan itu demi perjuangan bangsa agama dan negara.

MINGGUAN: Dalam pertemuan dengan perwakilan Pemuda, apa yang mereka harapkan?

MOHAMAD KHIR: Pertamanya, saya mula merasai Pergerakan Pemuda masih aktif di peringkat akar umbi, mereka berani menyumbangkan idea berani mengkritik kerajaan, berani bercakap soal masa depan orang Melayu.

Bagi saya ini adalah sesuatu perkembangan yang baik dan Alhamdulillah, hasil daripada pertemuan yang diadakan kita berkongsi banyak idea. Pada pandangan saya, jika idea-idea itu dilaksanakan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya yakin parti itu akan kembali bersinar.

Tetapi kita lihat di dalam blog kempen memburuk-burukkan antara satu calon dengan calon yang lain agak serius, tidakkah ini boleh memberikan kesan tidak baik kepada Pemuda?

MOHAMAD KHIR: Kesan daripada berkempen secara tidak sihat melalui blog ini boleh menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat. Hakikatnya bagi pemilihan Pemuda sendiri ia tidak begitu memberi masalah kepada calon kerana delegasi sudah pun bertemu dengan calon sendiri.

Sepanjang tempoh kempen selama tiga bulan kita berjumpa dan berbincang, kebanyakan perwakilan mengenal hati budi calon masing-masing. Bagi saya, peranan kempen melalui blog ini sememangnya saya lihat suatu perkara yang amat buruk. Ia kerana kita lihat berlaku serangan peribadi terutamanya terhadap saya. Macam-macam tuduhan ditimbulkan, bagaimanapun saya mengamalkan sikap tidak melayan semua dakwaan itu kerana kalau saya melayannya ia akan menjadi lebih parah lagi.

Bagi saya apa yang diperkatakan mengenai diri saya di dalam blog-blog adalah suatu fitnah dan kita merasakan fitnah ini adalah suatu perkara yang tidak baik dan Allah akan membalas sesiapa yang melakukan fitnah. Justeru adalah lebih baik kita biarkan begitu, apa yang penting kita tidak buat perkara yang salah. Saya yakin dengan kejujuran dan keikhlasan kita akan berjaya.

Prinsip yang saya pegang, pertandingan UMNO macam air dalam satu gelas walaupun berkocak jangan sampai ia tumpah. Ini kita kena jaga, sebab itu saya tidak melakukan serangan balas terhadap pihak yang menyerang saya.

Apapun dalam pemilihan ini saya yakin, perwakilan akan memilih mereka yang mempunyai idea dan wawasan di samping pengalaman, kesimpulan Pemuda hendak pemimpin yang sudah tersedia. Ia bererti mereka mahu seorang pemimpin yang sudah menempuh masa susah dan senang, merasai pengalaman jatuh bangun. Semua itu sudah saya lalui, jadi mereka merasakan saya berkelayakan memimpin.

Kenapa Datuk Seri bercakap soal kemampuan sedia memimpin?

MOHAMAD KHIR: Saya mempunyai pandangan sedemikian memandangkan apabila berakhir pemilihan nanti, kita akan berhadapan dengan pilihan raya kecil di tiga kawasan iaitu Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

Kalau mereka tidak pilih pemimpin yang tersedia untuk memimpin atau berpengalaman, ia akan menimbulkan masalah memandangkan keesokannya (sehari selepas pemilihan) kita harus berkempen dan kita harus ingat bahawa kemenangan di Bukit Gantang adalah satu kewajipan bagi kita.

No comments: