POLITIK HARIAN: Program JOM One Malaysia Berkhidmat Untuk Rakyat

Friday, December 17, 2010

Program JOM One Malaysia Berkhidmat Untuk Rakyat


Program Jelajah One Malaysia (JOM) Pemuda Barisan Nasional (BN) akan bergerak ke beberapa negeri bermula 17 hingga 23 Disember ini dalam usaha membantu mereka yang memerlukan.

Penolong Setiausaha Pemuda BN, Datuk Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid berkata program terbabit akan bermula di Terengganu dan seterusnya akan menjelajah negeri Pahang serta Johor termasuk Melaka dan akan berakhir di Negeri Sembilan.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan turut sama menyertai program membaik pulih rumah bersama pergerakan itu di Terengganu nanti.

“Kita telah memilih bahagian tertentu di negeri yang terlibat untuk dijadikan tempat program terbabit. Selain membaik pulih rumah, Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin dan seluruh barisan pergerakan itu akan terlibat menjayakan beberapa program lain yang sedang diatur.

“Program ini adalah kesinambungan daripada program JOM yang telah kita gerakkan di beberapa negeri sebelum ini seperti di Negeri Sembilan, Selangor dan beberapa negeri lain. Insyaallah, kita berharap program ini berjalan lancar,” katanya.

Tambah beliau lagi, selain gerak kerja membaik pulih rumah program tersebut juga akan turut dihiasi dengan beberapa program lain dalam usaha mendekati golongan belia dan kumpulan sasaran lain.

“Kita juga akan adakan perlawanan bola sepak persahabatan dengan belia-belia, sumbangan kepada pelajar miskin serta sembang petang bersama anak muda.

“Paling menarik, kita juga akan memberikan penjelasan dan penerangan isu-isu semasa menerusi Pentas Pemuda di setiap negeri yang kita kunjungi kelak. Dengan cara ini, kita berharap intitusi Pemuda sebagai jambatan dan mata serta telinga kepada rakyat benar-benar mencapai matlamat,” katanya.

Beliau seterusnya memberitahu, program membaik pulih rumah akan dilaksanakan menerusi kerjasama Giat Mara yang mana memberi ruang kepada pemilik rumah yang usang dan daif untuk diperbaiki sekaligus menjana kehidupan yang selesa kepada penghuni berkenaan.

“Kita tidak akan memilih bulu dan tidak terhad kepada batasan agama serta kaum sebaliknya dilaksanakan berdasarkan kepada mereka yang layak dan benar-benar tidak mampu untuk membaik pulih rumah yang didiami,” ujarnya.

Sumber – Pemuda Umno

No comments: