Monday, May 6, 2013

0 DS Najib Angkat Sumpah Sebagai Perdana Menteri


Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Isnin, selepas mendapat mandat melalui Barisan Nasional (BN) yang memenangi 133 kerusi Dewan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad.

Pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah itu merupakan detik baru bagi membolehkan beliau meneruskan agenda transformasi serta janji-janji pentadbiran beliau untuk mendahulukan rakyat.

Tetapi tugas besar bagi Najib, 59, seperti beliau sendiri mengakui sebaik sahaja BN memperoleh majoriti mudah 112 kerusi mengatasi parti-parti pakatan pembangkang, ialah untuk menyemarakkan penyatuan nasional di kalangan rakyat.

Ini kerana PRU-13 menyaksikan perubahan landskap politik apabila sebahagian pengundi terutama masyarakat Cina belum bersedia menerima sepenuhnya konsep 1Malaysia.

Selain menguasai parlimen, BN juga berjaya menguasai semula Kedah daripada PAS serta menghalang parti-parti pakatan di negeri-negeri yang menjadi kubu BN sejak sekian lama.

Bagaimanapun, DAP, PAS dan PKR mengekalkan penguasaan masing-masing di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor.

Tugas berat, bukan sahaja bagi Najib tetapi juga Kabinet yang bakal dibentuk, ialah terus memenangi 'hati dan minda' rakyat supaya bersama BN untuk mengangkat Malaysia sebagai sebuah ekonomi berpendapatan tinggi terutama ketika negara-negara serantau turut ghairah untuk muncul sebagai negara ekonomi baru.

Lantas, transformasi politik yang beliau hasratkan perlu direncana dengan baik, terutama bagi Umno yang akan mengadakan pemilihan parti pada Oktober, serta parti-parti komponen BN yang lain.

Langkah itu penting untuk meraih 'kebolehpercayaan' rakyat secara total jika BN mahu terus unggul sebagai pentadbir berwibawa sehingga hujung dekad.

Najib yang mengambil alih jawatan perdana menteri pada 2 April 2009 menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pekan di Pahang dengan majoriti lebih besar iaitu 35,613 undi menewaskan calon PKR Mohd Fariz Abd Talib, berbanding 26,464 undi pada 2008.

Senario politik yang mencabar kali ini pastinya menjadikan Najib dan Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih kental untuk berdepan dengan pencabar parti gabungan itu.

Tetapi sesudah ini, mereka perlu terus 'turun padang' bertemu rakyat.

Najib berpengalaman luas dalam arena politik negara dan kerajaan sejak menyertai politik pada 1976 apabila ditawarkan bertanding kerusi Parlimen Pekan berikutan kematian bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Beliau juga mencatat sejarah sebagai anggota termuda dalam Majlis Tertinggi Umno ketika berusia 28 tahun pada 1981, dipilih sebagai Ketua Umno Bahagian Pekan setahun kemudian dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, dan selepas itu, pengerusinya.

Penglibatan Najib dalam kerajaan bermula pada tahun 1978 apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos ketika berusia 25 tahun dan ditukarkan sebagai Timbalan Menteri Pelajaran, dua tahun kemudian.

Pada pilihan raya umum 1982, beliau bertanding pula kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Bandar Pekan dan dilantik Menteri Besar Pahang ke-11 pada usia 29 tahun.

Selepas empat tahun, Najib kembali menyertai kerajaan Persekutuan apabila dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan setelah memenangi kerusi Parlimen Pekan.

Beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 1990, Menteri Pelajaran pada 1994 sebelum kembali ke Kementerian Pertahanan pada 1999 dan Menteri Kewangan pada September 2008.

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad diganti oleh Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi pada 2003, Najib dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Setelah mengambil alih kepimpinan negara pada 2009, Najib memperkenalkan falsafah pentadbiran 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan disusuli pelbagai program transformasi nasional untuk menjadikan Malaysia negara moden dan progresif. - BERNAMA

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates