POLITIK HARIAN: Isu DUMC : Kerajaan Selangor Perlu Minta Maaf Terburu-buru Salahkan JAIS

Wednesday, October 12, 2011

Isu DUMC : Kerajaan Selangor Perlu Minta Maaf Terburu-buru Salahkan JAIS


“Apa yang penting dalam isu DUMC (Damansara Utama Methodist Church) ini, mereka membawa dan menyebarkan fitnah bahawa ianya satu serbuan yang tidak patut dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor terhadap sebuah gereja yang menjalankan aktiviti kegerejaan. Itulah gambaran yang diberikan kepada rakyat,” ujar Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin.

Tambahnya, gambaran yang diberikan kepada rakyat ini menyebabkan Menteri Besar Selangor tanpa sebab, tanpa usul periksa, tanpa menunggu laporan penuh terus melutut minta maaf kepada pihak gereja dan menyalahkan pihak JAIS.

“Itu gambaran yang diberi dahulu. Sekarang jelas, daripada titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor, bahawa apa yang didakyahkan itu tidak betul, sebenarnya memang wujud cubaan untuk mendakyah ajaran Kristian kepada sebahagian umat Islam sebagai aktiviti gereja tersebut dan apa yang dilakukan JAIS ialah untuk menyiasat, tiada langsung elemen serbu.

“Titah Tuanku mengesahkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor betul mengikut undang-undang dan yang paling penting, ianya benar dari segi adanya dakyah untuk memurtadkan orang Islam,” ujarnya kepada UMNO-Online di Lobi Parlimen di sini, hari ini.

Tegasnya, melalui titah tersebut jelas bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri Selangor termasuk Menteri Besar Selangor adalah terburu-buru, dalam nak melutut dan minta maaf kepada pihak gereja sebelum mendapat laporan penuh daripada JAIS sendiri.

Sehubungan dengan itu, beliau mendesak kerajaan Selangor dan Menteri Besar Selangor untuk meminta maaf kepada Tuanku Sultan Selangor kerana memperkecilkan satu institusi yang duduk di bawah naungan Tuanku.

“Kedua, Menteri Besar dan Kerajaan Selangor harus minta maaf kepada JAIS kerana memperlekehkan dan menidakkan fungsi JAIS dalam memartabat dan menobatkan serta membela akidah umat Islam.

“Ketiga, golongan dan mereka-mereka yang memaki hamun Datuk Hassan Ali dan JAIS wajar minta maaf kerana mengambil tindakan terburu-buru menfitnah Datuk Hassan Ali yang menjadi tanggungjawab dia sebagai Exco Agama dalam mempertahankan tindakan JAIS, yang ternyata sekarang ini betul,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mendesak supaya kerajaan Selangor segera mengambil tindakan terhadap gereja ini kerana terbukti, ada kegiatan dakyah agama lain terhadap umat Islam, serta terbukti bahawa gereja ini beroperasi tanpa permit, ianya gereja haram, mengapa tidak ada sebarang tindakan sehingga sekarang?

Beliau juga mendesak institusi Islam di Selangor dimartabatkan dan diberi kuasa yang sewajarnya untuk mengambil tindakan dengan peruntukan yang cukup agar agama Islam boleh dipelihara dan dipertahan dalam negeri Selangor.

“Rumusannya pada saya, titah Sultan Selangor ini bukti bahawa kerajaan Selangor bertindak terburu-buru. Mereka sepatutnya mengambil sikap berhemah sebagaimaan Tuanku Sultan Selangor yang menunggu dulu laporan penuh dari JAIS, barulah baginda bertindak.

“Tindakan yang diambil Sultan Selangor sekarang ini, bukan bermakna baginda memihak kepada mana-mana pihak, jangan disalah tafsir apatah lagi diputar belit kononnya Tuanku hanya mengambil tindakan sekarang, sebenarnya kalau kita tengok sejarah kesultanan Selangor ini, pernah Tuanku Almarhum Sultan Salahuddin menegur kerajaan Selangor di bawah pemerintahan BN, banyak kali Tuanku tegur secara terbuka,” tambahnya.

Ini membuktikan Tuanku Sultan Sharafuddin sekarang ini merupakan kesinambungan warisan di Raja Selangor yang sentiasa meletakkan kepentingan kebajikan rakyat terdahulu tanpa mengira siapapun yang memerintah dan ini adalah tradisi yang sepatutnya dihormati dan kita sepatutnya membantu Tuanku dalam memperkukuh serta memantapkan lagi institusi Di Raja dan juga pentadbiran kerajaan. -MediaUMNO

No comments: