Thursday, August 15, 2013

Pemuda UMNO Kutuk Kekejaman Tentera Mesir


Pergerakan Pemuda UMNO mengutuk keganasan yang dilakukan pihak berkuasa Mesir terhadap penyokong bekas Presiden negara itu yang digulingkan, Mohammed Mursi.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, Pemuda UMNO mengecam kegagalan pihak berkuasa sementara Mesir menangani masalah di negara itu hingga mengorbankan ramai nyawa sehingga hari ini.

“Ketika umat Islam di seluruh dunia bergembira menyambut Aidilfitri yang baru melepasi minggu pertama Syawal, saudara-saudara kami di Mesir berada dalam ketidaktentuan akibat perbalahan politik sesama sendiri.

“Terbaharu, pihak berkuasa Mesir menggempur penyokong bekas Mursi dan mengakibatkan banyak kematian dalam kalangan orang awam. Operasi ini merupakan satu kekejaman yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, pihak berkuasa Mesir perlu sedar kekecohan di negara itu akibat rampasan kuasa yang dilakukan terhadap pemerintahan Morsi yang dipilih sebagai Presiden melalui proses pilihan raya yang sah.

Jelas beliau, apabila pihak tertentu melanggar prinsip demokrasi dengan menggulingkan Mursi, ia secara jelas mengkhianati amanah rakyat.

Justeru Pemuda UMNO menggesa pihak berkuasa Mesir menghentikan serta-merta tindakan membunuh penunjuk perasaan dan berharap perisytiharan darurat ditarik balik selari dengan semangat dan kemuliaan bulan Syawal.

Dalam pada itu, katanya, Pemuda UMNO meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Liga Arab mengadakan mesyuarat segera dan menetapkan resolusi bagi membolehkan campur tangan kemanusiaan di Mesir.

“Pemuda UMNO juga ingin menasihatkan rakyat Malaysia di Mesir terutama pelajar supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa di laman-laman sosial dan berhubung dengan Kedutaan Malaysia di sana bagi mengetahui kenyataan rasmi negara dan Kementerian Luar,” katanya.