Sunday, March 10, 2013

Lahad Datu: Pasukan Keselamatan Tiga Bot Yang Membawa 27 Penumpang Di Zon Merah


Pasukan keselamatan menahan 27 orang yang menaiki tiga buah bot ketika berada di Zon Merah Ops Daulat di kawasan pantai Tanjung Batu, dekat sini pada 10 pagi Sabtu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata mereka yang mendakwa kononnya ingin menangkap ikan ditahan di atas bot masing-masing setelah pihak keselamatan mencurigai kehadiran mereka di kawasan larangan itu.

Tiga bot yang membawa 27 penumpang ditahan oleh pasukan keselamatan di Tanjung Batu. Mereka ditahan ketika bot yang dinaiki berada di Zon Merah Ops Daulat di kawasan pantai Tanjung Batu, dekat sini pada 10 pagi Sabtu

"Kita curigai kehadiran mereka berhampiran lokasi operasi, jadi kita serahkan kesemua mereka kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk siasatan lanjut. "Walaupun tiada senjata ditemui, saya telah arahkan polis Daerah Lahad Datu untuk jalankan siasatan mendalam dan akan ambil tindakan sewajarnya jika mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh berkenaan," katanya dalam sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di markas operasi Op Daulat Felda Sahabat 16, dekat sini, Sabtu.

Beliau berkata penahanan itu menjadikan jumlah mereka yang ditangkap kerana disyaki mempunyai kaitan dengan militan dari Sulu meningkat kepada 106 orang, berbanding 79 orang semalam.

Berikutan operasi membersih dan membanteras musuh sedang dijalankan, Ismail menasihati orang ramai supaya tidak memasuki kawasan larangan yang ditetapkan kerana boleh menjejaskan operasi selain membahayakan mereka yang tidak berkenaan.

Berhubung 53 mayat penceroboh yang belum dibawa keluar dari Zon Merah, beliau berkata semua militan yang ditembak itu belum diperiksa oleh unit Forensik berikutan kedudukannya berhampiran dengan lokasi di mana musuh berada dan keadaan itu boleh mengancam nyawa pasukan sekiranya dihampiri.

Ismail berkata walaupun terdapat beberapa mayat telah dibawa keluar, namun sejak unit Forensik diserang Rabu lepas pihaknya terpaksa mengambil langkah lebih berjaga-jaga.

Katanya sehingga kini unit Forensik hanya merakamkan gambar penjenayah yang terbunuh tetapi belum dapat menjalankan proses siasatan dan bedah siasat ke atas mayat-mayat terbabit bagi tujuan pendakwaan.

Selepas lima hari dilancarkan, Ops Daulat yang membabitkan pasukan polis dan angkatan tentera berjaya membunuh 53 orang militan, manakala tiada anggota pasukan keselamatan yang dilaporkan cedera atau terkorban.

-Bernama

No comments: