Friday, April 6, 2012

0 Zambry Minta Nizar Hentikan Hipokrasi


Anggota Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pas diingatkan supaya menghentikan perbuatan hiprokrasi, kepura-puraan dan pendustaan berhubung projek pelaburan bijih besi oleh Vale International.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata tindakan itu boleh memberi kesan buruk terhadap pelaburan, pertumbuhan negeri dan pembangunan rakyat.

"Jika kita berusaha untuk menegakkan benang yang basah ia tidak ke mana. Lagi kita cuba 'bersilat' lagi menampakkan kelemahan sebagai pemimpin," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohammad Nizar hari ini yang mendakwa surat bertarikh 17 Dis 2008 yang ditandatanganinya ketika menjadi menteri besar Perak bukan menandakan persetujuannya terhadap pelaksanaan projek berkenaan di Teluk Rubiah, sebaliknya bagi tujuan "public relations" (menjalin perhubungan awam) dengan pelabur.

Zambry menyifatkan alasan yang diberikan itu sebagai tidak munasabah kerana Mohammad Nizar pada ketika itu merupakan seorang menteri besar dan kandungan surat tersebut merupakan satu perkara yang serius.

"Ia satu alasan yang tidak munasabah. Beliau adalah seorang bekas menteri besar, beliau perlu tahu bahawa setiap surat yang ditulis oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah negeri adalah bukan surat 'pen pall' atau kawan biasa yang suka-suka tulis. Surat itu adalah surat berjadual dan berjilid...ini bukan surat bagi tujuan 'marketing' atau 'public relations'," katanya.

Semalam, semasa persidangan dewan, Mohammad Nizar mengakui menandatangani surat bertarikh 17 Disember 2008 itu berhubung sokongan terhadap projek pusat pengagihan bijih besi oleh Vale International dan mengakui kesahihan kandungan surat berkenaan.

Surat berkenaan telah dikelaskan semula oleh kerajaan negeri berikutan dakwaan pembangkang kononnya mereka tidak terlibat dan tidak menyokong pelaksanaan projek itu di Teluk Rubiah.

Zambry berkata kandungan surat itu yang menyebut bahawa kerajaan negeri akan memproses pemindahan tanah berkenaan dan mengubah statusnya menjadi tanah perindustrian selepas permohonan diterima oleh Jabatan Tanah dan Galian, jelas menunjukkan sokongan Muhammad Nizar terhadap projek itu.

Zambry berkata kerajaan negeri tidak akan mendedahkan semua dokumen dan surat berkaitan projek berkenaan seperti yang diminta oleh pakatan pembangkang kerana ia bukan amalan pentadbiran yang baik.

Mengenai desas desus kononnya Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham, dan Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming, kedua-duanya daripada DAP, ada berjumpa beliau untuk meminta maaf dan mengatakan mereka tidak mengetahui tentang kewujudan surat bertarikh 17 Disember 2008 itu, Zambry hanya tersenyum dan enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, pada sidang media berasingan, Mohammad Nizar meminta kerajaan negeri mendedahkan semua dokumen berkaitan projek berkenaan. Pada Sabtu lepas, Mohammad Nizar, Ngeh dan Adun Tronoh, V. Sivakumar, menyertai 100 anggota Jaringan Aktivis Alam Sekitar Perak mengadakan bantahan terhadap operasi syarikat bijih besi Vale SA di Teluk Rubiah yang didakwa akan
memusnahkan alam sekitar di kawasan itu. - Bernama

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates