Sunday, January 13, 2013

Kalimah Allah: Peluang PAS Kembali Ke Pangkal Jalan... Takbirrr!


Ada kalangan yang rajin mengikuti rentak sepak terajang politik Datuk Seri Anwar Ibrahim mengandaikan mantan Timbalan Perdana Menteri itu ibarat pokok dedalu api.

Tumbuhan itu menumpang pokok lain tetapi lama kelamaan, pokok yang ditumpang akan mati, sebaliknya dedalu api yang kekal.

(Baca lagi Klik TAJUK ENTRI)


Barangkali, inilah terjadi pada PAS apabila berdakap mesra dengan Anwar dan menobatkannya sebagai Ketua Pembangkang.

Hari demi hari, PAS yang asalnya agak disegani sesetengah pihak kerana memperjuangkan Islam semakin hilang maruah sejak bersekongkol dengan PKR dan tunduk kehendak DAP.

Semua itu kerana peranan Anwar yang bijak menutur kata dan berjanji apabila berdepan pemimpin besar PAS terutama Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ada juga mendakwa, semua itu sudah dirancang lebih awal sejak Anwar krisis peribadinya bermula 1997, kemudian disingkir daripada UMNO dan kerajaan seterusnya dan dihukum penjara.

Ada juga yang mendakwa penyertaan Datuk Kamaruddin Jaafar yang rapat dengan Anwar ketika bersama-sama ABIM dan Yayasan Anda tetapi melompat ke dalam PAS selepas pemecatan Anwar adalah pembuka jalan apa berlaku kepada PAS ketika ini.

Apatah lagi, Anwar kembali dalam arena politik selepas memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 2008, sekaligus diberi kepercayaan oleh DAP dan PAS sebagai Ketua Pembangkang.

Barangkali dengan pengaruh Kamaruddin, beberapa pemimpin utama PAS mula condong memihak kepada Anwar dan dikenali kumpulan Anwarinas.

Kumpulan ini juga berjaya menguasai jawatan penting dalam PAS Pusat malah tewasnya Nasaruddin Mad Isa daripada mempertahankan jawatan Timbalan Presiden parti didakwa ada kaitan dengan kumpulan tersebut.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin banyak kali mengecam kumpulan Anwarinas malah bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali pula menggelar mereka sebagai parasit.

Sama ada dedalu api ataupun parasit, peranannya sama sahaja – bertujuan menghancur benda yang asal...dan PAS kini sukar menafikan bahawa parti itu menuju kehancuran gejala dedalu api dan parasit ini.

Tidak perlu diulang bagaimana PAS terpaksa akur dan tunduk desakan PKR dan DAP dalam pelbagai isu babitkan agama Islam kerana semua sedia maklum apa terjadi di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Apa yang perlu dilihat ketika ini adalah isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain dalam bible atau kitab mereka.

Lihat sajalah bagaimana Hadi jadi orang yang ditolak ke depan apabila mesyuarat pimpinan pembangkang membuat keputusan kalimah itu boleh digunakan agama lain.

Presiden PAS itu membaca keputusan tersebut tanpa mahu menjawab soalan lanjut.

Anwar dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang berdiri disebelah Hadi – begitu juga Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu – seolah-olah bagi membenarkan apa dikatakan Hadi.

Malangnya, kini Hadi terpaksa berdepan golongan ulama dalam parti yang tidak setuju dengan keputusan pakatan pembangkang.

Penentangan jelas dari Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib, timbalannya Datuk Dr Harun Din, Setiausaha Agung Mustafa Ali dan Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bukan perkara kecil.

Malah, mufti-mufti juga sepakat menolak persetujuan dibuat pakatan rakyat itu kerana kalimah Allah – eksklusif kepada orang Islam.

Kini, nasib Hadi terletak pada Majlis Syura Ulama yang akan bersidang pada Ahad malam bagi memutuskan pendirian sebenar PAS berhubung isu itu.

Apakah keputusan itu menyokong Hadi atau terus menentang Presiden PAS itu?

Apapun jawabannya, imej Hadi sudah tercalar. Dan jika Majlis Syura turut menyokong Hadi, imej PAS pula tercemar.

Itulah harga yang patut dibayar pemimpin dan parti PAS apabila bersekutu dengan Anwar dan DAP.

Namun, jika PAS memilih jalan keluar, ulama parti perlu kekal dengan pendirian dan Hadi pula kena akur kerana Majlis Syura adalah pimpinan tertinggi parti.

Seandainya berlaku dan Anwar serta DAP tidak bersetuju dengan keputusan itu, PAS boleh memilih jalan perjuangan sendiri.

Isu ini, sebenarnya boleh digunakan PAS bagi menebus segala kesilapan sejak bersama-sama dengan PKR dan DAP dengan meninggalkan pakatan pembangkang.

Ini juga pembuka jalan PAS membersihkan parti daripada kumpulan Anwarinas dan parasit sebelum PRU ke 13.

Hanya dengan cara itu PAS akan terus disegani dan dihormati walaupun sebagai pembangkang.

Sebenarnya belum terlambat bagi PAS kembali ke pangkal jalan. –Agendadaily

No comments: