Friday, March 15, 2013

Perang Khalid Ibrahim - Azmin Ali Semakin Hebat


Apakah PKR Selangor sedang bergolak? Ketua Perhubungannya, Azmin Ali, nampaknya tidak dapat mengawal keadaan dalam parti itu. Beliau langsung tidak tahu bahawa kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim sudah menentukan bila hendak bubarkan Dewan Undangan Negeri.

Ini memusykilkan. Azmin bukan sahaja mengetuai PKR Selangor, malah beliau juga adalah Pengarah Pilihanraya PKR! Keadaan ini mengundang banyak persoalan. Adakah di pusingan akhir persiapan PKR menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 ini, kini berlaku perbalahan dalaman?


Di peringkat ini soal strategi amat penting. Ini termasuk isu bila mahu bubarkan dewan undangan negeri. Bagaimana boleh Khalid Ibrahim sebagai ahli PKR membuat keputusan penting ini tanpa merujuk pada hiraki parti?

Azmin juga adalah Timbalan Presiden parti. Ini bermakna beliau tentu menganggotai Biro Politik PKR. Apakah dalam PKR ada Biro atau jawatankuasa lain yang menentukan perkara-perkara sensitif seperti bila hendak bubarkan Dewan Undangan Negeri?

Atau, adakah kerana di Selangor Pengarah Pilihanraya Barisan Nasional adalah Presiden Umno merangkap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, maka pimpinan PKR berasa Azmin tidak setanding untuk menentukan strategi, maka keputusan muktamad diserahkan kepada Khalid tanpa pengetahuan Azmin?

Ini aneh. PKR sudah menetapkan bahawa sebagai Pengarah Pilihanraya parti, Azmin yang akan menentukan strategi apa dan bila hendak digunakan serta di mana. Kuasa Azmin bukan terhad di Selangor sahaja tetapi mencakupi seluruh negara.

Maka apabila beliau sendiri mendedahkan tidak tahu bahawa Khalid dan exconya sudah memutuskan bila hendak membubarkan dewan undangan negeri, ini adalah petunjuk jelas bahawa kepemimpinannya tidak diendah di Selangor.

Sehubungan itu, sebagai Ketua Perhubungan PKR Selangor, Azmin juga kelihatan tidak dirundingi oleh Khalid sebelum Menteri Besar itu membuat kritikan terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).


Khalid dilaporkan oleh akhbar rasmi kerajaan negeri Selangor bahawa beliau menegur SPR perihal ada Daerah Mengundi (DM) di Selangor mempunyai lebih ramai pemilih berbanding jumlah penduduk di tempatan.

Komen Khalid dalam akhbar Selangorkini yang dikuasai sepenuhnya oleh beliau selaku Menteri Besar itu segera mengundang reaksi daripada SPR yang menganggap Khalid cuba mengelirukan rakyat dengan kritikannya itu.

Menurut SPR, Khalid Ibrahim sepatutnya mengemukakan senarai pengundi yang didakwanya mencurigakan kepada suruhanjaya itu bagi memastikan pilihan raya akan datang berjalan dengan telus dan lancar.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata dakwaan Khalid dalam akhbar SelangorKini edisi 8-15 Mac menerusi artikel bertajuk 'Projek Pendemokrasian Bongkar Pengundi Lebih Ramai Daripada Penduduk' bahawa ada kawasan dewan undangan negeri mempunyai jumlah pengundi lebih ramai daripada penduduk adalah kurang tepat.

Katanya, pengundi lebih ramai daripada penduduk di daerah mengundi (DM) Bestari Jaya Utara dalam kawasan dewan undangan negeri (DUN) Ijok, berlaku kerana DM tidak terhad dalam kawasan pekan Bestari Jaya sahaja malah merangkumi 18 lokaliti.


"Laporan itu yang memetik kenyataan menteri besar Selangor, dipercayai merujuk kepada kawasan Bestari Jaya Utara yang dikatakan mempunyai penduduk sekitar 1,788 orang sahaja sedangkan jumlah pengundi dalam daftar pemilih merujuk kepada jumlah pemilih merangkumi 18 lokaliti dalam Daerah Mengundi itu.

"Berdasarkan daftar pemilih sehingga Disember 2012, jumlah pemilih bagi DM Bestari Jaya Utara ialah 3,558 orang. Berlaku peningkatan 1,317 pemilih berbanding semasa Daftar Pemilih Induk (DPI) tahun 2006 disebabkan pertambahan sembilan lokaliti baharu," katanya.

Beliau berkata undang-undang memberi ruang kepada pihak yang mencurigai kemasukan nama pemilih di sesuatu bahagian pilihan raya untuk membuat bantahan semasa SPR mempamerkan Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi setiap suku tahun.

Jika Azmin dimaklumkan oleh Khalid tentang teguran yang hendak dibuat terhadap SPR terlebih dahulu tentu Azmin tidak bersetuju. Ini kerana sebagai Pengarah Pilihanraya Nasional PKR, Azmin tentu maklum bahawa teguran seumpama itu akan menconteng arang ke muka PKR yang kelihatan tidak faham tata-urus pilihanraya.


Ketua politik PKR di Selangor ialah Azmin. Adakah Khalid mengeluarkan kenyataan sebegini untuk membuktikan bahawa Azmin tidak layak jadi ketuanya?

Sebaliknya, adakah ini caranya Khalid mahu menunjukkan bahawa di Selangor beliau lebih mengetahui strategi politik yang patut digunakan? Adakah kerana Azmin tidak menganggotai exco Selangor maka beliau “tidak akan mengerti perkembangan politik” negeri itu?

Atau, adakah Khalid sebenarnya hendak memprotes atau mempertikaikan keputusan Azmin sebagai Ketua Perhubungan Selangor dan Pengarah Pilihanraya menentukan siapa yang akan bertanding dan siapakah yang akan digugurkan dari senarai calon PKR negeri itu, termasuk Khalid sendiri?

-AntaraPos

No comments: