Thursday, November 10, 2011

Khairy Sifatkan Tuduhan Pembangkang Mengenai NFC Liar


Pemuda dan Wanita UMNO menyifatkan tuduhan pihak pembangkang berhubung Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) adalah liar demi menagih perhatian umum bagi menutup kepincangan pembangkang yang kini terumbang-ambing menghadapi pilihan raya umum.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata dakwaan bahawa NFC telah menyalurkan wang sejumlah RM81.2 juta kepada National Livestock & Meat Corporation Sdn Bhd (NLMC), syarikat sekutu NFC dan memberi diskaun hampir RM3 juta kepada sebuah lagi syarikat sekutu Real Food Company Sdn Bhd (RFC) adalah tidak benar.

“Tuduhan yang dibuat ada banyak kelemahan dari segi fakta, hujah dan dasar kerana tidak membawa apa-apa kebenaran di mana saya sendiri telah membuat penyelidikan yang dibuat melalui laman web dan temu ramah dengan pihak berkaitan.

“RM81.2 juta itu bukan sahaja bertujuan menghasilkan daging mentah tetapi juga untuk membina kemampuan dari aspek pemasaran, perancangan operasi, kewangan, perancangan organisasi dan pengurusan sumber manusia,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Katanya NLMC juga dipertanggungjawabkan untuk membina rangkaian penawaran, membina pasaran untuk produk fidlot serta membeli hasil dari ladang satelit.

“Ia juga berperanan untuk memajukan operasi sistem lojistik dan penghantaran serta membina pasaran bagi produk Pusat Fidlot Nasional sebagai pengeluar daging yang konsisten dan berkualiti tinggi di dalam proses persediaan untuk Program Pembangunan Usahawan,” katanya.

Manakala berhubung dengan dakwaaan tentang pemberian diskaun, anggota Parlimen Rembau itu berkata RFC berperanan sebagai pengedar daging keluaran NFC dan diskaun yang diberi itu kemudiannya disalurkan kepada kesemua pembeli-pembeli daging.

“Ini termasuklah hypermarket besar di negara ini seperti Jusco, Carrefour, Cold Storage dan Giant, pasar-pasar tani di seluruh negara dan juga pasaran hotel-restaurant-catering’,” katanya lagi.

1 comment:

pencinta negara said...

harap isu ini dijelaskan menerusi kronologi cerita kerana ramai rakyat masih tidak faham mengenai isu ini dan percaya bulat2 kepada pembangkang yang pandai menuduh tanpa bukti yang kukuh.