Friday, April 5, 2013

#PRU13 #TolakPR Anwar...'Go ahead Gostan' Perak-Permatang Pauh


Kalau nak ambil kira dari segi timing ada kemungkinan kata-kata Datuk Seri Najib Tun Razak telah 'mengusik' perancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelik juga tiba-tiba Ketua Umum PKR itu jadi goyang nak pindah dari Permatang Pauh untuk bertanding di Perak.

Najib berkata hasrat Anwar untuk berpindah bertanding di Perak menunjukkan beliau tidak lagi berasa selamat di Permatang Pauh.

Itu kata Perdana Menteri pada sebelah tengahari Khamis semasa menjawab soalan di sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat berasingan Majlis Tertinggi UMNO dan Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Wartawan meminta beliau mengulas pengumuman  Anwar Rabu bahawa beliau tidak akan mempertahan kerusi Parlimen Permatang Pauh kerana beliau akan bertanding di Perak.

"Saya tidak pernah bermimpi untuk tinggalkan Pekan. Hidup dan mati perjuangan politik saya ialah di Pekan,"katanya.

Najib berkata rakyat patut sedar bahawa jika Anwar boleh meninggalkan penyokongnya di Permatang Pauh, pada masa akan datang, beliau boleh mengetepikan pengundi di kawasan pilihan raya baharunya pula.

"Ia mengenai kesetiaan mereka yang menyokong anda, ini penting dalam politik. Dari segi prinsipnya yang penting. Bukan semata-mata mengenai kemenangan," katanya.

Najib menjadi anggota Parlimen Pekan pada 1976 selepas bapanya, perdana menteri kedua dan anggota Parlimen Pekan, Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.

Sejak itu Najib kekal menjadi wakil rakyat kawasan itu kecuali semasa beliau menjadi Menteri Besar Pahang antara 1982 dan 1986. Ketika itu beliau mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri Bandar Pekan.

Anwar pula menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak tahun 1982 hingga 1998.

Pada sebelah malamnya ramai penyokong pembangkang berkumpul di program Jelajah Merdeka rakyat di bilik gerakan utama DUN Temenggor, Taman Semarak, Batu 2, Gerik.

Ini gara-gara awalnya tersebar berita Anwar akan membuat pengumuman senarai penuh mereka yang akan bertanding kawasan Parlimen di Perak pada ceramah di situ.

Jangkaanya ini pasti termasuk kawasan mana Anwar hendak bertanding di negeri itu.

Namun lain yang ditunggu lain pula khabarnya.

Bila sampai bab nak umum calon calon Anwar pun berkisahlah bahawa beliau ada kelayakan bertanding di Perak kerana 9 tahun pernah 'menetap' di Perak.

Ini semasa tujuh tahun semasa bersekolah di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan dua tahun dalam tahanan ISA di Kemunting.

Kemudiannya dengan nada yang macam orang serba salah beliau meminta tempoh 24 jam lagi untuk membuat keputusan samaada jadi atau tidak bertanding di Perak.

Anwar memberi alasan bahawa beliau kena berbincang dulu dengan orang-orang Permatang Pauh.

Dakwanya penyokongnya di Permatang Pauh berat hendak melepaskannya.

Ikut ceritanya penyokongnya rasa tidak kena selepas mereka selama ini bersusah payah menyokongnya beliau kini hendak tinggalkan mereka.

Bunyinya macam slot drama minggu ini.

Penyokong pembangkang yang kebanyakannya dikatakan orang luar dari Gerik pun pulang melopong.

Pada ucapannya Anwar hanya mengumumkan bagi kawasan parlimen Lumut, calon PKR yang diletakan ialah bekas Laksamana TLDM Haji Imran Abd Hamid, Dr.Lee Boon Chye (Gopeng), Datuk Dr. Mohd Nor Manuty (Bagan Serai), Dr. Haji Meor Ahmad Isyara Ishak (Padang Rengas) dan Mustapha Kamil Ayub (Pasir Salak).

Sementara itu kalangan yang mendakwa mengenali stail Anwar membuat andaian dari bunyi cakap itu tidak rugi jika bertaruh Ketua Pembangkang itu akan kekal di Permatang Pauh.

Mereka mendakwa kisah penyokong Permatang Pauh yang tetap mahu beliau mungkin dijadikan alasan sahaja.

Bagi mereka mungkin ada sesuatu yang tidak kena dalam perancangan Anwar hendak bertanding di Perak.

Juga ada kemungkinan besar komentar Perdana Menteri pada sebelah tengahari telah membuat Anwar terpaksa tekan brek.

Lagipun apa yang dikatakan oleh Najib itu ada lojiknya dari segi prinsip politik.

Dalam pada itu ada juga yang bertanya jika benar Anwar hendak bertanding di Perak kerusi manakah yang hendak dipilihnya.

Ramalan hangat sebelum ini agak beliau sedang intai kawasan Parlimen Lumut.

Namun beliau sendiri mengumumkan Haji Imran akan bertanding di situ.

Gopeng juga sebelum ini turut disebut-sebut mungkin pilihan Anwar.Di situ beliau umum PKR akan letak Dr Lee Boon Chye.

Apakah beliau hendak ke Tanjong Malim yakni satu lagi kerusi akan ditandingi PKR.

Atau mungkinkah Bagan Datoh yang kini diwakili oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi atau Tambun yang diwakili oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Husni Hanadzlah.

Dua kerusi itu juga slot ditandingi PKR.

Bagi yang nak bertaruh juga Anwar jadi ke tak jadi bertanding di Perak...apa salahnya.

Tapi rasanya elok cuba nasib bertaruh Anwar gostan balik ke Permatang Pauh.

-Agendadaily

No comments: