Monday, April 16, 2012

0 ISA: Janji Pakatan Tidak Sempurna - Khairy


Pembangkang lemah apabila berhadapan dengan isu menyentuh keselamatan negara, malah apa yang tertera dalam Buku Jingga dan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat (PR) tidak menyeluruh, kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, pembangkang tidak menyebut mengenai akta yang boleh menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, sebaliknya hanya menekankan dan menyebut mengenai pemansuhan ISA.

“Dalam janji mereka, mereka tidak sebut undang-undang yang jaga keselamatan negara. Sebenarnya, jika dilihat dari segi keseimbangan keselamatan negara dan sivil, kita (kerajaan) telah laksana semuanya.

“Bukan tugas mudah bagaimana kerajaan telah tulis dan sediakan rang undang-undang yang berjaya mengimbangi antara dua tuntutan tersebut.

“Kita cadangkan mansuh ISA dan diganti dengan rang undang-undang yang menghormati dua prinsip utama iaitu kebebasan sivil dan keselamatan negara dan ia tidak dipengaruhi oleh suara pembangkang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 di Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, sekiranya tiada akta yang boleh menjaga keselamatan negara, negara akan menghadapi kesukaran untuk menangani kes yang disebabkan oleh pengganas seperti kes Nordin Mat Top dan beberapa kes sebelum ini.

“Nordin Mat Top yang lari dari tahanan di Indonesia menjadi pelarian di sini dan ditahan dibawah ISA. Jadi, ini membuktikan kita perlu merangka akta yang berupaya menangani kes-kes keganasa begini,” katanya.

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates