Sunday, August 29, 2010

Sesi “Townhall” Pemuda BN Capai Matlamat


KUALA LUMPUR 27 Ogos – Sesi “Townhall” Makmal Pemuda BN dianggap mencapai matlamatnya apabila pelbagai soalan dan pendapat dapat dikongsi bersama antara belia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Biarpun tempoh masa yang singkat, namun “Townhall” tersebut memberi kesan yang cukup signifikan kepada anak-anak muda yang mana mereka diberikan ruang untuk menyatakan pandangan mereka dan bertanyakan soalan secara langsung dan dijawab secara spontan oleh Datuk Seri Najib.

Ketika menjawab soalan dalam dialog berkenaan, Datuk Seri Najib menyifatkan kebanyakan cadangan yang dikemukakan pada sesi itu adalah bernas dan akan diteliti oleh kerajaan.

“Satu daripada cadangan yang menarik perhatian saya ialah mewujudkan dana khas bagi menyokong program 1Malaysia yang dijalankan oleh belia. Kita akan sediakannya tidak lama lagi supaya lebih ramai orang muda terlibat dalam program 1Malaysia,” katanya.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri Wilayah Persekutuan dan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong dan Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin.

Terdahulu sebelum itu, Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin membentangkan hasil kajian makmal Pemuda BN yang telah melalui tiga fasa yang dikumpul selama sebulan berhubung kait dengan isu semasa dan pelbagai agenda laindalam usaha mencari titik sentuh antara Kerajaan Barisan Nasional dan golongan muda Malaysia.

“Makmal Pemuda BN telah melalui tiga fasa pelaksanaan di mana pertama sekali tinjauan rawak telah dijalankan atas 1,000 orang belia berdasarkan beberapa kriteria tertentu seperti pecahan umur, kaum, jantina, kedudukan geografi dan sebagainya.

“Fasa kedua pula melihat pelaksanaan makmal di mana seramai 40 orang muda selaku anggota tetap makmal merangkumi pelbagai latar belakang ekonomi dan kaum telah menjalani sesi-sesi percambahan minda selama sebulan. Segala pencernaan idea dasar sewaktu sesi makmal ini adalah berlandaskan keputusan dan data tinjauan rawak sewaktu fasa pertama.

“Bagi menguji kesesuaian cadangan dasar yang terhasil dari sesi makmal tersebut, Makmal Pemuda BN juga telah mengadakan beberapa kumpulan fokus atau “focus groups” yang melangkaui segmen-segmen orang muda berdasarkan umur, lokasi dan pekerjaan,” katanya.

Kata beliau lagi, pendekatan serupa telah diambil menggunakan saluran media sosial seperti Twitter dan Facebook di mana pandangan, cadangan dan komen orang ramai dikaji dan diambilkira.

“ Usaha-usaha ini dijalankan untuk mendapatkan maklumbalas terus dari seramai mungkin belia akar umbi, sejajar dengan objektif utama mencari titik sentuh antara Kerajaan dan orang muda.

“Jumlah suara generasi muda yang terbabit dalam Makmal Pemuda BN melalui pelbagai saluran dan pada pelbagai peringkat adalah seramai lebih 7,500 orang. Sebahagian besar daripada angka ini bukan ahli mana-mana parti politik, tetapi belia tanpa apa-apa kepentingan selain mahu menyuarakan aspirasi, permasalahan dan cadangan mereka dengan harapan menyumbang ke arah penambahbaikan khusus untuk belia,” katanya.

Tambah beliau lagi, berbekalkan semua maklum balas ini, fasa ketiga pula telah membabitkan penyediaan laporan akhir Makmal Pemuda BN yang mengandungi keputusan tinjauan serta cadangan-cadangan dasar yang telah teruji relevannya terhadap aspirasi belia umum.

bn youth lab-kj-najibLaporan akhir Makmal hari ini terbahagi kepada empat sektor utama iaitu ekonomi, kualiti hidup, pendidikan serta perpaduan dan demokrasi. Antara cadangan yang dikemukakan termasuk gesaan supaya kerajaan memperkenalkan dasar gaji minimum tidak kurang daripada RM1,000 sebulan bagipekerja sepenuh masa, membina pangkalan data bagi membantu golongan muda yang di dalam fasa ‘peralihan’ seperti kehilangan kerja, sakit teruk atau krisis kewangan.

Dalam sektor pendidikan pula, kerajaan disaran untuk melancarkan kempen penjenamaan semula perguruan sebagai profesion terpilih dan membenarkan lebih kebebasan dalam pilihan mata pelajaran di sekolah. Bagi menggalakkan proses integrasi antara kaum, kerajaan disaran memberi insentif termasuk pelepasan cukai kepada syarikat-syarikat yang mempunyai pekerja pelbagai kaum dan pelepasan cukai kepada restoran yang mendapat sijil perakuan halal.

Dalam menjamin proses demokrasi diamalkan, Makmal Pemuda BN mencadangkan supaya waktu maksimum dua tahun ditetapkan bagi tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ia juga mencadangkan supaya pelajar universiti dibenarkan bergiat aktif di dalam politik dengan memberi kebenaran kepada mereka untuk menjadi ahli atau memegang jawatan di dalam mana-mana parti politik.

No comments: