Wednesday, May 8, 2013

4 Lantik Lebih Ramai Profesional Sebagai Menteri


Di Malaysia, pembentukan jemaah menteri lazimnya berdasarkan pemberian habuan kepada parti-parti yang menang. Mereka yang menang diberikan jawatan tanpa mengira pengalaman dan kelayakan. Ada juga diambil semata-mata mengisi kuota dan etnik tertentu.


Kaedah ini menyaksikan terbentuknya kumpulan menteri dan timbalan menteri yang bukan sahaja kurang cekap menggubal dasar-dasar negara yang adakalanya mengabaikan kepentingan rakyat.

Sebaliknya mereka ini menjadi kumpulan pengampu tegar. Mereka akan menyokong segala apa yang diputuskan meskipun mereka tahu dasar dan peraturan itu menyebabkan rakyat kurang senang dan marah. Banyak contoh berkaitan, antaranya percambahan tol di negara ini dan kesesakan trafik yang melampau di ibu negara.

Sebagai seorang negarawan yang berpegang kepada prinsip mendahulukan rakyat menerusi konsep 1Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mampu melakukan perubahan - sesuatu yang dituntut oleh rakyat berdasarkan keputusan PRU-13.

Perdana Menteri harus cetus kelainan


Najib perlu menyedari hakikat bahawa lebih 50 peratus pengundi memilih pembangkang bukan kerana mereka benci kepada BN. Tetapi hakikatnya, mereka ini terdiri daripada golongan yang tinggal di bandar dan pinggir bandar yang begitu muak dengan kegagalan kerajaan meningkatkan taraf hidup mereka.



Kumpulan ini bukan sahaja terdiri daripada masyarakat Cina tetapi juga sebilangan besar orang Melayu. Jika tidak, mana mungkin kerusi seperti Alor Setar, Kuala Terengganu, Shah Alam dan Lumut boleh dimiliki oleh pembangkang?

Justeru, dalam membuat keputusan memilih menteri Kabinet yang bakal bertindak sebagai orang kanannya dan juga penasihat beliau, Najib wajar melakukan transformasi dengan memilih mereka yang betul-betul layak dan bukan disebabkan faktor sampingan lain.

Jika pada PRU-13 pengundi di kawasan bandar menolak BN, Najib perlu melantik menteri yang benar-benar mampu menyelami masalah dan kemahuan penduduk bandar. Perkara ini sebenarnya tidak sukar.

Najib perlu mengumpulkan senarai rungutan dan rasa tidak puas hati golongan itu. Antara rungutan terbesar penduduk bandar termasuk kekurangan rumah mampu milik, kesesakan lalu lintas, isu keselamatan dan kos hidup yang semakin meningkat.

Rakyat dibelit kos kehidupan yang membebankan

Di Lembah Klang contohnya, adalah mustahil untuk membeli rumah teres mahupun apartmen di bawah paras harga RM500,000. Banyak yang mencecah sehingga jutaan ringgit yang di luar kemampuan sebahagian besar warga kota.


Najib perlu melantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mampu memastikan harga rumah tidak melambung dan mengawal ejen-ejen dan spekulator yang cuba mengaut keuntungan. Pemaju yang gagal menyiapkan projek mereka juga perlu dikenakan tindakan tegas. Peraturan supaya pemaju menyiapkan rumah dahulu sebelum boleh dijual juga patut dikuatkuasakan.

Warga kota juga kesal dengan percambahan pusat-pusat maksiat dan hiburan yang kebanyakannya didalangi kongsi gelap dan tauke-tauke dipercayai dilindungi oleh sesetengah ahli politik.

Masyarakat di bandar sudah jemu dengan kegagalan pihak berkuasa menanganinya. Bagi mereka, jawapannya cukup mudah - pihak berkuasa disogok - meskipun ini tidak semestinya benar.

Rakyat muak dengan sistem prasarana negara

Kegagalan kerajaan menangani video cetak rompak dan lucah serta berleluasanya peminjam wang tidak berlesen - along - memberi gambaran tentang kedayusan mereka yang bertanggungjawab menangani gejala itu.



Selain itu, bandar semakin sesak. Tempat letak kereta tidak mencukupi. Ke mana sahaja warga kota bergerak, mereka dikenakan tol. Apakah menteri yang mengawal selia Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak menyedari gejala ini?

Mengapa mereka mengizinkan pihak berkuasa tempatan meluluskan pembinaan bangunan di tempat yang sedia sesak tanpa menyediakan tempat letak kereta mahupun menghubungkannya dengan sistem pengangkutan awam yang efisien?

Begitu juga dengan faktor keselamatan. Warga kota mendakwa keselamatan mereka sentiasa terancam tetapi bagi menteri yang bertanggungjawab kadar jenayah telah turun dan cukup berbangga dengan statistik itu.

Walhal saban hari, media terus melaporkan kejadian pecah rumah, ragut, rogol dan bunuh. Semua ini bercanggah dengan statistik yang dikeluarkan.

Ambil peluang tawan kembali hati rakyat

Justeru, ini peluang terbaik bagi Najib menawan semula pengundi warga kota yang memihak kepada pembangkang dengan memilih anggota jemaah Kabinetnya dengan bijak. Jika tidak ada ahli politik yang mampu menggalas tugas dan tanggungjawab itu, apa salahnya melantik golongan profesional menduduki kerusi berkenaan?

Kaedah ini bukan tidak pernah dilakukan. Sebelum ini ramai profesional seperti Datuk Seri Idris Jala dan Tan Sri Amirsham Abdul Aziz diambil sebagai anggota Kabinet.


Demikian juga Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Tan Sri Musa Mohamed sebagai Menteri Pelajaran, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop selaku menteri penasihat kewangan dan ekonomi serta Tan Sri Abdul Hamid Othman dan Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin sebagai menteri dan penasihat agama.

Pelantikan semua mereka adalah di atas kemahiran dan kepakaran bidang masing-masing.

Mungkin sudah tiba masanya bagi lebih ramai golongan profesional menganggotai Kabinet kali ini dan ahli politik dibiarkan berpolitik secara sepenuh masa dan meluangkan waktu mereka berdebat di Dewan Rakyat.

Ini kerana jika dasar-dasar negara terus dipolitikkan seperti dalam bidang pendidikan, kewangan, keselamatan, kesihatan dan sebagainya, negara akan terus dibawa ke kancah kehancuran. -Antarapos

4 comments:

cahaya pelangi said...

walau bagaimana pun jgn lupa wakil cina dalam kabinet....cina BN masih memerlukannya. tak semua cina undi DAP.

Anonymous said...

Aku tak yakin kalau lantik yang pro akan menjadi lebih baik...pro pro ni memang pro bab kumpul harta dan duit dari jawatan yang mereka sandang....dah banyak contoh nya...and dalam pro tu bukan dia orang yang berfikir, ada consultant nya pulak...lagi nahas kita kena niaya....

Anonymous said...

Harapan saya agar kerajaan BN nergeri /persekutuan lantik org PAS sebagai exco/menteri sebagai langkah pertama menubuhkan 'kerajaan perpaduan'.

Dengar dan ikutlah perintah ALLAH dalam Surah Al-Fath Ayat 29 -

[29]Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)... hingga akhir ayat.

Moga ALLAH Perkenankan.

AMIN.

Anonymous said...

Lantik U Azhar Idrus jadi Menteri Hal Ehwal Dakwah. Hidup UAI, tganu kiter. Pastu tu semua anak kita cakap tgnu. Makang ikang, dok gheti dah cakap baku. UAI wa salute u.

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates