Tuesday, October 12, 2010

Khairy Jamaluddin: 'Hubungan tak dapat dikukuh'

Khairy Jamalauddin berkata hubungan Umno dan MCA tidak dapat dikukuhkan sekiranya Presiden MCA ,Ds Chua Soi Lek terus membangkitkan isu mengenai penguasaan ekuiti bumiputera sebanyak 30%. Beliau juga hairan kenapa Soi Lek masih berdegil bangkitkan isu berkenaan sedangkan orang Melayu dan Bumi tidak pernah mengambil apa-apa hak kaum Cina dinegara ini. Dan menurut beliau lagi jika benar beliau prihatin dengan nasib orang Melayu beliau seharusnya menggalakkan penglibatan orang Melayu dalam sektor swasta.

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Hubungan antara UMNO dengan MCA tidak akan dapat dikukuhkan sekiranya Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek terus membangkitkan isu mengenai penguasaan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus itu.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, beliau hairan mengapa Soi Lek masih berdegil untuk membangkitkan isu berkenaan sedangkan kaum bumiputera terutamanya orang Melayu tidak pernah mengambil apa-apa hak kaum Cina di negara ini.

Jelas Khairy, jika benar Presiden MCA itu prihatin dengan nasib orang Melayu, beliau seharusnya menggalakkan penglibatan orang Melayu dalam sektor swasta dan bukannya mengkritik mengenai isu ekuiti bumiputera itu.

"Saya rasa perkara seperti ini tidak wajar dibangkitkan lagi kerana ia telah dipersetujui bersama sebelum ini.

"Dalam hal ini, Pemuda UMNO tidak berniat untuk membalas kritikan tersebut sebaliknya berharap agar Presiden MCA itu sedar apa yang telah dilakukannya itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Soi Lek mengulangi gesaannya supaya kerajaan mengkaji semula ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus.

Menurut Soi Lek, ia adalah selaras dengan program transformasi ekonomi yang sedang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini yang bermatlamat untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee kecewa dengan pendirian Soi Lek dan menyifatkan Presiden MCA itu masih menyimpan sikap prejudis dan iri hati terhadap orang Melayu di negara ini.

Katanya, kuota 30 peratus itu adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan kedudukan orang Melayu sebagai masyarakat pribumi negara ini yang masih jauh ketinggalan dalam sektor berkenaan.

"Orang Melayu sudah terlalu banyak bertolak-ansur dan berkorban supaya kemakmuran ini dapat dikecapi bersama oleh bukan Melayu atas semangat perpaduan dan kepentingan negara.

"Justeru, apa salahnya jika bukan Melayu membiarkan kuota tersebut dikekalkan yang mana bakinya telah berjaya mereka kuasai tanpa ada sedikitpun halangan daripada kerajaan," katanya.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid pula berpendapat, Soi Lek tidak menghayati kesepakatan yang telah dibina oleh generasi terdahulu sebelum ini.

"Mereka (MCA) perlu sedar bahawa walaupun memiliki ekuiti sebanyak 30 peratus, tahap pencapaian orang Melayu sebenarnya masih jauh berbanding orang Cina di negara ini.

"Jika beliau (Soi Lek) tidak berpuas hati dengan apa jua isu, eloklah duduk berbincang dengan pihak yang berkenaan sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan," katanya lagi.

1 comment:

zainalsamsudin said...

yb kj beritahu diorang tak susah nak jadi rakyat malaysia. hormat pada raja, patuh pada perlembagaan, amalkan rukun negara.....orang melayu sentiasa hormat pada kawan2 yg bukan melayu...jangan pertikaikan hak2 org melayu melayu tak pernak ganggu org2 bukan melayu nak berniaga....cina degan hartanahnya india dengan scrap ion dan parking keretanya .... jangan lah mencabar kewibawaan melayu.