Showing posts with label Balak. Show all posts
Showing posts with label Balak. Show all posts

Sunday, February 24, 2013

PAS Rakus - Lagi Balak Ditebang Di Kedah


JITRA: Belum pun reda isu pembalakan berhampiran Tasik Pedu di Padang Terap dan Gunung Inas di Baling, kini satu lagi kawasan seluas 925 hektar di Wang Perah dalam daerah Kubang Pasu ditebang licin, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah Datuk Mohd Johari Baharom.

Beliau mendakwa operasi penebangan balak membabitkan seluas 145 hektar dalam kompartmen tujuh di Wang Perah dikesan bermula awal tahun ini manakala penebangan seluas 780 hektar lagi dalam kompartmen lapan telah diluluskan oleh kerajaan negeri.

Mohd Johari mendakwa tanah 145 hektar itu dipecah kepada 63 lot dan diberi kepada pegawai-pegawai tinggi kerajaan Kedah manakala 780 hektar lagi hutan dalam kompartmen lapan telah diluluskan kepada pegawai-pegawai tadbir negeri Kedah (KCS).

"Saya tidak pertikai kerajaan negeri hendak beri tanah itu kepada siapapun asalkan ia di kawasan sesuai, tidak menjejaskan ekosistem dan mencemarkan alam sekitar tetapi pemberian tanah ini nampak macam ada mainan politik.

"Pemberian tanah adalah hak kerajaan negeri namun kepentingan penduduk berhampiran mesti diambil kira walaupun ia bukan kawasan tadahan air," kata Mohd Johari kepada pemberita semasa meninjau kawasan pembalakan di Wang Perah, dekat sini, hari ini.

Beliau yang juga anggota Parlimen Kubang Pasu dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyifatkan kerajaan PAS Kedah tidak bertanggungjawab dalam meluluskan kawasan pembalakan.

Beliau berkata garis panduan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pembalakan membabitkan kawasan melebihi 50 hektar perlu mendapat kelulusan kesan terhadap alam sekitar (EIA).

"Saya difahamkan kawasan yang telah ditebang licin ini tidak langsung ada laporan EIA. Kalau dirujuk pun kepada kementerian pasti laporan yang dikemukakan tidak betul.

"Bila musim hujan pasti akan berlaku hakisan tanah yang teruk dan tanah yang dihakis memasuki Sungai Kecil dan Sungai Temin. Keadaan ini akan menyebabkan sumber air kedua-dua sungai itu terjejas.

"Akibatnya loji air Bukit Temin dan Jeragan serta bekalan air yang diperoleh dari kedua-dua sungai itu untuk pertanian kepada lebih 10 kampung juga terjejas," katanya.

Mohd Johari berkata beliau akan membuat surat bantahan rasmi kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak serta meminta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar lebih efisien dalam mengambil tindakan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Wang Perah, Abu Bakar Saleh, 43, berkata penduduk kampung sangat sedih kerana kerajaan negeri membelakangkan kepentingan mereka.

"Kerajaan negeri sewajarnya menilai kerosakan akibat penerokaan kawasan ini. Kebun dan dusun kami di sini tentu akan terjejas dalam masa beberapa tahun sahaja," katanya dan memberitahu akan mendesak menteri besar mengarahkan aktiviti pembalakan di Wang Perah dihentikan segera.

Che Tom Musa, 62, pula meminta kerajaan PAS Kedah tidak terlalu rakus meneroka kawasan balak.

"Kami penduduk asal di sini tidak langsung dipandang. Sepatutnya kalau nak bagi tanah bagilah kepada kami dan penduduk-penduduk kampung yang tinggal di sini," katanya.

AntaraPos

Monday, October 29, 2012

MB Kedah Dicabar Akui Kerugian Projek Pembalakan Di Papua New Guinea


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dicabar mengakui kerugian projek pembalakan di Papua New Guinea.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Azizan perlu mengakui projek pembalakan yang bernilai jutaan ringgit di Papua New Guinea adalah merugikan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang dikeluarkan baru-baru ini.

“Kalau dah rugi berniaga pembalakan sampai berjuta-juta ringgit, mengaku sajalah.

“Dia sebagai MB mana boleh kata saya tak tahu. Ketika itu Kedah Corporation Berhad (KCB) adalah di bawah kelolaan MB. MB kena bertanggungjawab kepada projek perniagaan itu,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyempurnakan majlis korban perdana di Masjid Felda Lubuk Merbau di sini, semalam.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah berkata, Azizan tidak seharusnya mencari kesalahan orang lain apabila diri sendiri melakukan kesalahan.

“Hari ini (semalam) dalam surat khabar dia kata nak dedah projek BN yang sakit. Projek itu ada, tapi dia langsung tak ada, tapi rugi berjuta-juta ringgit

“Maknanya dia patut bertanggungjawab. Saya cabar dia mengakulah projek itu rugi,” katanya.

Mengenai projek padang golf di Langkawi, Mahdzir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pedu berkata, sepatutnya projek itu diteruskan oleh Kerajaan Negeri setelah BN tewas dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU-12) pada 2008.

“Projek itu sebenarnya sedang berjalan tapi sampai 2008 kita kalah, dia menang. Sepatutnya dia sambung projek itu, tapi dia tak sambung.

“Dia tak nak sambung sebab dalam itu ada tanah Melayu Islam Kedah (MIK) dan tanah Kerajaan Negeri yang perlu digabungkan untuk buat padang golf. Tapi dia tak sambung,” katanya.

Katanya, niat BN pada ketika itu adalah untuk membangunkan sebuah padang golf bertaraf antarabangsa agar orang ramai boleh mengadakan pertandingan di situ.

“Tapi hari ini (semalam), dia kata projek ini tak berjaya. Sebenarnya bukan tak berjaya, tapi sebab kita kalah dalam PRU12 pada tahun 2008, kita tak dapat sambung sebab dia dah jadi kerajaan,” katanya.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, Kerajaan Negeri terpaksa menanggung hutang yang ditinggalkan BN sejak mengambil alih pemerintahan.

Laporan itu menyebut, Azizan mengambil pendekatan ‘menyerang balik’ pemimpin BN yang sejak kebelakangan ini sering menyalahkan Kerajaan Negeri, terutama dirinya berhubung dakwaan penyelewengan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Beliau yang sebelum ini mengambil sikap berdiam diri, kini mendedahkan empat projek bawah kerajaan BN yang gagal sehingga menyebabkan Kerajaan Negeri menanggung hutang.