Saturday, March 16, 2013

Agbimuddin Kiram Sudah Lari Ke Filipina


Pihak berkuasa keselamatan negara yakin telah melumpuhkan kumpulan penceroboh pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah, dengan ketua kumpulan itu dipercayai melarikan diri ke Filipina.

Gerakan ofensif pasukan keselamatan negara terhadap kawasan kubu pengganas di Kampung Tanduo sejak 11 hari lepas menyebabkan ketua kumpulan penceroboh itu, Azzumudie Kiram, yang turut dikenali sebagai Agbimuddin Kiram, meninggalkan pengikutnya di Lahad Datu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, di Kota Kinabalu, Sabah, malam ini.

Semalam seramai 11 lagi individu ditahan dalam operasi memburu dan mengesan penceroboh yang kini dipercayai bergerak dalam kumpulan kecil di beberapa kampung berdekatan dengan Kampung Tanduo.

Seramai lapan lelaki rakyat asing berusia 17 dan 29 tahun yang menaiki bot laju dari Filipina ditahan pada 12.15 malam ketika memasuki Sungai Bilis, Lahad Datu dan dua lagi lelaki rakyat asing yang dipercayai tali barut militan itu ditahan dalam operasi di Semporna.

Dalam tangkapan di Sungai Bilis, polis turut menemui wang tunai peso berjumlah PHP369,000 (RM28,375) dan satu tong kosong, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Sehingga petang ini, pasukan keselamatan menahan 97 orang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan 233 orang lagi ditahan kerana memasuki zon larangan Op Daulat.

Seramai 61 musuh pula ditembak mati dan 27 daripada mayat penceroboh militan itu dibawa keluar dari kawasan operasi untuk bedah siasat.

"Kami percaya terdapat 10 lagi mayat pengganas belum dibawa keluar dari Kampung Tanjung Batu," katanya yang turut mengesahkan bahawa pasukan keselamatan menemui tiga kubur dan 15 mayat di Kampung Tanduo.

Malaysia memberi tempoh tiga hari untuk Filipina menuntut mayat rakyatnya yang ditembak dalam Operasi Daulat itu dan jika tiada jawapan dalam tempoh itu, kesemua mayat berkenaan akan dikebumi mengikut cara yang sesuai.

Malaysia juga tidak bersendirian dalam menyelesaikan krisis di pantai timur Sabah itu apabila mendapat kerjasama erat dari Filipina.

Komitmen dan pendirian Filipina jelas apabila tentera laut Filipina menahan 35 pengganas Sulu yang cuba keluar dari Sabah dan kesemua mereka akan dihadapkan di mahkamah negara itu.

Pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif terhadap kumpulan militan dari Sulu pada 5 Mac selepas beberapa siri rundingan dengan kumpulan yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu sejak 12 Feb lepas gagal.

Dua hari lepas, Panglima Angkatan Tentera mengumumkan penambahan aset ketenteraan dalam usaha menggempur habis-habisan bagi menamatkan krisis pencerobohan militan Sulu itu.

Dalam tempoh pencerobohan itu, seramai 10 anggota pasukan keselamatan terkorban iaitu lapan anggota polis dan dua anggota tentera, manakala sembilan anggota pasukan keselamatan cedera. - Bernama

3 comments:

Anonymous said...

Berundur bukan bererti kalah....
Ada faham....,
Perjuangan akan pasti diteruskan oleh pejuang2 Fisabilillah mereka utk mengembalikan hak mereka yg di TIPU & DIROMPAK oleh manusia FASIK.

Anonymous said...

Fisabillillah mende bunoh solja ngan polis malaysia..penceroboh tetap penceroboh...ade fhm

Anonymous said...

Orang yg merompah harta orang memang patut di tentang...
Orang yg mrampas harta PAJAKAN orang patut di tentang....