Monday, April 8, 2013

#PRU13 #TolakPR Pengundi Parlimen Batu Mahu Singkir Tian Chua


Pengundi di Parlimen Batu akan menyingkirkan Naib Presiden PKR, Tian Chua kerana sudah bosan dengan sikap wakil rakyat terbabit yang sering memberi alasan setiap kali gagal mengatasi masalah rakyat.

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan dijadikan medan untuk pengundi memastikan Tian Chua tidak mampu terus membohongi rakyat kononnya beliau tidak mendapat peruntukan pembangunan parlimen disediakan kerajaan, selain tidak diberikan jawatan dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membantu memajukan kawasan itu. Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani @ Abbas berkata, berdasarkan kajian jentera BN sejak lima tahun lalu, majoriti pengundi sudah muak dengan ketidakmampuan Tian Chua mengatasi masalah setinggan dan menyediakan perumahan untuk masyarakat berpendapatan rendah.

53 cawangan UMNO

“Kita ada 53 cawangan UMNO dengan 11,800 ahli dan dibantu dengan cawangan MCA, MIC serta parti komponen BN lain. Kali ini saya yang mengetuai jentera BN Parlimen Batu akan memastikan pengundi tidak terpedaya lagi dengan janji kosong dan pembohongan Tian Chua.

“Kebanyakan pengundi yang kami temui menyatakan rasa bosan dengan alasan Tian Chua kononnya dia tidak menerima peruntukan pembangunan parlimen. Kali ini pengundi akan memberi pengajaran kepada Tian Chua,” katanya kepada BH ketika ditemui selepas pelancaran Pusat Arahan BN Parlimen Batu, di Taman Buliion Mewah, Sentul di sini, semalam.
Ia disempurnakan Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Tan Sri Muhyiddin Yassin di depan kira-kira 2,000 jentera pilihan raya BN.

Pada PRU-12, Tian Chua menewaskan calon BN dari GERAKAN, Lim Si Pin dengan majoriti 9,455.

Tak putus asa turun padang

Yahaya yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu, berkata sejak tewas pada PRU-12, jentera BN tidak pernah berputus asa turun padang membantu mengatasi masalah rakyat, terutama dalam hal mengurangkan setinggan.

“Masih ada masalah setinggan di Kampung Medan Wira, Kampung Chubadak Jaya dan Kampung Chubadak. Saya sudah meminta DBKL mengenal pasti kawasan sesuai untuk kita bina rumah pangsa kos rendah bagi masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana.

“Saya yakin dengan pengundi Melayu 42 peratus, Cina 37 peratus dan India 14 peratus, BN akan merampas semula kerusi Parlimen Batu. Kali ini, pengundi akan menolak pembangkang. Tian Chua mengadakan ceramah politik di kawasan ini dua malam lalu tetapi hanya dihadiri kira-kira 400 orang,” katanya.- Berita Harian

No comments: