Thursday, February 14, 2013

Pertemuan Sulit 4 Feb : Anwar & Azmin Pujuk Dr Haron Din Isu Kalimah Allah?


Abdul Rahman Malik - Yang jelas, Datuk Harun Din tetap berpegang kepada keputusan Majlis Syura Ulama parti bahawasanya kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam dan Syura menetapkan ia tidak boleh dibenarkan untuk diguna pakai dalam Bible berbahasa Melayu.

Sebab itu, walau dipujuk oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden parti itu, pada malam Selasa, 4 Februari lalu, pendirian Timbalan Mursyidul Am PAS itu tidak goyah. Pada malam esoknya, beliau berada di Melaka untuk menyebarkan keputusan Majlis Syura berkenaan.

Begitu juga dengan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib. Beliau menyerahkan kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil tindakan jika ada dikalangan anggota Pakatan Rakyat tidak kira PAS atau PKR yang mahu meneruskan gesaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahu Bible bahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah disebar-guna di seluruh negara.

Harun Taib lebih cintakan kebenaran dan umat Melayu Islam

Bukan Harun Taib tidak peduli atau kurang kasihnya pada PAS. Namun sebaliknya beliau lebih cintakan kebenaran dan umat Melayu Islam supaya jangan ditimpa mudarat lebih besar di kemudian hari tergelincir dari landasan iman dek sikap liberal segolongan pemimpin PAS yang tidak segan silu mengenepikan pandangan ulama dan kemaslahatan umat di masa akan datang.

Perbedaan pandangan ini nyata. Sebab itu, Mursyidul Am PAS, Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pun bungkam. Pada mulanya beliau berserta dalam kotak pemikiran Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa kalimah Allah boleh digunakan sesiapa sahaja asalkan bukan dengan tujuan menghina agama umat Islam.

Bagaimanapun apabila mempengerusikan mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS pada 13 Januari lalu, beliau akur bahawa hujah ulama lain lebih bernas daripada pegangannya. Setelah menurunkan tandatangan di atas lembaran ketetapan Majlis Syura itu, Nik Aziz terpaksa kelu. Beliau menjunjung kewibawaan Majlis Syura yang dipengerusikannya. Beliau tidak akan menyanggahnya.

Soal berubah haluan dan citarasa adalah lumrah dalam PAS?

Namun ada pandangan luar PAS yang menganggap soal berubah haluan dan citarasa adalah lumrah dalam PAS. Menurut pendakwah, Datuk Dr Asri Zainal Abidin ketidaktentuan pemikiran kepimpinan PAS ini membiak kecelaruan dalam pemikiran pengikut dan pemimpin PAS.

“Saya rasa ada kekeliruan pada pendirian PAS dalam masalah itu. Sekejap dia cakap lain, sekejap cakap lain (pula),’ katanya, ketika mengulas keengganan pimpinan PAS untuk merujuk kembali kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat bahawa pendirian PAS sudah berubah daripada pandangan presidennya yang dibuat dalam mesyuarat berkenaan pada 8 Januari 2013.

Isu kalimah Allah: Ketegasan Nik Aziz amat dituntut

Mungkinkah keengganan Haji Hadi ini kerana beliau berasa “malu-alah” pada pimpinan Pakatan Rakyat kerana mempunyai pendirian yang tidak konsisten? Atau, lebih berbahaya lagi mungkinkah ini ialah kerana kurang yakin kepada ketetapan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulamanya sendiri?

Sebagai presiden parti beliau harus melaksanakan ketetapan Majlis Syura Ulama dan bukan teragak-agak untuk menyatakan pendirian parti pada umum, terutama kepada PKR dan DAP.

Di sini ketegasan Nik Aziz amat dituntut. Sebagai Pengerusi Majlis Syura beliau bertanggungjawab menjelaskan “pendirian PAS yang lebih jelas itu” kepada bukan sahaja kepimpinan PAS tetapi kepada kerabat Pakatan Rakyat juga. Islam itu jelas. Nik Aziz tidak boleh memberi gambaran yang samar akan ketelusan Islam.

“Sindrom ulama bisu”

Perkara paling buruk yang boleh berlaku pada gerakan Islam seperti PAS ialah bila ia dilanda “sindrom ulama bisu”. Ketika itu ulama kelu untuk menyatakan kebenaran. Walaupun ia sudah melaksanakan perintah Allah “syura bainahum” atau bermesyuarat dikalangan kamu.

Keputusan yang dibuat oleh ulama PAS itu berpaksi kepada waqi’ atau realiti semasa. Dalam iklim sosial dan politik Malaysia, kedudukan Islam amat jelas baik di segi perlembagaan mahupun penghayatan.

Ia tidak pernah dipersoalkan secara terbuka oleh mana-mana pihak sebelum ini. Namun mutakhir ini ada segolongan orang Islam sendiri yang mahu merebut tampuk kekuasaan, sedang berusaha mengapikan kaum-kaum dan penganut agama lain agar mempertikaikan kedudukan istimewa Islam di negara ini.

Allah tetap Allah

Mereka diapikan dengan hujah hak kebebasan bersuara dan beragama yang mahu kedudukan yang sama rata dengan umat Islam. Bagi umat Islam tiada harta atau kuasa lebih besar daripada pegangan tauhid mereka Allah itu Satu. Ia tunggal. Tiada yang setanding Dia. Tidak Jesus, si anak Tuhan atau Roh Suci jelmaan Tuhan. Allah tetap Allah!

Kerukunan hidup di Malaysia selama ini berpaksi kepada kontrak sosial yang bertunjangkan Perlembagaan Negara. Entah apa tujuan Guan Eng mahu merubah perimbangan ini, amat mudah diterka. Begitu juga minat yang sekonyong-konyong ditunjukkan oleh kalangan penganut dan pemimpin Kristian yang mendesak mahu menggunakan sebutan “Tuhan tiga serangkai” mereka dengan kalimah Allah.

Ia seolah-olah mencabar bahawa Allah itu sebenarnya tiga dan bukan Esa seperti yang diimani oleh umat Islam. Jika itu tiada unsur mempermain atau menghina teras iman umat Islam apakah namanya itu, PAS?

Syukur masih ada Haron Din dan Harun Taib yang tidak mahu menggadaikan kedaulatan Islam dengan sekelumit kuasa politik dengan meletakkan kesucian zat Allah sebagai cagarannya.

Ustaz Ibrahim Libya

Usahlah melakukan kesilapan akidah yang besar sekali lagi. Pernah Ustaz Ibrahim Libya meletakkan jawatannya di Pusat Islam dan kembali ke kampung halamannya di Memali, Baling, Kedah demi menegakkan sebuah Negara Islam.

Beliau terpanggil untuk menyahut seruan pemimpin muda PAS, Abdul Hadi Awang bahawa PAS menentang Umno kerana Umno itu berpandukan undang-undang dan perlembagaan kafir. Menentang Umno adalah jihad. Jika terkorban kerana itu, ia adalah syahid. PAS mahu menegakkan Negara Islam di Malaysia.

Persoalannya, adakah benar Ibrahim Libya syahid? Apabila PAS mula berasmara dengan DAP dan PKR ia melafazkan bahawa perjuangannya yang sebenarnya kini ialah mendirikan sebuah Negara Berkebajikan. Negara Islam, kata PAS pimpinan Hadi, tiada tertera dalam al-Quran?

3 comments:

Anonymous said...

Tak pyh nk tokok tambah le bro,klau kamu sendiri tk ada dlm pertemuan itu.Knp ko tk berkata apa,bila kalimah Allah di guna pakai dlm Bible di Sabah dn Serawak.Tk ada penganut Islam ke di sana?Apa pandangan kamu?Yg melulus kn kabinet Malaysia,bro!Jgn di sini tk blh tp di sana blh plk.Tk prnah aku dngr di Malaysia ni pasal penggunaan kalimah Allah dlm Bible ank Melayu/Islam menjadi murtad.Krn cinta dn kesempitan hidup memang ada.Cuba tny pihak kerajaan,apa yg telah mereka buat utk mengatasi masaalah ini?Kes Aishah Bukhari,Hartina Kamarudin dn Lina Joy msh segar dlm ingatan bro!Di mana ko masa tu?

Anonymous said...

Penggunaan kalimah Allah oleh agama lain membawa kepada dua permasalahan besar iaitu kekeliruan di kalangan umat Islam sehingga membawa kepada murtad, dan juga syirik secara langsung iaitu ke atas nama Allah itu sendiri. Kedua-dua masalah ini bolehlah disifatkan sebagai satu bencana besar kepada umat Islam.

Oleh itu, tidak keterlaluan rasanya untuk menyarankan supaya mana-mana umat Islam yang tidak merasa gusar atau terganggu dengan kedua-dua permasalahan ini, agar menyemak kembali imannya.

Anonymous said...

Tuhan dalam Islam adalah berbeza daripada dewa atau tuhan Kristian (trinity). Semua orang Islam tahu tentang Allah. Mengapa ada keperluan untuk menggunakan nama yang sama? Adakah ia sengaja bertujuan untuk mewujudkan kekeliruan? Jika ada agenda tersembunyi rancangan itu harus dielakkan. Begitu juga seseorang boleh menukar nama agama Kristian ke Islam? Pasti tidak kerana mereka adalah dua agama yang berbeza.