Tuesday, March 26, 2013

Tun Daim Risau Anwar Dangkal Ekonomi


Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin risau tentang hakikat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai pengetahuan mendalam dalam ekonomi.

Katanya beliau bimbang tentang kecenderongan ketua pembangkang itu untuk bertindak sejajar dengan Amerika Syarikat sekiranya Anwar menjadi menteri kewangan atau perdana menteri.

Daim memberi justifikasi tentang kebimbangannya dengan menarik perhatian tentang keadaan Amerika Syarikat yang kini berdepan dengan krisis, demikian juga dengan Eropah.

Dalam wawancara dengan New Sunday Times, Daim menyatakan yang beliau lebih suka sekiranya Najib menang berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau sifatkan sebagai bukan calon yang tepat untuk menjadi perdana menteri.



"Jika anda tanya saya, antara kedua-duanya, Najib atau Anwar, saya akan pilih Najib. Saya akan beri Najib peluang. Beri beliau mandat dan lihat sama ada beliau dapat melakukannya kerana Anwar telah pernah diberi peluang itu, tetapi beliau mensia-siakannya.

"Saya mahu Najib menang kerana saya berpendapat Anwar bukan calon yang tepat untuk menjadi perdana menteri," katanya.

"Saya percaya beliau akan kucar-kacirkan negara dengan mendapatkan nasihat daripada pihak seperti IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa), Bank Dunia dan Wolfowitz (Paul Wolfowitz, bekas presiden Bank Dunia)," katanya.



Daim, yang menjadi Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991 dan sebagai Menteri Tugas-tugas Khas pada 1998 sebelum dilantik semula sebagai Menteri Kewangan dari 1999 hingga 2001, berkata adalah bahaya jika pembangkang di bawah pimpinan Anwar menerajui negara.

"Saya bimbang kerana beliau tidak arif mengenai ekonomi, sentiasa perlukan orang lain untuk beritahu beliau -- apa yang perlu difikirkan dan apa yang perlu dilakukan," katanya.

Setakat ini, katanya, tidak ada satu pun idea signifikan datang daripada Anwar selaku penasihat ekonomi kerajaan negeri Selangor. Lebih teruk lagi, Selangor gagal mengendalikan isu air, yang telah mengecewakan kalangan pemaju perumahan, pelabur dan rakyat.

"Kenapa beliau (Anwar) tidak menjadi penasihat ekonomi kepada Kelantan dan Kedah jika Pakatan percaya beliau bagus? Fikirkannya secara serius. Fikirkan masa depan kita," katanya.

Kepada soalan bahawa Anwar percaya bahawa beliau telah ditakdirkan untuk menjadi perdana menteri akan datang, Daim berkata: "Sebenarnya, takdir ditentukan Tuhan. Anda mungkin sudah begitu hampir dengan jawatan itu, orang menyokong, Tuhan yang menentukannya. Saya rasa Tuhan masih sayangkan Malaysia."

Ujar beliau Anwar bercakap tentang kebangkitan Arab tetapi mengatakan bahawa “kebangkitan Arab” di sini bukannya satu revolusi malah melalui peti undi.

“Dia memberitahu dunia bahawa dia akan menang pilihan raya ini. Sekiranya Pakatan Rakyat kalah, ia kerana amalan tidak adil dan kumpulan perusuh akan adakan protes jalanan. Dia berjanji untuk tubuhkan kerajaan pada September 2008. Semua orang resah dan ramai percayakannya. Itu cara dia. Dia hanya bercakap dan berjanji. Kini, dia beritahu satu dunia dia akan menang.”

Tambah Daim menyediakan minda orang ramai bahawa PR akan menang walaupun dia tahu ia tidak akan berlaku.

Daim mempersoalkan motif Anwar dan PR meletakkan cita-cita dan obsesinya membelakangkan kestabilan dan kemakmuran negara.

Sekiranya PR gagal ke Putrajaya, kata Daim ia akan mengakibatkan kekecohan dan dia Anwar tidak akan hiraukannya kerana cita-citanya melangkaui pertimbangan lain begitu juga PR.

1 comment:

Anonymous said...

Tuu dia , depa dah mula panaeh ponggok. Takut jika DSAI jadi perdana menteri. Kenapa??? . Tuu laa masa ada kuasa pulon harta negara. La nii baru sedak dan mula takut. Daim yang diam mula bersuara.