Thursday, March 28, 2013

#TukarKelantan - PAS Dan PKR Bertelagah Rebut Kerusi


KOTA BARU – Persaingan antara parti komponen Pakatan Rakyat (PR) Kelantan telah menyebabkan pemimpin PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini bertelagah dalam merebut kerusi yang telah diputuskan oleh pemimpin parti masing-masing.

Ketua PAS cawangan Guchil Hulu, Muhamad Bustamam Yaacob akan bertanding sebagai calon Bebas menentang penyandang kerusi DUN Guchil yang juga wakil rakyat PKR, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria.

Muhamad Bustamam berkata dia akan tetap bertanding melawan Tuan Zamri Ariff walaupun ia bertentangan kerjasama yang dipersetujui dalam PR.

Sinar Online memetik Bernama, melaporkan Muhamad Bustamam dipetik sebagai perkata ahli diperingkat akar umbi telah menggesa dia bertanding menentang Tuan Zamri Ariff.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz mengkritik tindakan berkenaan dengan berkata perkara tersebut akan hanya menimbulkan perpecahan dalam pakatan pembangkang.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan yang diambil oleh ahli PAS telah mencabuli perjanjian yang telah dipersetujui dalam pembahagian kerusi.

Pada pilihan raya umum 2008, Tuan Zamri Ariff menewaskan calon Barisan Nasional, Dr Shamsul Ikhwan Ashaari Azmi.

Guchil merupakan kawasan Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Tanah Merah, dan ia merupakan satu-satunya kerusi yang dimenangi oleh PKR daripada lima yang mereka bertanding pada 2008.

Sementara itu di Bachok, penyandang kerusi berkenaan Nasharuddin Mat Isa tidak akan mempertahankan kerusi tersebut dan PAS bahagian mempunyai masalah untuk mencari calon yang sesuai.

Mereka perlu calon yang kuat untuk berhadapan dengan calon Barisan Nasional, Datuk Dr Awang Adek Hussain yang mempunyai peluang yang cerah untuk menang.

Walaupun Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohammed,70, dilihat sebagai calon yang sesuai, bekas Ketua Pemuda Umno Bachok, Zaiyadi Awang Noh yang juga ahli PKR pada ketika ini dilihat turut melobi untuk mendapatkan kerusi berkenaan. Tindakan tersebut turut menimbulkan pertelagahan dengan Ketua Pemuda PAS Bachok, Ahmad Marzukh.

Sumber dalam parti berkata kira-kira 70 peratus akar umbi menyokong Omar, yang pernah menjadi wakil rakyat selama lima penggal bagi kerusi berkenaan.

Sumber berkenaan turut mengesahkan ahli diperingkat akar umbi tidak selesa dengan Zaiyadi kerana ramai ahli keluarganya masih dalam Umno. – mStar Online

No comments: