Tuesday, March 12, 2013

15 Pengganas Sulu Ditembak Di Kg. Tanduo 1 Mac Lalu


Lahad Datu - Pasukan keselamatan percaya 15 anggota penceroboh militan terbunuh dalam pertempuran di Kampung Tanduo 1 Mac lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata sehubungan itu polis akan memeriksa semula kawasan kubur yang ditemui di kampung itu pada 6 Mac, yang turut menyaksikan polis menemui 12 mayat penceroboh.

"Sebelum ini kami jumpa sembilan mayat di dalam sebuah kubur dan berdasarkan maklumat baru itu, kami percaya terdapat kubur lain di kawasan itu," katanya pada sidang akhbar pagi ini.

Bagaimanapun, katanya, polis tidak akan mengeluarkan mayat-mayat di dalam kubur itu kerana ia telah mereput.

Sementara itu, Hamza berkata pasukan keselamatan mengeluarkan satu lagi mayat dari Kampung Tanjung Batu semalam, menjadikan 23 jumlah keseluruhan mayat yang dikeluarkan setakat ini.

"Saya juga sahkan satu daripada 23 mayat itu ialah seorang jeneral dikenali sebagai Musa yang mati dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu," katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa tiada pertempuran antara pasukan keselamatan dan penceroboh militan dalam tempoh 24 jam lepas.

"Tumpuan Operasi Daulat yang masuk hari kelapan hari ini ialah Kampung Tanjung Labian dan Kampung Tanjung Batu," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai agar membantu pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat untuk membanteras kumpulan pengganas militan yang berkubu di Kampung Tanduo sejak 12 Feb lepas.

Sejak insiden pencerobohan pengganas itu, lima anggota polis cedera manakala lapan lagi terkorban iaitu dua dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam dalam serangan hendap di Semporna pada 2 Mac.

-Bernama

No comments: