Saturday, January 29, 2011

Khairy – Waspada Pengundi Luar


Labis: Pemuda Umno mengambil langkah berwaspada terhadap kepulangan pengundi luar disaat-saat akhir terutama kepada segelintir penyokong pembangkang menjelang hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Ahad.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, ini bagi memastikan pengundi tempatan tidak dipengaruhi dengan isu atau fakta negatif yang dibawa pengundi luar terlibat.

“Saya meminta pengundi tempatan yang tinggal di sini memantau pengundi-pengundi luar yang pulang pada saat-saat terakhir yang membawa propaganda tidak tepat tentang kerajaan untuk mengelirukan pengundi lain.

“Bagaimanapun, bukan semua pengundi luar begitu kerana mungkin ada segelintir pengundi tersebut mempunyai pandangan peribadi berasasakan fakta yang tidak betul untuk disebarkan kepada pengundi disini,” katanya kepada media selepas pertemuan dengan generasi muda di Pusat Gerakan BN di Kampung Tenang pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pihaknya kini sedang menyusun strategi untuk membawa pulang pengundi generasi muda pada hari pengundian Ahad ini dengan selamat tanpa sebarang gangguan.

“Kita sedang meneliti beberapa aspek terutama kesesakan jalan dan cuaca dalam memastikan seramai mungkin pengundi muda dapat keluar mengundi pada hari tersebut.

“Malahan kini dapat dilihat gelombang pengundi muda semakin memihak kepada BN berdasarkan gerak kerja seluruh anggota parti untuk memastikan kemenangan parti,” katanya.-Politik Harian

No comments: