Friday, June 28, 2013

Ketua Wanita Umno: Azalina Cabar Shahrizat


Bekas Ketua Puteri Umno Datuk Seri Azalina Othman Said bersedia mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti hujung tahun ini.

Menurut akhbar The Star, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang ketika dihubungi, berkata: "Ya, saya berminat untuk bertanding. Saya telah membuat keputusan."

Akhbar itu melaporkan Shahrizat juga mengesahkan bahawa beliau berhasrat untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita yang dimenangi beliau pada tahun 2009 selepas menewaskan Tan Sri Rafidah Aziz.

Shahrizat, dengan kerjaya politiknya yang terjejas oleh skandal Pusat Fidlot Nasional atau NFC tahun lalu, berkata keputusan beliau berdasarkan galakan dan sokongan daripada sayap wanita.

Persaingan antara kedua-dua wanita itu mungkin akan diberikan perhatian dalam pemilihan parti berikutan ia melibatkan dua personaliti besar dan berkepentingan.

Shahrizat berada dalam Kabinet selama 11 tahun dan merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum didesak untuk meletak jawatan pada Mac tahun lalu.

Beliau tidak bertanding dalam pilihan raya umum dan walaupun masalah melanda beliau, sayap wanita itu terus berdiri di bawah pimpinan beliau seperti yang dibuktikan semasa perhimpunan secara besar-besaran di peringkat akar umbi Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika kemuncak skandal itu.

Ditanya sama ada beliau mempunyai pesaing yang akan bertanding dalam jawatan itu, beliau berkata, beliau akan berbincang dengan penyokong beliau.

Beliau juga berkata, beliau belum lagi bertemu dengan Pengerusi Umno, Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara itu.

Azalina, seorang bekas menteri dan Ahli Parlimen wanita menawarkan dirinya sebagai ejen perubahan untuk Wanita Umno.

Beliau berkata, generasi baru wanita Melayu telah muncul dalam Umno dan mereka boleh membantu membuatkan sayap wanita itu lebih menarik dan relevan dengan landskap politik baru.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil:

Tarikh lahir: 15 Ogos 1953

Pada masa ini merupakan Ketua Wanita Umno, dan merupakan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai dari 1995 sehingga 2008. Senator dari 2008 sehingga 2012.

Pernah terbabit dalam kontroversi yang melanda ahli keluarganya yang didakwa menyalahgunakan wang rakyat dalam skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Isteri kepada Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan memperoleh tiga anak.

Datuk Seri Azalina Othman Said:

Tarikh lahir: 31 Disember 1963

Merupakan Ketua Puteri Umno dari 2002 sehingga 2004.

Ahli Parlimen Pengerang dari 2004.

Merupakan pemegang tali pinggang hitam taekwondo.

2 comments:

Anonymous said...

Dengan berbekalkan kertas kerja sahaja tanpa rekod perniagaan,laki Sharizat diberi pinjaman mudah RM 250 juta.Aku yang dah berniaga 3 tahun tetapi nak dapatkan pinjaman RM 1 juta dari agensi kerajaan seperti PUNB/SME Bank/SME Corp pun ditolak tanpa sebarang sebab.Tapi aku tau punca ditolak sebabnya isteri aku bukan Menteri atau Ahli Politik.Last2 bank swasta milik cina yang beri aku pinjaman.

Anonymous said...

Aku berharap sangat kali ini PAU dilakukan dengan bijaksana oleh orang orang UMNO...Dan aku berharap serta berdoa kepada ALLAH supaya NAJIB,HISHAM,NAZRI,ramai lagi agar kalah serta dinyahkan dari jawatan .