Tuesday, March 30, 2010

KJ kasi bongkar! Tokoh Apco sahabat Anwar juga


Oleh: Salhan K Ahmad

Ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendakwa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersikap selektif dalam mendedahkan maklumat mengenai Apco Worldwide sedangkan ketua umum PKR itu juga didakwa mengenali dan bersahabat dengan tokoh-tokoh dalam syarikat perunding tersebut.

Khairy yang juga ketua Pemuda Umno berkata, maklumat berkenaan tidak didedahkan Anwar yang ingin membina imej yang baik di gelanggang antarabangsa.

"Kita mendengar penjelasan daripada ketua pembangkang mengenai Apco yang saya kira satu hujah yang panjang bahawa Apco dikaitkan dengan rejim Israel dan keselamatan negara terancam apabila Malaysia mengupah Apco sebagai perunding komunikasi.

"Persoalan tentang fungsi Apco dan 'terms of reference' mereka, biar kerajaan jelaskan. Hari ini saya ingin dedahkan perkara yang tidak didedahkan oleh Anwar.

"Dia kata Apco ada hubungan dengan rejim Zionis Israel, tapi saya ingin katakan, majlis penasihat antarabangsa Apco mempunyai ramai personaliti yang ada kaitan dengan Anwar. Ahli majlis penasihat antarabangsa ini ada kaitan peribadi dan professional yang kuat dengan Datuk Seri Anwar," katanya.

Beliau turut menamakan enam daripada tokoh berkenaan yang dikatakan mempunyai hubungan dengan Anwar.

Katanya lagi, Anwar juga gagal menjelaskan bagaimana Apco terlibat menasihati negara dalam membentuk gagasan 1Malaysia.

"Apa yang dilakukan oleh Anwar ini berbeza daripada apa yang ditimbulkan oleh (ahli parlimen) Kota Belud. (Ahli parlimen) Kota Belud membangkitkan isu bahawa Apco ialah pencipta 1Malaysia ini tidak dibuktikan.

"Apa yang dipertikaikan ialah soal 'timing' dan apa-apa lagi, tapi tidak ada bukti, tidak ada satupun bukti bahawa Apco bertanggungjawab ke atas pembentukan 1Malaysia," katanya lagi.

Menurutnya, Anwar juga gagal membuktikan bahawa Apco terlibat menasihati Ehud Mubarak berkaitan 1Israel, yang turut ditimbulkan oleh ahli parlimen Kota Belud sebelum ini.

Jelasnya lagi, 1Malaysia mula disebut oleh Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan sulung sebaik menjadi perdana menteri pada April tahun lalu, sedangkan kontrak lantikan Apco itu dibuat pada Ogos.

Bercakap kepada pemberita di lobi parlimen selepas Anwar menyampaikan penjelasannya, Khairy juga berkata tindakan itu merupakan taktik daripada pembangkang untuk mengalihkan perhatian daripada masalah dalaman mereka.

Katanya lagi, Anwar mengaitkan kerajaan dengan isu Apco untuk mengalih pandangan masyarakat terhadap isu-isu yang menyentuh peribadi ahli parlimen Permatang Pauh itu.

"Apa yang lebih memeranjatkan ialah untuk mengalih pandangan terhadap usaha melobi di peringkat antarabangsa yang dilakukan Anwar untuk mendapatkan sokongan ke atas kes mahkamahnya.

"Dia sedang menggerakkan tekanan antarabangsa. Dia pergi ke UK, surat daripada MP Australia... perjumpaan dengan bekas naib presiden AS Al Gore di UK, semua ini untuk mengalih perhatian dan menunjukkan bahawa dia sedang mendapatkan sokongan antarabangsa, yang dia mungkin akan terhutang budi pada masa depan," katanya lagi.

Mengulas mengenai peranan Ethos Consulting pula, yang dibangkitkan Anwar terdahulu, Khairy berkata, perkara itu sengaja dibangkitkan oleh Anwar untuk memburuk-burukkan imej beliau.

Anwar berkata, antara lain, dilaporkan bahawa perkhidmatan Apco ini diperkenalkan kepada perdana menteri oleh Omar Mustapha, penasihat perdana menteri, yang menurut Anwar, juga teman lama ahli parlimen Rembau dan rakan kongsi dalam firma perunding Ethos Consultancy.

Mengulas lanjut, Khairy berkata beliau tidak menafikan mengenali Omar Mustapha.

"Itu anda kena tanya Mustapha. Adakah saya kenal dia, ya. Adakah kami pergi ke universiti yang sama, ya. Adakah saya bekerja dengan dia? Tidak. Adakah saya tahu apa yang beliau lakukan, tidak. Itu hanya untuk memburukkan nama saya," katanya.

Ketika ditanya, beliau juga berkata kerajaan perlu menjelaskan mengenai bentuk maklumat yang diberikan kepada Apco.

"Biasanya, maklumat ini cuma statistik yang boleh diperolehi di domain awam, mungkin tidak didedahkan dan diberikan kepada pelabur asing dan sebagainya.

"Itu kita kena tunggu jawapan daripada kerajaan. Itu bukan tugas saya. Tugas saya ialah untuk mendengar (ucapan) Anwar dan beritahu apa yang tidak diberitahu oleh Anwar," katanya lagi.

Terdahulu, Khairy berkata kerajaan tidak mungkin akan mendedahkan rahsia negara kepada agensi yang diupah seperti itu.

"Jika itu berlaku, kita juga akan bantah. Apa dia agensi perhubungan awam ini? (Mereka) hendak bawa konsep 1Malaysia tapi untuk memastikan gambar yang diberi kepada pelabur asing itu betul mengenai Malaysia. Inilah yang dilakukan oleh Apco, saya rasa. Kita akan tunggu jawapan daripada kerajaan," katanya lagi.


Nota: Bila KJ bersuara kenapa Parpukari and the GENG mengelabah semacam bro?

1 comment:

Unknown said...

terlalu mengaibkan kita sebagai umat islam jika apco adalah alat2 yahudi/zoinis dan kita mengetahwi nya tapimasih lagi kita mengupah mereka utk kepentingan politik kita , sifat bacul boleh digunakan
kpd pengupah.khianat juga boleh di guna,bodoh juga boleh di gunakan.kerana malaysia milik semua kita bukan hanya milik ahli2 politik yg berlagak pandai,ego,dan buat malaysia milik mak bapak mereka sedangkan mereka adalah lanon yg akan dihisab pada akhirnya itupon kalau mereka percaya kpd hari hisab. sedarilah malaysia utk semua bukan utk keluarga polan2.