Wednesday, March 27, 2013

PRU13: BN Pulau Pinang letak 40% Muka Baru


Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan menampilkan 40 peratus calon muka-muka baru pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow.

Bagaimanapun, beliau berkata, senarai calon BN bagi 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi Dun di negeri itu belum dimuktamadkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi BN.

"Sebahagian besar daripada calon telah diteliti dan kami yakin mereka mampu memberi saingan hebat kepada calon pakatan pembangkang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Koperasi Penjaja 1Malaysia di sini hari ini.

Chang Yeow yang juga Setiausaha Agung parti Gerakan, meminta semua parti komponen BN negeri menghormati keputusan pemilihan oleh pucuk pimpinan BN pusat serta memberi sokongan penuh kepada calon.

Beliau turut mengingatkan anggota parti komponen BN memanfaatkan segala ruang dan peluang dengan sebaik-baiknya di samping melipat gandakan usaha dalam memantapkan jentera pilihan raya pada peringkat akar umbi.

Pada PRU 2008, pakatan pembangkang memenangi 29 kerusi Dun iaitu 19 oleh parti DAP, sembilan oleh PKR dan satu oleh Pas manakala BN memperoleh 11 kerusi menerusi calon Umno.

Bagi 13 kerusi Parlimen, pakatan pembangkang menguasai 11 manakala dua oleh BN.

Sementara itu pada majlis berkenaan, Penasihat Koperasi Penjaja 1Malaysia Tan Sri Tan Khoon Hai berkata, penubuhan koperasi itu bertujuan membantu peniaga kecil daripada pelbagai kaum mengembangkan perniagaan mereka.

Katanya, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan geran pelancaran berjumlah RM3 juta sebagai permulaan modal untuk koperasi itu merangka pelbagai program yang bakal memberi manfaat kepada lebih 12,000 peniaga berdaftar di negeri ini.

Beliau berkata, peniaga kecil tanpa mengira kaum boleh menikmati kemudahan bantuan itu dengan mendapatkan borang pendaftaran di pejabat Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di Jalan Masjid Kapitan Keling di sini pada waktu pejabat. - Bernama

No comments: