Thursday, August 11, 2011

7 Saksi Telah Ditemu Bual Peguam Anwar


Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan membela diri atas pertuduhan meliwat pada Isnin ini, berada pada sesi temu bual dengan bakal-bakal saksi pembelaan.

Ketua Pembangkang itu bagaimanapun tidak dibenarkan turut serta secara aktif terutamanya dalam bertanyakan soalan kepada saksi-saksi tersebut.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan demikian selepas selesai mendengar hujah Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria dan C. K. Wong bagi pihak pendakwaan dan peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, di kamar beliau hari ini.

Semalam, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan membuat bantahan tidak rasmi berhubung kehadiran Anwar di bilik temu bual.

Kehadiran Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah menyebabkan dua saksi; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof, enggan ditemu bual.

Antara alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan berhubung isu tersebut adalah bagi mengelakkan Anwar mengubahsuai keterangannya setelah mendengar keterangan saksi-saksi.

Ia juga bagi mengelakkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menakut-nakutkan saksi kerana terdapat beberapa kali prosiding di mahkamah menunjukkan peguam-peguam bela Anwar gagal mengawal anak guamnya.

Karpal bagaimanapun berhujah bahawa Anwar perlu ada di sepanjang sesi temu bual tersebut kerana itu adalah haknya sebagai tertuduh.

Anwar, 64, diperintah membela diri atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Beberapa minit selepas hakim membuat keputusan tersebut, Karpal memaklumkan kepada petugas media, pihaknya akan menuju ke tingkat enam kompleks mahkamah terbabit bagi menemu bual tujuh orang saksi.

Saksi-saksi tersebut ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Mahmood Nik Hassan; pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. S. Jeyaindran; ahli korporat, Datuk Nik Mohd. Sidek Nik Abu Bakar dan bekas doktor di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Suresh Naidu.

Turut hadir ialah mereka yang didakwa di unit bertentangan dengan tempat kejadian pada 26 Jun 2008 iaitu bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Datuk Dr. Mohamad Ariff Abdul Kareem, pegawai bank Deutsche Bank (M) Bhd., Raymond Yeoh Cheng Seong dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Omar Malek Ali Merican.

Selepas temu bual itu berakhir kira-kira pukul 12.30 tengah hari, Anwar dilihat meninggalkan kompleks mahkamah tanpa memberikan sebarang komen dan hanya menyatakan ‘jumpa anda di mahkamah’ kepada pihak media.

Karpal bersama peguam-peguam lain yang turut hadir dalam temu bual itu, Sankara Nair, Ram Karpal Singh dan Datuk Param Cumaraswamy juga enggan memberikan sebarang komen termasuk sama ada saksi-saksi memberi kerjasama dalam menjawab setiap soalan.

Peguam bela utama itu hanya mengesahkan kehadiran tujuh orang saksi tersebut dan memberitahu dua lagi saksi akan hadir esok untuk ditemu bual

1 comment:

Anonymous said...

jgn tangguh lagi!