Monday, March 25, 2013

0 Akar Umbi PAS Tolak Calon DAP Guna Lambang Pas


Akar umbi Pas kesal dengan keputusan pucuk pimpinan parti membenarkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bertanding menggunakan lambang Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ahli Pas Cawangan Taman Equine, Seri Kembangan, Mohd. Riza Kamaruddin berkata, perkembangan terbaharu itu mencetuskan persoalan mengapa Pas yang harus berkorban sedangkan DAP yang berhadapan dengan masalah.

Bekas aktivis media sosial Pas itu memberitahu, pemimpin-pemimpin Pas kini dilihat terlalu ingin menjaga hati DAP walaupun tindakan itu sebenarnya melukakan hati akar umbi parti.

"Kami tidak dapat menerima kemungkinan Kit Siang akan bertanding di bawah tiket Pas kerana perbuatan tersebut hanya merugikan parti.

"Kenapa kita mesti sentiasa tunduk dengan kemahuan DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Pas sepatutnya menjadi parti yang dominan dalam pakatan pembangkang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pemimpin Pas termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib mengalu-alukan hasrat Kit Siang untuk bertanding menggunakan lambang parti itu.

Bagaimanapun, Harun dalam kenyataannya semalam turut menegaskan mana-mana calon daripada DAP perlu mendapatkan keizinan Pas terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.

Baru-baru ini, Kit Siang pernah menyuarakan hasrat untuk bertanding menggunakan lambang Pas pada PRU-13 sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran DAP ekoran kesilapan dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Riza menyifatkan mana-mana pemimpin Pas yang menyambut baik hasrat Kit Siang itu tidak layak untuk menerajui parti.

Menurut beliau, segelintir pemimpin Pas kini sanggup membiarkan parti diperalatkan oleh DAP setiap masa demi memastikan kelangsungan 'politik nyanyuk' mereka.

"Ahli-ahli akar umbi Pas yang selama ini berhempas-pulas menyumbangkan masa dan tenaga sebagai jentera parti dan pakatan pembangkang perlu menggunakan kuasa mereka untuk menyedarkan pemimpin-pemimpin terbabit.

"Kita mesti menolak mereka pada PRU-13 dan seterusnya memastikan tokoh-tokoh yang idealis serta kredibiliti memimpin Pas selepas muktamar parti akan datang," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa berkata, Kit Siang dan calon-calon DAP yang lain hendaklah akur dengan permintaan Harun supaya mereka mendapatkan izin Pas terlebih dahulu sebelum menggunakan lambang parti tersebut.

"Kita mengikut apa sahaja keputusan pucuk pimpinan. Dalam hal ini, DAP hanya mahu menggunakan lambang Pas, tidak melibatkan soal prinsip," jelasnya. - UTUSAN

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates