Friday, March 22, 2013

PAS Selangor Tidak Berperanan Kata Hasan Ali


Saya ingin membuat sedikit ulasan mengenai dua perkara. Pertama, isu Projek Datum Jelatek. Kedua, peranan dan keterlibatan pimpinan PAS Negeri dalam isu-isu yang berkaitan dengan kepinggiran dan kepupusan masyarakat Melayu Islam di Negeri Selangor.

Sehingga kini belum ada terdengar lagi ulasan, pandangan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan PAS Negeri Selangor khususnya para ahli Exco PAS mengenai Projek Datum Jelatek dan kedudukan Melayu Islam di Negeri Selangor.

Begitu kuat asakan-asakan yang dibuat oleh NGO-NGO dan badan-badan sukarela yang lain, namun wakil pimpinan PAS Negeri tetap membisu dan dikatakan sentiasa mengelak daripada memberikan sebarang pandangan dan pendapat sedangkan salah seorang daripada mereka adalah Ahli Lembaga Pengarah PKNS itu sendiri.

Barisan Bertindak Datum Jelatek telah mengadakan siri demonstrasi, bantahan dan roadshow di lokaliti-lokaliti yang berhampiran dengan Projek Datum Jelatek untuk menerangkan kepada masyarakat apakah sebenarnya Projek Datum Jelatek dan implikasinya terhadap Melayu Islam sebagai pribumi di negeri Selangor. Terakhir Badan Bertindak tersebut telah memanjangkan memorandum bantahan mereka kepada Menteri Besar Selangor dan pihak Istana Selangor semata-mata untuk menyuarakan hasrat mereka yang terlibat supaya didengar oleh pihak yang berwajib.

Namun rakyat Selangor diberitahu bahawa Menteri Besar bersama PKNS akan meneruskan juga projek tersebut walaupun mendapat tentangan dan bantahan. Berbagai rasional telah diberikan oleh Badan Bertindak tetapi sehingga kini Kerajaan Negeri dan PKNS masih bertegas untuk meneruskan projek tersebut. Projek yang jelas bakal meminggir dan memupuskan masyarakat Melayu Islam di negeri Selangor khususnya di kawasan yang terlibat.

Yang paling saya kesalkan ahli-ahli EXCO PAS yang sepatutnya membawa mesej perjuangan parti itu untuk mempertahankan kedudukan masyarakat Melayu Islam di Selangor dilihat tidak berfungsi dan dalam banyak hal memilih untuk mendiamkan diri dan mengambil sikap non-committal.

Seingat saya empat tahun saya sebagai ahli Exco, ahli-ahli Exco PAS yang lain tidak banyak mengemukakan pandangan dan pendapat yang menggambarkan perjuangan sebuah parti Islam sama ada dalam sesi dewan, acara bertemu rakyat atau majlis-majlis dialog yang membabitkan isu-isu Melayu Islam di lokaliti-lokaliti tertentu.

Apa yang terjadi seolah-olah wakil pimpinan PAS disumbat mulut mereka hingga menjadikan mereka kaku tidak bermaya untuk mengutarakan sesuatu yang melambangkan perjuangan sebuah parti politik yang berlandaskan Islam.

Banyak pihak menyuarakan bantahan berikutan dengan pertambahan pusat-pusat hiburan, rumah-rumah urut dan berbagai bentuk gejala maksiat yang beroperasi bukan sahaja setakat tidak memiliki lesen beroperasi tetapi dikatakan menjalankan perniagaan secara haram. Mereka dikatakan dilindungi oleh pihak-pihak yang dikatakan berkait rapat dengan pentadbiran kerajaan Negeri.

Saya masih ingat pesanan Presiden Parti PAS satu ketika dahulu kepada saya dan pimpinan tertinggi PAS Selangor. Presiden parti mahukan pimpinan negeri menjadi benteng pertama mempertahankan kesucian Islam bukan sahaja dari sudut Aqidah dan Syariah malah dari sudut Akhlak. Tidak ada siapa dapat menafikan bahawa akhlak muda mudi Melayu Islam kini berada di paras yang sangat merungsingkan.

Sewaktu menerajui PAS Selangor dan diberi peluang menjadi anggota pentadbiran negeri sebagai ahli Exco, apa yang saya lakukan tidak lain dari melaksanakan amanah Presiden, amanah parti dan amanah jawatan yang saya dipertanggungjawabkan. Tentangan, bangkangan dan berbagai halangan yang dikenakan kepada saya tidak pun mematahkan semangat saya dan ahli-ahli parti yang bersimpati dengan perjuangan saya untuk terus istiqamah mempertahankan nilai-nilai Islam dalam suasana yang begitu mencabar. Semakin kuat saya memperjuangkannya, semakin kuat pula desakan untuk memecat saya. Akhirnya saya dipecat daripada parti dan kemudiannya dilucutkan daripada jawatan Exco.

Masyarakat ingin tahu sehingga kini apa yang telah dilakukan oleh pimpinan PAS khasnya ahli-ahli Exco secara konkritnya sebagai mewakili parti Islam di negara ini. Tiada siapa yang boleh menyandarkan harapan kepada DAP dan PKR untuk memainkan peranan mempertahankan Islam dan Melayu melainkan pimpinan PAS itu sendiri.

Jika keadaan ini berterusan dengan rakyat memberi 5 tahun lagi kepada mereka untuk menerajui negeri Selangor maka kedudukan Islam dan Melayu yang semakin terhakis dan pupus akan benar-benar dapat menyaksikan natijah yang dibayangkan itu.

DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
Taman Tun Dr Ismail, KL
21 MAC 2013

3 comments:

Anonymous said...

makhluk gila kuasa ni x usah la tuan layan.berapa ribu ahli pas yg ikut dia keluar pas?xde tuan.jadi kera sumbangla lepas ni.kalau takat xdapat projek pastu joint pas.xdapat jadi mb joint jati.makhluk sial macamni sapa mau layan?

Anonymous said...

engko yg kat atas tu pun apa kurangnya....

Anonymous said...

Si Acan Ali ni pernah bagitau member secara senyap yg dia kecewa sangat tak dapat jadi MB dulu. Dia juga kecewa sbb PAS tak support dia. Bila dia di turunkan pangkat dan kemudian kena pecat, dia beranji akan buat kecoh dlm Pakatan Selangor. Sasaran ,utamanya ialah Khalid Samad. Bila dah kena pecat sasaran utamanya berpindah kpd Anuar, kerana pd pendapat beliau Anuarlah yg mempengaruhi PAS sehingga dia terkeluar dpd kepimpinan PAS.