Thursday, February 23, 2012

KJ: Ego Anwar Terlalu Besar, Enggan Akui Silap


Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berego besar sehingga tidak sanggup untuk mengakui kesilapan dalam kontroversi berkaitan kenyataan menyokong kepentingan Israel.

"Apakah ego beliau terlalu besar untuk mengakui kesilapan atau memang itulah pendirian sebenarnya?

"Walau apapun sebab keengganan beliau untuk menarik balik kenyataannya, jelas tanpa tindakan itu Anwar akan terus dilihat terang-terangan pro-Israel," kata beliau dalam pendapatnya disiarkan Sinar Harian hari ini.

Khairy melahirkan pandangan ini sehari selepas pertemuan antara Anwar dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kuala Lumpur.


Anwar bertemu untuk menjelaskan kenyataannya yang disiarkan oleh Wall Street Journal bulan lalu.

Sementara Anwar berhadapan dengan kecaman pemimpin-pemimpin Umno dan BN, selain beberapa pertubuhan bukan kerajaan, pihak Pakatan Rakyat pula mendakwa kerajaan pusat memperlihatkan hipokrasi kerana membenarkan hubungan perdagangan dengan syarikat-syarikat Israel.

Berikut teks penuh tulisan Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno dan Ahli Parlimen Rembau.

Bagai ayam lepas bertaji, Anwar Ibrahim dilihat kehilangan punca dan arah menjelaskan kenyataan kontroversi beliau yakni “(saya) menyokong segala tindakan bagi menjaga keselamatan negara Israel” di akhbar The Wall Street Journal (WSJ) apatah lagi selepas beliau disanggah teruk oleh orang Islam di luar dan di dalam negara, termasuklah daripada rakan kongsi politiknya, PAS.

Manakan tidak, ini kerana Anwar secara terang-terangannya menonjolkan belang sebenar beliau yang memberi sokongan penuh dan umum (blanket support) kepada Israel untuk melakukan apa sahaja demi menjaga keselamatan negara tersebut.

Secara spesifik, kenyataan Anwar telah menghalalkan kezaliman dan keganasan rejim Israel yang telah menggunakan alasan keselamatan untuk menyerang dan membunuh rakyat Palestin. Ribuan nyawa Palestin yang terkorban selama puluhan tahun penjajahan Israel, pembinaan tembok yang memenjarakan rakyat Palestin dan menghalang perjalanan mereka untuk mencari rezeki, sekatan ekonomi yang mengakibatkan penduduk Semenanjung Gaza miskin dan derita di samping pembunuhan sembilan sukarelawan antarabangsa dalam Misi Kemanusiaan Flotilla 2010, semuanya dilakukan oleh Israel atas alasan keselamatan negara.

Tidakkah Anwar sedar bahawa kenyataan beliau secara langsung mengiktiraf pembunuhan tersebut dan member lampu hijau untuk kezaliman ini diteruskan?

Setelah kenyataan beliau menimbulkan kemarahan orang ramai, Anwar telah cuba untuk melepaskan diri daripada kesalahannya dengan pelbagai alasan. Yang pertama, beliau menyalahkan media arus perdana dengan mengatakan kenyataan beliau tidak dipetik sepenuhnya. Beliau sebut bahawa sokongan itu bergantung (contingent) kepada aspirasi rakyat Palestin menjadi realiti.

Tetapi jika kita kaji apa yang diterbitkan dalam WSJ, kita sedar bahawa Anwar merujuk kepada pengiktirafan diplomatik untuk Israel sebagai langkah yang bergantung (contingent) kepada aspirasi rakyat Palestin dipenuhi. Itu berbeza dengan kenyataan pertama iaitu keselamatan Israel perlu dijamin dengan apa cara pun.

Kenyataan itu tidak datang dengan apa-apa syarat tetapi dibuat secara sokongan mutlak. Inilah yang menyebabkan ramai pemimpin-pemimpin Islam termasuk dari Palestin rasa marah, kecewa dan mempertikaikan kredibiliti Anwar sebagai seorang yang sering mempromosi diri sebagai pejuang dunia Islam.

Bila dah tersepit dengan kenyataan yang jelas pro-Israel, tidak hairanlah apabila Anwar cuba mengalihkan perhatian dengan serangan terhadap kerajaan Malaysia yang dikatakan membenarkan perdagangan dengan Israel. Mengikut beliau, ini adalah bukti kerajaan Barisan Nasional bersekongkol dan menyokong Israel.

Walaupun tuduhannya itu agak dramatik, saya memahami mungkin inilah satu-satunya cara terdesak untuk beliau membersihkan ‘dosa’ memberi sokongan mutlak kepada Israel dengan cara menyalahkan orang lain.

Pertama, kita kena tanya soalan adakah benar Malaysia mempunyai hubungan dagangan dengan Israel sebab seperti yang diketahui umum, kita tiada sebarang hubungan diplomatik atau politik dengan negara tersebut? Di bawah Akta Kastam 1967 memang ada larangan transaksi perdagangan dengan Israel. Walau bagaimanapun kelonggaran telah diberi kepada penguatkuasaan akta ini pada tahun 1996 untuk membenarkan syarikat-syarikat swasta import dan eksport barangan ke Israel.

Mungkin Anwar mudah lupa, tetapi saya masih ingat bahawa beliau sendiri yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan lebih penting lagi Menteri Kewangan yang bertanggungjawab atas Jabatan Kastam pada 1996. Oleh itu Anwar tidak boleh buat-buat tidak tahu mengenai wujudnya kelonggaran tersebut yang beliau sendiri meluluskan dengan menuding jari kepada kerajaan Barisan Nasional semasa.

Ada yang tanya, kalau dia memang buat dahulu, kenapa sekarang tidak ubah balik dan langsung melarang perdagangan dengan Israel? Yang pertama, perdagangan ini dibuat oleh syarikat-syarikat swasta. Ia tidak digalakkan oleh kerajaan. Kedua, kebanyakan daripada perdagangan ini dibuat oleh syarikat-syarikat antarabangsa (MNCs) yang ada kilang di seantero dunia termasuk Israel.

Kita kena faham bahawa di arus era globalisasi, MNCs yang melabur di negara kita mempunyai sistem rantaian penawaran (supply chain) dan perniagaan yang merentasi pelbagai negara. Sebagai contoh, syarikat-syarikat antarabangsa seperti Dell, Intel, Motorola, IBM, Agilent Technologies dan Oracle kesemuanya mempunyai kilang dan pejabat di merata negara termasuklah Malaysia dan juga Israel.

Realiti ini boleh dijelaskan dengan contoh proses pembuatan mikroprosesor Intel yang bermula di Amerika Syarikat dan Israel sebelum dihantar ke kilangnya di Malaysia untuk diuji. Ada juga produk-produk yang dibuat di Malaysia yang mana bahan mentahnya hanya boleh dibeli dari syarikat yang ada kilang di Israel. Apakah ini sama dengan sokongan politik untuk meneruskan pembunuhan rakyat Palestin? Sudah pasti tidak. Ini realiti globalisasi dan proses pembuatan yang merentasi sempadan.

Tetapi dalam keghairahan Anwar dan konco-konconya cuba menutup kesalahan kenyataan pro-Israel beliau, mereka sanggup menyerang perdagangan antara syarikat-syarikat yang berpangkalan di Malaysia dan Israel tanpa mengakui globalisasi merumitkan halangan-halangan perdagangan. Namun, jika pembangkang masih berterusan dengan hujah ini untuk pertahankan kenyataan Anwar, saya nak cabar mereka buat pendirian bersama sebagai Pakatan Rakyat (PR), bahawa jika mereka menang pilihan raya kelak, semua perdagangan yang saya sebut di atas akan dilarang oleh mereka. Berani ke tidak mereka buat demikian?

Sebenarnya, tak perlu kita tunggu sehingga pilihan raya. Jika Anwar sudah tidak setuju dengan kelonggaran yang beliau sendiri beri pada 1996 untuk membenarkan perdagangan swasta bersama syarikat-syarikat yang ada di Israel, saya cabar beliau sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat minta kerajaan-kerajaan negeri di bawah PR untuk menarik balik lesen premis yang diberi oleh pihak berkuasa tempatan kepada kilang dan pejabat syarikat-syarikat seperti Intel, Agilent dan Motorola yang beroperasi di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah atas sebab mereka mengimport barangan dari Israel.

Saya juga cabar Anwar mengarahkan semua petugas parti beliau buang semua komputer dan telefon bimbit mereka yang ada komponen Intel atau Motorola kerana ia berasal dari kilang di Israel. Kalau tak dapat buat demikian, jangan nak menuding jari pada kerajaan Barisan Nasional.

Yang jelas di sini ialah wujudnya perdagangan antara syarikat-syarikat swasta yang berpangkalan di Malaysia dan Israel atas tuntutan dan keperluan globalisasi jauh beza daripada sokongan dan pembelaan politik yang telah diberi oleh Anwar terhadap Israel dalam kenyataan beliau dalam WSJ. Kerajaan Barisan Nasional konsisten menyokong perjuangan Palestin dan langsung tidak tergamak untuk bercakap soal keselamatan Israel sepertimana Anwar kerana sedar bukannya Israel yang dizalimi tetapi sebaliknya adalah rakyat Palestin.

Yang paling sedih ialah bagaimana seorang pemimpin yang mengaku dirinya sebagai pejuang Islam sejagat begitu enggan untuk menarik balik kenyataan beliau walaupun konteksnya jelas menunjukkan sokongan mutlak kepada Israel sehingga menghalalkan pembunuhan rakyat Palestin.

Apakah ego beliau terlalu besar untuk mengakui kesilapan atau memang itulah pendirian sebenarnya? Walau apapun sebab keengganan beliau untuk menarik balik kenyataannya, jelas tanpa tindakan itu Anwar akan terus dilihat terang-terangan pro-Israel. -SH

1 comment:

Unknown said...

Sekali lagi tembelang Anwar tersingkap... Memang jelas dari dulu sampai skrg Anwar mmg agen yahudi & Israel.

NURUL IZZAH: BILA I TAKDA MODAL, I SUKA BUAT FITNAH!! Baca di sini..

http://apakecoh2.blogspot.com/