Tuesday, April 17, 2012

0 500 Bendera BN Hangus Dibakar


SHAH ALAM: Bangunan Block 54 Pangsapuri PKNS, Seksyen 7 Shah Alam hampir terbakar apabila sebuah stor yang menempatkan lebih 500 bendera Barisan Nasional dipercayai dibakar oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Kejadian yang berlaku awal pagi tadi turut merosakkan dua buah motorsikal yang diletakkan berhampiran dengan stor tersebut.

Sebatang paip yang menyalurkan sisa kumahan penduduk pangsapuri itu bocor akibat tindakan khianat tersebut.

Menurut Ketua MIC Cawangan Nilam Sari, Deva A/L Nalansamy, kejadian tersebut disedari penduduk pada jam 4 pagi dan mereka bertungkus-lumus memadamkan kebakaran tersebut dari merebak ke kediaman mereka.

Menurutnya, beliau sangat kesal dengan kejadian yang menimpa namun tidak mahu membuat kesimpulan sendiri tentang siapa yang bertanggungjawab melakukan perkara terkutuk itu.


“Kami (penduduk) tidak mahu tuduh sesiapa. Tapi kami berasa sangat kesal dengan kejadian ini. Cuba bayangkan kalau api merebak ke rumah, orang mati, macam mana?

“Kami harap agar kejadian yang sama tidak berulang lagi. Kalau mahu ikut hati, kita juga boleh buat (bakar bendera), tapi kita tak mahu. Kita masih boleh fikir secara rasional lagi,” kata Deva.

Susulan daripada kejadian tersebut, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Seksyen 9 pagi tadi.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Blok 54, Hanipah Jantan turut kesal dengan kejadian tersebut.

“Saya sangat kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab ini. Saya harap pihak polis dapat menjalankan siasatan terperinci dan menghukum mereka yang terlibat,” katanya.

Satu laporan polis turut dibuat oleh beliau di Balai Polis Seksyen 7.

Susulan daripada kejadian itu katanya, pihak jawatankuasa penduduk akan lebih berhati-hati bagi mengelak kejadian yang sama daripada berulang.

-AntaraPos

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates