Showing posts with label Bubar parlimen. Show all posts
Showing posts with label Bubar parlimen. Show all posts

Wednesday, April 3, 2013

#PRU13 - Laporan Penuh Pembubaran Parlimen


Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuatkuasa Rabu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan.

Dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung melalui televisyen, Najib berkata beliau telah menghadap dan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk membubarkan Parlimen Ke-12 Selasa.

Beliau turut menasihati semua kerajaan negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kecuali Negeri Sembilan dan Sarawak, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.

DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.

Sarawak mengadakan pilihan raya negeri pada 16 April 2011 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 55 daripada 71 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Berikutan pengumuman pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menetapkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian.

Mandat kerajaan semasa akan berakhir pada 28 April 2013.

Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

Berdasarkan daftar pengundi terkini, jumlah pemilih berdaftar di seluruh negara ialah 13.3 juta orang yang berdaftar sehingga Disember 2012.

Sejumlah 222 kerusi parlimen akan dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini termasuk termasuk 31 kerusi di Sarawak, manakala 505 kerusi DUN, akan dipertandingkan di peringkat negeri.

Ketika Parlimen dibubarkan, komposisi di Dewan Rakyat menyaksikan BN menguasai 137 kerusi, manakala selebihnya disandang DAP (29), PAS (23) ,Parti Keadilan Rakyat (PKR) (23) kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) masing-masing satu kerusi. Lapan lagi kerusi disandang anggota Parlimen Bebas.

Pada pilihan raya umum 2008, BN gagal menguasai majoriti dua pertiga Dewan Rakyat setelah hanya menang 140 kerusi berbanding pakatan pembangkang 82 kerusi.

Selain gagal menguasai Kelantan, BN juga gagal mempertahankan pemerintahan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Perak bagaimanapun kembali kepada BN kira-kira setahun kemudian setelah tiga wakil rakyat yang dipilih mengisytiharkan sokongan mereka kepada BN.

Pilihan raya umum kali ini ialah yang pertama buat Najib yang akan memimpin jentera BN selepas mengambil-alih jawatan perdana menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009.

Bagi SPR pula, ia akan melaksanakan lapan elemen baharu dalam pilihan raya umum kali ini sebagai langkah penambahbaikan perjalanan pilihan raya selaras dengan cadangan yang terkandung dalam laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Penambahbaikan Pilihan Raya yang dibentangkan di Parlimen pada 3 April lepas.

Lapan elemen itu termasuk penggunaan dakwat kekal, pengundian awal untuk menggantikan undi pos bagi anggota polis dan tentera, membenarkan undi pos bagi masyarakat Malaysia di luar negara dan warga media serta dan menetapkan tempoh kempen tidak kurang 10 hari.

Selepas pilihan raya umum ke-12, sebanyak 16 pilihan raya kecil diadakan, ekoran kematian dan peletakan jawatan, iaitu enam bagi kerusi parlimen dan 10 kerusi DUN, yang menyaksikan masing-masing lapan kerusi dimenangi BN dan pembangkang.

Pilihan raya kecil Parlimen ialah bagi kerusi Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Hulu Selangor, Sibu dan Batu Sapi manakala pilihan raya kecil DUN ialah di Bukit Selambau, Batang Ai, Manek Urai, Permatang Pasir, Penanti, Bagan Pinang, Galas, Batu Sapi, Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Jumlah pilihan raya kecil berkenaan antara yang terbanyak dalam sejarah pilihan raya negara selepas penggal 1995 hingga 1999 menyaksikan 17 pilihan raya kecil diadakan. -Bernama

#PRU13 - Foto DS Najib Razak Menghadap Yang Di-Pertuan Agung! Parlimen Bubar Hari Ini?


Perdana Menteri, DS Najib Razak dijangka akan membuat pengumuman penting pada pukul 11.30 pagi ini selepas mempengerusikan muesyuarat kabinet.

Mesyuarat tersebut dijangka merupakan mesyuarat terakhir jika Parlimen dibubarkan hari ini. Najib Razak telah menghadap Yang Dipertuan Agung di antara jam 8.30 hingga 9.15 pagi tadi.

Nantikan pengumuman Najib Razak jam 11:30 pagi ini di RTM1

Tuesday, April 2, 2013

#PRU13 : Berkemungkinan Besar Esok Parlimen Akan Dibubarkan?


Berkemungkinan besar esok Datuk Seri Najib akan mengumumkan pembubaran parlimen, sumber dipetik dari laman portal mynewshub.my yang merujuk kepada beberapa fakta besar kearah pembubaran parlimen.

Selain sesi gambar terakhir Kabinet, beberapa sebab mengapa esok mungkin berlaku pembubaran, atau paling tidak hari Khamis adalah berdasarkan fakta bahawa;

1. Rabu ini cukup 4 tahun Datuk Seri Najib Tun Razak menjawat jawatan Perdana Menteri (dilantik pada 3 April 2009).

2. Tempoh perayaan Chin Beng (masyarakat Cina melawat dan membersihkan pusara nenek moyang) akan tamat.

3. Perdana Menteri seperti biasa akan mengadap Yang Dipertuan Agong pukul 8 pagi Rabu ini sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet, mungkin beliau akan mendapatkan perkenan untuk pembubaran.

-Ramai menjangkakan Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen selepas mesyuarat Kabinet.

4. Satu program besar akan berlangsung hujung minggu ini (yang selalunya hanya akan diadakan selepas pembubaran Parlimen)

**Namun semua itu hanya bersandarkan jangkaan semata-mata.

Kepada rakyat Malaysia.... marilah kita bersama-sama menyokong Barisan Nasional (BN) dibawah kepimpinan Datuk Seri Najib. Ini kerana UMNO/BN sudah terbukti berjuang untuk agama, bangsa dan negara!

Wednesday, March 13, 2013

Parlimen Bubar Petang Ini?


Twitter Berita Harian dengan sepotong gambar menunjukkan kereta rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan Istana Negara telah mencetus khabar angin bahawa Parlimen akan dibubar hari ini.

Berita Harian memuat naik mesej Twitter : “Kelihatan kenderaan rasmi Perdana Menteri keluar dari Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.”

Mesej itu dimuat naik pada 11.29 pagi tadi.

Sejurus kemudian, akaun Twitter Berita Harian dihujani berdozen-dozen mesej respons, kebanyakannya membuat spekulasi tentang pembubaran Parlimen.

Bagaimanapun, seorang pegawai khas di Pejabat Perdana Menteri memberitahu ABN News ia adalah satu kebiasaan bagi Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mesyuarat Kabinet diadakan.