Tuesday, April 30, 2013

0 #PRU13 JPN tidak pernah keluar MyKas kepada warga asing untuk mengundi pada pilihan raya


Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak pernah mengeluarkan Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKas) kepada warga asing untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Jariah Mohd Said, berkata berdasarkan status sebagai Pemastautin Sementara yang membawa makna bukan berstatus warganegara Malaysia, pemilik MyKas tidak mempunyai hak untuk mengundi.
Sehubungan itu, beliau berkata, dakwaan menerusi media sosial sejak kebelakangan ini, ternyata berniat jahat terhadap kerajaan, khususnya JPN, serta bertujuan mengelirukan orang ramai.

"Kad Pengenalan Pemastautin Sementara dikeluarkan mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) dan Peraturan-peraturan, di bawah Peraturan 5(3)(c)(ii) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (pindaan 2001), kepada seseorang yang dilahirkan di Malaysia.

"Namun, status kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan atau masih belum ditentukan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jariah berkata, pada 2008 Kad Pengenalan Pemastautin Sementara yang baru dikeluarkan dan dikenali sebagai MyKas berwarna hijau sepenuhnya dengan mengekalkan catatan Pemastautin Sementara serta dicatat sebagai Bukan Warganegara pada kad itu, dengan tempoh sah laku selama lima tahun dan boleh diperbaharui semula.

"Sebelum 2009, semua kad pengenalan dikeluarkan menggunakan kad yang sama berwarna biru, sama ada kepada mereka yang bertaraf warganegara atau bukan warganegara.
"Bagaimanapun, bagi Kad Pengenalan Pemastautin Sementara terdapat perbezaan pada muka depan kad terbabit iaitu mempunyai catatan tarikh luput, 'Pemastautin Sementara' dan terdapat lima segi tiga berwarna hijau pada permukaan kad," katanya. - BERNAMA

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates