Sunday, March 10, 2013

35 Ahli Pas Jabi, Terengganu Keluar Parti Dan Sertai UMNO

Ismail Samah (kiri) menerima borang kemasukkan ahli UMNO dari 35 bekas ahli Pas yang diketuai Ali Bakar (tiga, kanan) selepas Majlis Ceramah Selamat Tinggal Pembangkang (STP) di Kampung Tok Dor, Jabi, Besut malam tadi.

Seramai 35 anggota dan penyokong PAS dari Kampung Tok Dor dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri Jabi, Setiu bertindak keluar parti dan menyertai UMNO malam tadi.

Ketua mereka, Ali Bakar, 69, berkata mereka sudah hilang keyakinan terhadap perjuangan parti pembangkang itu lalu bertindak keluar secara beramai-ramai.

"Dulu mereka persoalkan dan beritahu bahawa ahli UMNO jadi kafir kerana bersama-sama MCA dan MIC dalam Barisan Nasional, tetapi hari ini Pas pula berkawan dengan DAP, tidak pula dihukumnya," katanya kepada pemberita.

Ali yang menjadi anggota Pas selama lebih 20 tahun berkata, mereka kecewa dengan sikap pemimpin Pas yang sering berdolak-dalih terhadap pelbagai isu yang membabitkan kepentingan umat Islam termasuk penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam.

"Kami semua baru sedar tipu helah pemimpin Pas yang sering memutar belit isu agama sehingga ramai penyokong Pas terkeliru. Sebelum ini kami ahli Pas pernah bertanya kepada pemimpin kami mengenai kedudukan isu kafir-mengkafir, tetapi tiada seorang pun yang tampil memberi penjelasan menyebabkan kami kecewa dan sudah tidak percaya lagi dengan cakap-cakap mereka," katanya.

Majlis penyerahan borang keahlian UMNO didahului oleh Ali kepada Setiausaha UMNO bahagian Setiu, Ismail Samah.

-Bernama

No comments: