Wednesday, November 30, 2011

Pas Takkan Boleh Ganti UMNO, Yang Sebenarnya DAP Ganti Pas ! #PAUmno


Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pas takkan boleh menggantikan UMNO kerana UMNO tiada galang-ganti.

Sebaliknya tegas beliau apa yang berlaku hari ini bukan Pas ganti UMNO seperti yang dicanang oleh mereka kerana yang sebenarnya berlaku ialah DAP Ganti Pas.

“DAP bercakap mengenai Islam, Pas mengiyakan sahaja. Pemimpin DAP menyebut dua tiga patah ayat al-Qur’an walaupun salah, Pas mempertahankan. Pemimpin DAP menggelar dirinya Khalifah Umar Abdul Aziz, Pas memberi pengiktirafan.

“Pemimpin DAP berceramah, penyokong Pas bertakbir. Tetapi apabila Pas menyebut tentang Negara Islam, pemimpin DAP lah yang pertama sekali mengecam Pas. Dan apabila dikecam, Pas diam seribu bahasa. Apa maknanya ini?”, katanya semasa merasmikan serentak perhimpunan agung pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2011 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)semalam.


Maknanya, tegas beliau DAP lah yang memberi definisi kepada Islam yang dianuti oleh Pas.

Kata beliau lagi DAP lah yang menjadi penentu arah aliran Islam yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang. Bukankah ini maknanya DAP menggantikan Pas?

Untuk menutup kegagalan mereka mempertahankan kesucian Islam, tambah beliau Pas mengemukakan agenda Negara Berkebajikan.

“Kini, mereka mengatakan konsep Negara Islam tidak disebut dalam al-Quran, yang ada hanyalah Negara Berkebajikan”, ujarnya.

Jelas beliau lagi malang bagi Pas kerana setelah puluhan tahun memperjuangkan negara Islam, tetapi akhirnya mengatakan konsep negara Islam tiada dalam al-Quran.

Maknanya, kata beliau selama ini Pas membohongi umat Islam dengan perjuangan palsu mereka.

“Walau apa pun, kita hendak bertanya kepada Pas. Negara Berkebajikan bagaimana yang mereka ingin wujudkan? Yang kita tahu, bekalan air bersih pun tidak mampu mereka sediakan kepada rakyat Kelantan. Bukankah air adalah keperluan rakyat paling asas yang mesti dipenuhi oleh mana-mana kerajaan.

“Justeru, kita nak katakan kepada Pas, kalau bekalan air bersih pun tak dapat disediakan, janganlah simpan angan-angan hendak wujudkan Negara Berkebajikan. Selesaikan dahulu masalah air di Kelantan, kemudian barulah bercakap soal Negara Berkebajikan”, katanya.

Sebenarnya tegas beliau Pas bukanlah beriya-iya benar hendak mewujudkan Negara Berkebajikan kerana mereka sendiri pun tak faham apa maksud Negara Berkebajikan.

“Slogan Negara Berkebajikan hanyalah helah politik Pas untuk menutup kelemahan sendiri kerana tergadainya matlamat untuk mendirikan negara Islam. Apa yang penting bagi Pas, slogan Negara Berkebajikan boleh diterima oleh DAP”, ujarnya.

No comments: