Wednesday, May 23, 2012

Sedia Muzakarah Tanpa Pas


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UMNO boleh mengadakan muzakarah dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam jika Pas belum bersedia untuk berbuat demikian.

Sambil menyatakan bukan satu masalah bagi UMNO meneruskan usaha mencari titik perpaduan tanpa Pas, Timbalan Perdana Menteri percaya banyak lagi pihak lain yang masih mahu melihat usaha mewujudkan perpaduan itu diteruskan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata, parti sentiasa bersikap terbuka dalam perkara berkaitan perpaduan ummah yang merupakan asas kekuatan agama dan bangsa, sekali gus menerima baik cadangan menjurus ke arah tersebut.

"Saya fikir kalau pihak lain digabungkan dengan UMNO, mungkin ia boleh menjadi jumlah yang lebih besar dan mungkin dapat membantu dalam usaha mewujudkan kerjasama, perpaduan atau muzakarah.

"Jadi, kalau Pas kata mereka tidak bersedia untuk bermuzakarah, tidak apa. Yang penting hasrat kita mewujudkan perpaduan itu boleh dilakukan dengan pihak lain yang berminat," katanya mengulas usaha muzakarah UMNO dan Pas.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Galeri Glulam di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, pada masa ini belum ada pihak secara rasmi mencadangkan perkara itu, namun, beliau menerima banyak pandangan daripada NGO yang turut melahirkan rasa bimbang mengenai apa yang berlaku sekarang.

Malah, katanya, cadangan mengadakan perbincangan dengan pihak selain daripada Pas merupakan satu langkah yang sentiasa dialu-alukan oleh UMNO dan pada masa sama bersedia untuk duduk mengadakan perbincangan ke arah itu tanpa sebarang syarat.

"Duduk berbincang dulu, cari persefahaman seperti dalam soal perpaduan, kebaikan, kebajikan, ekonomi, pendidikan, hubungan antara kaum, peranan kita untuk pembinaan negara dan banyak lagi perkara serius.

"Bagi saya itu mungkin boleh mewujudkan persefahaman yang luas kerana Pas sebenarnya tidak mewakili majoriti Melayu dan Islam. Malah, dari segi keahlian juga UMNO adalah parti terbesar Melayu," katanya.

Beliau berkata, UMNO tidak kisah pihak mana yang mahu menganjurkannya atau menaja kerana yang penting UMNO bersedia menyertai usaha ke arah itu.

Ditanya adakah perlu pihak ketiga memulakan usaha itu, beliau berkata: "Itu semua terpulang. Kalau pihak ketiga yang berintegriti dan mementingkan soal perpaduan lebih daripada politik, apa salahnya kita duduk bincang bersama."-Utusan

No comments: