POLITIK HARIAN: Pas Dan Dap Bakal Terjerat Krisis PKR

Friday, March 5, 2010

Pas Dan Dap Bakal Terjerat Krisis PKR



Krisis yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini bakal memberi tempias kepada rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang, Dap dan Pas satu hari nanti dan tidak mustahil menjadi ‘api dalam sekam’ kepada pakatan pembangkang berkenaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin, berkata Konflik demi konflik, perbalahan demi perbalahan dan kontroversi demi kontroversi yang melanda parti itu bakal mengheret rakan pembangkang yang lain ke kancah berkenaan.


Menurut beliau, tindakan parti pembangkang yang masih lagi memberi kepercayaan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Ketua pembangkang walaupun kerusi parti itu di Parlimen berkurangan daripada sekutunya Dap akan dipersoalkan rakyat pada satu hari nanti.

“Rakyat akan tertanya-tanya. siapakah yang mempunyai kuasa dominan di kalangan pakatan pembangkang apabila timbul sesuatu isu. Ini kerana Dap mempunyai 28 kerusi, manakala PKR, 28 dan Pas 23, namun Anwar masih lagi Ketua Pembangkang.

“Sudah tentu bukan PKR lagi yang mempunyai kuasa dominan kerana mereka tidak lagi mempunyai majoriti di kalangan parti pembangkang setelah beberapa Ahli Parlimennya mengambil tindakan keluar parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas perkembangan yang berlaku di dalam PKR setelah beberapa Ahli Parlimennya mengambil keputusan keluar parti. Semalam, Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri mengumumkan keluar daripada PKR

Pengumuman terbaru daripada Mohsin Fadzli, 65, itu menjadikan tiga Ahli Parlimen PKR telah keluar parti dalam tempoh kurang sebulan selepas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pada 12 Februari dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng pada 1 Mac.

Turut berbuat demikian pada 28 Februari lalu ialah bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang turut mengumumkan menyertai UMNO.

Dengan tindakan terbaru itu, PKR kini mempunyai 28 Ahli Parlimen, DAP (28), Pas (23) dan Bebas (enam). Barisan Nasional (BN) pula menguasai 137 daripada keseluruhan 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN seterusnya menegaskan, pembangkang sebenarnya tidak mempunyai pelan kepimpinan yang menyebabkan mereka terus memberi kepercayaan kepada Anwar sebagai peneraju kepimpinan pakatan pembangkang.

“Apa pun kita tunggu dan lihat perkembangan terkini di dalam krisis kepimpinan di dalam pakatan pembangkang yang semakin hari mengundang masalah,” katanya.

Terdahulu sebelum itu, Khairy menerima kunjungan Pemuda PPP Kebangsaan yang diketuai oleh Sdr Jamaludin Gulamhan bersama Ahli Jawatankuasa yang lain. Turut hadir, Setiausaha Pemuda BN, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Exco Pemuda BN yang lain.

Menurut khairy, pertemuan itu antara lain membincangkan strategi serta beberapa perancangan serta pelaksanaan dalam usaha mengukuhkan Pemuda BN berpaksikan semangat 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

“Pada kesempatan pertemuan hari ini, kita melihat bagaimana Pemuda parti-parti komponen BN khususnya Pemuda PPP dalam usaha memperkemaskan lagi Pemuda BN dalam pelbagai aspek terutama dari sudut program dan pelbagai yang lain.

“Alhamdulillah, hari ini kita melihat komitmen Pemuda PPP dalam membantu menjayakan program Pemuda BN terutama dari sudut penambahan keahlian dan sebagainya. Selepas ini, kita akan bincang bagaimana Pemuda PPP sebagai parti yang keahliannya terdiri daripada pelbagai kaum dapat memainkan peranan di kawasan bandar. Inilah harapan kita kepada semua Pemuda parti komponen yang lain,"katanya.

Pada masa yang sama, Khairy turut merakamkan penghargaan kepada sayap Pemuda parti komponen yang tetap berdiri dan bersatu padu di dalam Pemuda BN meskipun terdapat sesetengah parti induknya menghadapi beberapa masalah.

“Dalam pertemuan dengan Pemuda PPP sebentar tadi pun, kita telah mendapat persetujuan yang mana apa sahaja yang berlaku di dalam parti induk, ianya tidak akan melibatkan Pemuda PPP.

“Malah kita penuh yakin, berdasarkan prinsip ini, Pemuda BN tidak akan terjejas, sebaliknya akan terus kuat untuk membantu dalam membela nasib rakyat pelbagai kaum,” katanya.

Sumber Laman Web Pemuda

1 comment:

Anonymous said...

Tok Nik sakit masuk hospital bukan sakit dada tapi dia sakit hati. Pasal Anwar dah main dia dari belakang.
Dia tak sakit pon cuma berlakun jer nak raih sempati je...Jangan percaya dengan orang tua ni...