Monday, November 14, 2011

Pemuda UMNO Yakin BN Tawan Kembali Beberapa Kerusi Di Pulau Pinang

Pemuda UMNO tidak menolak kemungkinan Barisan Nasional (BN) berjaya menawan kembali beberapa kerusi Dewan Undangan  Negeri (DUN) di negeri ini yang gagal dipertahankan oleh BN pada pilihan raya umum lepas, pada pilihan raya umum ke-13, kata Ketuanya, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kajian yang dilakukan mendapati beberapa  faktor membolehkan BN menguasai kembali kawasan terbabit iaitu jumlah majoriti yang kecil dimenangi  pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lepas dan kegagalan wakil rakyat berkenaan menjalankan tugas.

"Kami yakin mampu mengekalkan 11 kawasan DUN sedia ada serta  menambah bilangan kerusi untuk pilihan raya umum nanti, ia berdasarkan  kepada gerak kerja di peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas  mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemuda UMNO Malaysia kali kedua  di sini hari ini, yang antara lain membincangkan program-program yang telah disusun selama dua minggu menjelang  Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini.

Katanya tumpuan dan fokus utama Pemuda UMNO juga diberikan  kepada usaha untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi-pengundi muda.

"Untuk tujuan ini Pemuda telah mewujudkan pangkalan data dalam  laman web Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB), ia mempunyai maklumat  terperinci setiap peserta yang menghadiri program anjuran Pemuda UMNO,  maklumat mereka ini akan digunakan untuk membantu persediaan pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Sementara itu, Pemuda UMNO akan mengadakan karnival kerjaya Pemuda BN pada 18 Nov hingga 20 Nov ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur bertujuan membantu golongan muda mendapatkan  pekerjaan.

"Ini sekali lagi usaha kita untuk membantu menyelesaikan  masalah golongan muda (dalam mencari kerja). Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan  merasmikan majlis penutup karnival itu," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

sedia gempur chief!!