POLITIK HARIAN: Calon PRU: Pemuda UMNO Tidak Mahu Ulangi Kesilapan

Monday, August 22, 2011

Calon PRU: Pemuda UMNO Tidak Mahu Ulangi Kesilapan


AGENDADAILY: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tidak akan mengulangi kesilapan lalu dengan mengemukakan senarai nama calon yang hanya diterima atau popular oleh parti tetapi ditolak oleh masyarakat umum.

Selain itu, calon-calon yang mesra rakyat, rajin, amanah, ada ilmu tetapi tidak semestinya berijazah tinggi namun bersesuaian untuk memimpin masyarakat dengan baik adalah beberapa faktor yang menjadi penilaian sebagai 'winnerable candidate' Pergerakan Pemuda UMNO untuk pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin mengulas demikian ketika ditemui wartawan selepas menyerahkan semula Masjid Bahagia (Madrasah) yang telah dibaikpulih dekat Simpang Empat, Wisma Persekutuan, Kota Bharu, petang Sabtu.

Bagaimanapun, Khairy menjelaskan bahawa berpendidikan tinggi dan berijazah tidak menjadi kayu pengukur kepada calon yang bakal bertanding di kawasan bandar kerana di situ memerlukan seorang yang berwibawa dan dihormati masyarakat umum.

Apa yang lebih penting, kata Khairy, “asas penilaian calon diberi keutamaan kepada penerimaan masyarakat umum, kita mungkin buat kesilapan dulu dengan meletakkan penerimaan parti lebih dari kehendak masyarakat umum.”

Menurut Khairy, beliau mempunyai sumber-sumber lain untuk membuat penilaian terhadap calon-calon Pergerakan Pemuda UMNO itu samada dapat penerimaan dari masyarakat umum, bukan hanya popular dalam parti dan tidak hanya mendapat maklumat dari agensi kerajaan semata-mata.

Katanya, “setiap calon boleh bawa diri dengan baik dan boleh bergaul dengan setiap lapisan masyarakat, bukan hanya masyarakat di kawasan kampung sahaja tetapi dengan golongan profesional, pegawai kerajaan dan sebagainya, yang penting bila kemukakan calon itu masyarakat umum mestilah percaya dan mesti hormat kepada penglaman mereka.”

Ditanya samada pandangan tentang calon pembangkang yang mempunyai ijazah kedoktoran (Phd) ditonjolkan di sesuatu kawasan, Khairy berkata, “tak semestinya kalau mereka ada Phd maka kita pun kena ada Phd, tidak semestinya, tapi janganlah kalau dia ada Phd dan mesra rakyat kita pula letak calon yang jauh lebih kurang dari segi pendekatan dan keterampilannya.”

“Bagaimanapun, kayu ukurnya bukannya semata-mata atas kertas atau sijil dan kelayakan kertas tetapi dari keterampilan, kalau kita ada calon yang baik dan keterampilan sama hebat dengan calon pembangkang maka mungkin itulah yang kita akan pilih,” tambahnya.

Mengulas tentang jumlah kuota calon untuk Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy berkata, “saya tidak kejar apa-apa kuota untuk Pergerakan Pemuda UMNO, saya cuma ingin kemukakan nama-nama yang boleh dikatakan sebagai calon yang boleh menang 'winnerable candidate', kalau dulu kita ukur kehebatan dalam bilangan jumlah ahli pemuda yang boleh jadi calon tapi kali ini tak guna kita dapat ramai ahli pemuda dapat jadi calon tetapi tidak merupakan 'winnerable candidate' atau calon yang hebat.”

Khairy berkata, “saya hanya akan kemukakan nama-nama yang pada penilaian saya dan rakan-rakan adalah calon yang boleh menang dan berkualiti.”

Ditanya samada akan bertanding di Rembau, Khairy berserah kepada Perdana Menteri (PM) yang juga Presiden parti untuk menilai samada beliau adalah 'winnerable candidate' atau sebaliknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, “kalau saya bukan 'winnerable candidate' saya kena terima keputusan yang dibuat PM.”

Menurutnya, penting disini, siapa sahaja yang menjadi penyandang atau yang ada jawatan tertinggi dalam parti kalau sekiranya PM beritahu kita bahawa kita bukannya seorang calon yang 'winnerable', maka kita kena terima, kita jangan anggap diri kita terlalu hebat tidak boleh diganti dan kita sendiri mungkin akan menjejaskan jentera sekiranya tidak dipilih.

Katanya, “saya nak nasihat kepada pemuda, kalau sekiranya tak dapat jadi 'winnerable candidate' atau tidak dikenal pasti sebagai 'winnerable candidate' jangan rasa marah, kita kena terima keputusan dan penilaian PM, kalau nak jadi 'winnerable candidate' buat kerja sekarang.”

Berhubung dengan budaya 'cah keting', Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu berkata, “saya harap tidak adalah, kita sudah perketatkan tataetika parti, kalau ada bukti mana-mana pihak sabotaj parti atau sabotaj calon kita sendiri maka kita boleh ambil tindakan disiplin terhadap mereka.”


“Saya minta kalau dalam pilihan raya umum akan datang, sekiranya ada apa-apa bukti yang konkrit dan kukuh yang boleh tunjuk bahawa ada ahli UMNO dengan sengajanya telah kempen tentang UMNO dan calon BN itu maka kita boleh kemukakan pada Lembaga Disiplin untuk tindakan selanjutnya, ianya penting kerana kita hendak beri isyarat kepada ahli-ahli kita sekiranya mereka lawan parti atau menentang calon yang ditetapkan oleh parti mereka akan terima balasan,” kata Khairy.

Ketika diminta mengulas samada Barisan Nasional (BN) boleh merampas negeri Kelantan pada pilihan raya umum akan datang, Khairy berkata, “kita kena kerja kuat, saya tidak mahu buat apa-apa ramalan tapi kita yakin kita sudah melaksanakan tugas parti kita dengan baik di Kelantan ini.”

Katanya, “soal apa akan jadi pada pilihan raya umum akan datang kita masih lagi perlu kerja kuat dan pemimpin-pemimpin terutama terutamanya pemuda di Kelantan perlu teruskan tugas mereka mendekati masyarakat terutama generasi muda untuk terus bersama dengan kita. Jangan kita tanam satu keyakinan yang tidak realistik, saya sendiri secara peribadi saya yakin tetapi banyak lagi yang kita kena buat.”

Program 'JOM Ramadhan' Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia diperuntukan sebanyak RM5 juta dengan peringkat awal memberi tumpuan pada kerja-kerja baikpulih rumah-rumah orang susah seperti membaikpulih bumbung yang bocor, membaiki dinding, lantai, membina semula ruang dapur yang rosak dan mengadakan tandas yang selesa.

Menurut Khairy, program baikpulih rumah keluarga miskin mendapat sambutan menggalakkan di mana lebih 500 buah rumah telah diperbaiki, ianya mendapat impak yang baik dari keluarga tersebut.


“Tetapi kali ini kita memilih untuk memperuntukkan sebanyak RM10, 000 kepada setiap Pergerakan Pemuda UMNO Negeri bagi mencari sebuah masjid atau surau untuk dibaikpulih, setakat ini kesannya cukup baik dan memberi impak lebih besar iaitu penilaian masyarakat umum.”

Di Kelantan, Pergerakan Pemuda UMNO telah menyerahkan tanggungjawab kepada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu bagi membaikpulih Masjid Bahagia dengan kerja-kerja mengecat semula bangunan, mengganti karpet baru dan memasang satu unit penghawa dingin.

“Kita harap dengan sumbangan ini akan menyemarakkan lagi aktiviti di masjid tersebut, dari keseluruhan peruntukan sejak dari dilancarkan berjumlah RM5 juta dan akan mendapat peruntukan tambahan bagi meneruskan program ini.” ujar Khairy.

Khairy yang diiringi Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Rozabil Abdul Rahman kemudiannya menyertai majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada 100 orang anak yatim.

Turut serta di majlis tersebut Pengurus Besar Pusat Giatmara Kelantan Asri Abdul Ghani, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan Anuar Safian, Naib Ketua yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu Haji Rosmadi Ismail, sembilan ketua-ketua dan lima naib-naib Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian di Kelantan.

No comments: