Saturday, December 17, 2011

0 Ayahanda Berhimpun Desak Kor Ming Mohon Maaf


Kira-kira 200 ahli Majlis Ayahanda-ayahanda Negeri Perak mengadakan demonstrasi aman di hadapan pejabat DAP Perak di sini hari ini bagi mendesak Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming memohon maaf secara terbuka kerana mempersenda kedaulatan negeri ini dengan gelaran 'Perak Darul Kartun'.

Sambil menyifatkan kenyataan tersebut sebagai biadab, mereka juga menggesa Ahli Parlimen Taiping itu bertanggungjawab terhadap kenyataannya menggelar Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dengan gelaran 'Hitam Metalik' dan 'haram jadah' baru-baru ini.


Ketua Penerangannya, Datuk Halim Ramli berkata, kenyataan Kor Ming itu sangat tidak beradab kerana mempersenda kedaulatan negeri Perak, malah semakin berani menyentuh sensitiviti kaum di negara ini.

Katanya, walaupun Kor Ming telah meminta maaf sebelum ini, namun permohonan maaf itu kelihatan tidak ikhlas dan dilakukan secara sambil lewa.


"Kami mahu dia mohon maaf secara rasmi, jumpa Menteri Besar dan minta maaf dengan dia. Selain itu dia juga perlu bertanggungjawab kerana mempersendakan kedaulatan negeri ini dengan gelaran 'Perak Darul Kartun'.

"Jika dia tidak suka dengan negeri ini, dia boleh keluar malah dia tidak layak langsung tinggal di negeri berdaulat ini," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil DAP Perak, Cheah Poh Hiun di pintu masuk pejabat berkenaan hari ini.

Mereka yang berkumpul hampir satu jam sejak pukul 3 petang turut membawa beberapa kain rentang yang antara lainnya tertera kata-kata 'Jangan Biadap, Penderhaka Sultan', 'Jangan Hina Kedaulatan Negeri Perak', 'Jangan Hina Melayu' dan 'Jangan Mulakan Politik Maki Hamun'.

Halim menambah, sebagai ahli politik, Kor Ming tidak wajar bersikap biadap dengan menjadikan isu sensitif berkaitan peribadi pemimpin sebagai agenda dalam menyuburkan benih kebencian di kalangan rakyat.

Justeru katanya, sekiranya Kor Ming enggan memohon maaf kepada Zambry dan seluruh rakyat negeri ini, gerakan tersebut tidak akan berakhir di sini malah diteruskan dalam kuantiti yang lebih ramai.

"Kor Ming perlu berhenti daripada terus mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti masyarakat. Jangan suburkan politik kebencian kerana ia akan menggugatkan keharmonian negara," tegasnya.

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates