Friday, October 1, 2010

Ketua Pemuda Persoal Pelawaan Nik Aziz

PETALING JAYA, 30 SEPT- Pelawaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya ahli Umno menyertai PAS demi menangani isu perpaduan Melayu hanya dilihat sebagai ‘gimik politik’ terutamanya menjelang pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan tidak lama lagi.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, pelawaan Nik Abdul Aziz itu menunjukkan sikap terdesak PAS bagi meraih sokongan pengundi di kawasan berkenaan.

“Ini semua gimik politik semata-mata. Benarkah (matlamat) demi perpaduan Melayu? Tapi kenapa sekarang, kenapa dibuat ketika akan adanya pilihan raya kecil?” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Nik Abdul Aziz di Kota Baru hari ini yang mengajak ahli Umno menyertai sebagai cara menangani isu perpaduan orang Melayu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan itu berkata, ini kerana PAS mewakili semua yang beragama Islam, dan sewajarnya orang Melayu yang juga orang Islam berada di dalam parti tersebut.

Mengulas lanjut, Khairy turut mempersoalkan keikhlasan sebenar Nik Abdul Aziz untuk melihat orang Melayu bersatu.

“Benarkah Nik Aziz pentingkan perpaduan Melayu? Ataupun beliau hanya gunakan isu berkenaan untuk kepentingan politiknya semata-mata.

“Isu muzakarah antara Umno-PAS sudah lama diperkatakan, tapi sampai sekarang ia masih belum selesai,” katanya.

Selain itu Khairy sebaliknya membuat tawaran balas kepada ahli-ahli PAS agar kembali menyertai Umno bagi kepentingan orang Melayu.

“Kenapa Umno perlu masuk PAS, kenapa tidak sebaliknya? Lagipun mereka juga sebelum ini adalah serpihan daripada PAS.

“Jadi wajarlah jika serpihan berkenaan kembali kepada badan yang lebih besar seperti Umno untuk membela nasib orang Melayu,” katanya.

Pilihan raya kecil bagi DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima daripada PAS akibat barah usus.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Allahyarham mendapat 4,399 menewaskan penyandang dari Barisan Nasional (BN), Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang bersama DUN Nenggiri dan Paloh.

Mstar

Monday, September 27, 2010

PRK lagi.. ADUN Galas YB Che Hashim telah kembali ke rahmatullah. Al Fatihah

ADUN Galas YB Che Hashim telah kembali ke rahmatullah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT.

Bersiap sedia jentera panglima perang untuk Pilihanraya Kecil Jumlah Dun Galas N45. Jumlah Pengundi Dun Galas, Parlimen Gua Musang : 10330 (6255 Melayu, 1903 Cina, 172 India dan 2000 Orang Asli).

Pada pilihanraya umum ke 12 yang lepas, PAS memenangi kerusi DUN N45 Galas dengan majoriti kecil iaitu 646 dimana Calon Pas YB Chek Hashim Selema mengalahkan Calon BN iaitu En Mohamad Saufi Deraman, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang (pada masa itu) yang juga penyandang bagi kawasan berkenaan.