Monday, March 25, 2013

Anwar Cenderung Ikut Amerika Jika Menang PRU13


Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan cenderung untuk mengikut telunjuk Amerika Syarikat sekiranya pakatan pembangkang itu memenangi Pilihan Raya 2013 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Menurut Daim, kecenderungan Anwar itu berdasarkan beliau sendiri suka dikaitkan dengan kuasa-kuasa Barat seperti Eropah, Amerika dan Australia.

“Jika beliau menjadi menteri kewangan sekali lagi atau menjadi perdana menteri, beliau lebih cenderung mengikut Amerika,” kata Daim dalam satu wawancara bersama New Straits Times yang disiarkan hari ini.

“Beliau suka dikaitkan dengan Eropah, Amerika dan Australia. Beliau cuba dapatkan sokongan Australia untuk mengutuk pilihan raya kita tidak adil. Beliau bercakap tentang Arab Spring tetapi bukan melalui revolusi sebaliknya menerusi peti undi,” tambah beliau lagi.

Daim juga berkata, Anwar telah memberitahu seluruh dunia bahawa beliau dan pakatan pembangkang akan menang kali ini, dan jika kalah, ia akan menyalahkan kerajaan dan gerombolan perusuh akan ke jalanan untuk menunjuk perasaan.

“Beliau janji nak bentuk kerajaan pada September 2008, semua orang gementar dan ramai yang percaya. Itu gaya beliau, hanya cakap dan berjanji. Sekarang beliau beritahu dunia beliau akan menang.

“Jika pakatan kalah, ia disebabkan amalan yang tidak adil dan gerombolan perusuh akan menunjuk perasaan,” katanya.

Bekas menteri kewangan itu berkata, cita-cita peribadi bekas timbalan perdana menteri itu mengatasi segalanya sehingga tidak kisah mengorbankan keamanan dan kestabilan negara.

“Bolehkah anda bayangkan jika Pakatan tidak berjaya ke Putrajaya? Beliau akan terus mendakwa berlaku penipuan dan cuba membawa Arab Spring ke sini, menghasut rakyat di bawah Barisan Nasional (BN), undi mereka dicuri dan terpaksa merusuh di jalanan untuk mendapatkan undi mereka.

“Ini akan menimbulkan huru-hara dan beliau tidak peduli kerana cita-citanya mengatasi segala pertimbangan, Pakatan pun tidak peduli kerana mereka di pihak yang sama,” kata Daim lagi.

Daim pernah menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1984 dan meletak jawatan pada tahun 1991, sebelum digantikan Anwar, kemudian selepas timbalan perdana menteri itu dipecat, Daim sekali lagi menjadi Menteri Kewangan dari 1998 hingga tahun 2001.

Daim juga pernah menjadi Menteri Tugas-Tugas Khas pada tahun 1998 dalam usaha menangani krisis ekonomi Asia yang berlaku pada ketika itu. -TMI

No comments: