Showing posts with label Ezam. Show all posts
Showing posts with label Ezam. Show all posts

Monday, June 3, 2013

Ezam Dedah 3 Perkara Paling Anwar Takuti


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa menganjurkan siri perhimpunan haram di seluruh negara kerana mahu mengalih tumpuan rakyat daripada tiga perkara yang paling ditakutinya.

Ketiga-tiga perkara itu ialah rayuan kes liwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, isu pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah dan pendedahan bekas rakan karibnya, Datuk S. Nallakaruppan berhubung aktiviti seks beliau,

Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berkata, Anwar akan memastikan ketiga-tiga perkara tersebut 'dilenyapkan' daripada minda rakyat walaupun tindakannya itu akan mengundang kemudaratan terhadap agama, bangsa dan negara.

"Anwar sememangnya cenderung untuk melakukan pelbagai tindakan terdesak bagi memastikan 'pekung' di dadanya tersisip rapi dalam bajunya kerana beliau tahu ketiga-tiga perkara itu akan menyebabkan karier politiknya boleh terkubur.

"Jadi, dalam tindakan terdesak terbaharunya ini, beliau mengheret penyokongnya untuk turun ke jalan supaya perhatian rakyat teralih daripada isu sebenar yang menyelubungi Anwar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ezam berkata, politik yang dibawa Anwar bukan berlandaskan menyelesaikan masalah rakyat atau negara tetapi semata-mata untuk memuaskan nafsu peribadinya sahaja.

Bukti paling jelas, katanya, ialah pendedahan sahabat karib Anwar iaitu bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla yang memberitahu Ketua Pembangkang itu sanggup berbohong dan mengkhianati janji kerana mahu menjadi Perdana Menteri.

"Setiap rakyat yang waras seharusnya sudah nampak jelas jenis pemimpin apa Anwar ini, iaitu jenis pemimpin yang mempergunakan rakyat bagi menyelesaikan masalah peribadinya bukan pemimpin yang sanggup berkorban kepentingan peribadinya untuk rakyat.

"Negara ini sudah terlalu lama menjadi mangsa pemimpin songsang ini dan memang sampai masanya untuk riwayat politik songsang Anwar ditamatkan demi kepentingan rakyat dan negara," tegasnya.

Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, secara lazimnya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan bersungguh-sungguh mencipta suatu peristiwa besar bagi melindungi kegelisahannya maka sebab itu perhimpunan haram digerakkan.

"Anwar telah menggerakkan segala jentera PKR untuk menjayakan perhimpunan haram, biarpun gagal mendapat sokongan penuh daripada pemimpin tertinggi Pas dan DAP. Ternyata perhimpunan tersebut adalah agenda peribadi beliau, tetapi menipu penyokong pembangkang dan rakyat Malaysia kononnya untuk menyelamatkan negara,'' ujarnya.

Seorang lagi bekas Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, Muhamad Rahimi Osman berkata, Anwar kini benar-benar terdesak untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap segala isu yang dihadapinya.

Jelasnya, terlalu banyak dosa Anwar kepada negara, sehinggakan Ketua Pembangkang itu tidak lagi mampu menjawab satu persatu isu tersebut dan cara terbaik bagi melarikan diri adalah dengan menghasut rakyat turun ke jalanan atas sesuatu perkara yang remeh dan tidak benar.

"Anwar juga risau dengan tindakan undang-undang yang akan diterimanya jika disabitkan bersalah atas tiga isu tersebut, jadi, tindakan berhimpun ini juga adalah usaha menakut-nakutkan kerajaan agar menunjukkan dia masih popular dalam kalangan rakyat.

"Saya gesa rakyat agar tidak percaya kepada Anwar dan kerajaan tidak akan sekali-kali membiarkan beliau bebas bermaharajalela atas segala kesalahan yang telah dilakukan," tegasnya.

-Utusan

Sunday, February 17, 2013

PRU 13 Bukan Pertarungan Biasa - Ezam


Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang bakal diadakan tidak lama lagi dilihat bukan sekadar pertarungan biasa, sebaliknya ia melibatkan misi mempertahankan kedaulatan dan pengaruh negara.

Senator Mohamad Ezam Mohd Noor mendakwa, negara ini dikatakan sedang ‘diintai’ pihak asing dalam usaha mengekalkan kuasa memandangkan kedudukannya yang strategik serta menjadi penghubung jalan timur dan barat.

Beliau mendakwa, jika rakyat silap membuat percaturan, negara bakal dikuasai pihak asing yang mempunyai kuasa besar.

“Jangan sampai orang asing yang tentukan (agenda negara). Agenda itu agenda kita, (kalau) hendak tukar kerajaan itu pun kita yang tentukan.

“Jangan jadi seperti negara luar yang hancur kerana mereka mahu berkuasa,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jom Tolak Pakatan, malam kelmarin.

Ezam mendakwa, pihak berkepentingan itu menggunakan individu, agensi atau badan bukan kerajaan (NGO) dengan menyalurkan dana kepada institusi terlibat bagi menjayakan rancangan tersebut.

“Hanya mereka yang terdesak saja sanggup jadi alat kuasa asing. Kuasa-kuasa besar asing ini memang cari orang seperti ini yang tiada prinsip moral, gila kuasa dan sanggup gadaikan (negara).

“Ia untuk melemahkan dan merosakkan institusi asas (dalam negara) supaya ranap dan rosak,” katanya.

Justeru, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu mengingatkan kepentingan masyarakat berjiwa besar untuk melawan cabaran dan serangan yang turut disifatkan besar kerana harga pengaruh sebuah negara itu sangat mahal.

“Tolak tepi buat kali ini bahang-bahang politik sempit, kepentingan-kepentingan di negeri-negeri untuk kita mempertahankan kedudukan (negara).

“Bila ada perubahan kita kena terima, sebab kita berjuang untuk perubahan, bukan pangkat. Dalam keadaan hari ini, kita kena terima untuk bergerak senada dengan negaranya. Tak ada maknanya negara hebat, tapi kita berjiwa kecil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Barisan Nasional (BN) bukan sebuah parti yang terdesak sehingga sanggup menggadaikan prinsipnya.

Katanya, fakta itu mempunyai asasnya apabila ia disokong oleh laporan badan penyelidikan global, Economist Intelligence Unit (EIU) bahawa BN akan terus berkuasa dan menang dalam PRU13 kerana pemerintahan parti itu yang disifatkan rasional.

-SH

Monday, October 15, 2012

Ezam: Lihat Pertemuan Najib-Soros Dari Sudut Berbeza


Senator Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan George Soros harus dilihat dari perspektif yang berbeza, yang dilakukan oleh seorang yang berstatus"pesaing" atau "hamba."

“Berjumpa antara seorang pesaing atau lawan dengan berjumpa antara tuan dengan hamba tentulah berbeza,” kata Ezam menjawab kritikan beberapa pihak susulan pengakuan Najib, kelmarin, bahawa beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Soros dua tahun lalu.

Menerusi kenyataan SMS dikeluarkan hari ini, Ezam berkata, Rasulullah SAW juga pernah berjumpa dengan beberapa orang ketua Yahudi dan Quraish yang menjadi lawannya.

Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Najib dan Soros adalah pesaing dalam kelas mereka tersendiri.

"Kebiasaanya, seorang jeneral perang zaman dulu dan kini berjumpa lawan mereka... begitulah Tun Mahathir dan Najib berjumpa Soros sebagai pesaing yang masing-masing memegang kepentingan berbeza," katanya.

Namun, Ezam menyelar tindakan sesetengah pihak yang mendakwa pertemuaan antara Najib dan Dr Mahathir dengan Soros sesuatu yang meragukan dan mempunyai agenda.

Tambah Ezam, apa yang terjadi di beberapa negara jelas menunjukkan Soros sebagai seorang berpengaruh untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan jika ia tidak dibendung dari awal.

"Dalam konteks ini, Soros jelas daripada apa yang berlaku di Georgia, Hungrary, Mesir dan banyak lagi negara-negara lain adalah seorang tuan yang mempunyai agenda dan niat jahat untuk meruntuhkan asas, nilai budaya, agama di sesebuah negara dengan diganti nilai liberal tanpa batas dengan topeng hak asasi manusia dan demokrasi," katanya lagi.

Pada 20 April 2010, Ezam pernah mendedahkan orang-orang kepercayaan Anwar, termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Azmin Ali pernah mengadakan pertemuan dengan Soros di Amerika Syarikat pada tahun 2003.

Ezam ketika itu masih menjadi Ketua Angkatan Muda Keadilan mendedahkan pertemuan orang-orang kepercyaan Anwar dengan Soros itu diatur oleh Elizaberth Wong, yang kini merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor.-SH

Monday, March 26, 2012

Perang Besar Dah Bermula.... Nalla Tunggu Surat Saman Dari Anwar


Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim merasa beliau sudah dapat tutup mulut Senator Datuk S Nallakarupan yang dakwanya biseksual dengan menghantar notis 48 jam tuntutan RM100 juta Khamis lalu…nampaknya beliau silap besar.

Pagi Sabtu bekas rakan tenis Anwar semasa beliau Timbalan Perdana Menteri dulu,tampil adakan sidang akhbar bersama rakan-rakannya Senator Ezam Mohd Nor,Ummi Hafilda Ali dan Anuar Shaari.Hadir sama peguam Nalla yakni Hasnal Rezua Merican.

Pada sidang akhbar di Kuala Lumpur yang dihadiri ramai wartawan dan jurugambar itu, Nalla menegaskan beliau TAK AKAN LAYAN notis tuntutan itu dan kini tertunggu-tunggu surat saman segera dari Anwar agar mereka dapat bersemuka di mahkamah.

Notis berkenaan tuntut beliau tidak lagi bercakap mengenai Anwar."Notis ini...saya tidak akan jawab.Berapa cepat dia boleh bawa saya ke mahkamah...saya gembira ..saya mahu jumpa dia di mahkamah",ujarnya.

"Dia mahu tutup orang punya mulut....bila kita buka dia mahu tutup pasal undi ( pilihanraya) sudah mahu mari dekat...saya mahu jumpa dia dii mahkamah...saya akan dedah mengenai dia dalam mahkamah.

"Dia (notis) itu minta saya jangan cakap pasal dia...saya akan terus cakap pasal dia hingga dia bawa saya ke mahkamah,"kata Nalla.

Serentak dengan itu beliau mendakwa notis tuntutan itu hanya gempak ‘cover line’ Anwar untuk tunjuk kepada rakyat beliau sudah ambil proses undang-undang terhadap dakwaan itu semata-mata kerana pilihanraya umum ke 13 sudah dekat.

Ini,katanya melihat pada hakikat kebelakangan ini Anwar hanya diam tidak buat apa sekalipun beliau membuat berbagai dakwaannya terhadapnya dari masa ke semasa sejak keluar dari PKR pada tahun 2007.

Pada tahun 2008 Anwar menghantar satu notis seumpama itu pada satu dakwaannya yang lain.Namun Ketua Umum PKR itu tidak ambil langkahfollowup untuk samannya.



Isnin lalu,dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur ,Nalla secara terbuka dakwa Anwar biseksual dan mahu beliau menyamannya jika itu fitnah.

Esoknya, Naib Presiden PKR yang juga seorang peguam, N Surendran buat kenyataan kata Anwar akan hantar notis tuntutan RM100 juta kepada Nalla.

Turut kena notis berkenaan ialah akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkan dakwaan Nalla.

Nalla kata beliau terima notis 48 jam itu Khamis.

Beliau juga hairan mengapa Anwar hantar notis tuntutan pada Utusan sedangkan akhbar itu cuma melaporkan apa yang beliau kata.

Menjawab soalan lain,Nalla menegaskan orang akan tahu siapa Nalla dan siapa Anwar bila di mahkamah nanti.

Ditanya pula bagaimana nanti jika Anwar tidak samannya atau jika saman pun kes ini meleret bertahun-tahun lamanya,Nalla berkata beliau akan terus dan terus bercakap pasal Anwar.

Ezam pula menyifatkan notis Anwar cuma satu tindakan politik untuk menghadapi pilihanraya umum yang semakin hampir dan bukan untuk mencari kebenaran.

Beliau memberitahu bukti yang paling jelas ialah keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2004.

"Saya masih ingat sebab saya ada sebelah beliau ( waktu itu). Mahkamah Persekutuan 2004 yang membebaskan beliau tetapi dalam penghakiman bertulis oleh tiga hakim termasuk Tun Hamid Omar,Ketua Hakim Negara waktu itu menyatakan dengan jelas Anwar mengamal homoseks...jadi apa yang Datuk Nalla sebut ( Anwar biseksual) bukan perkara baru,"katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa sejak tahun 2004 Anwar tidak ambil tindakan membersihkan namanya dari keputusan yang secara jelas sebut beliau seorang pengamal homoseks.

Katanya sudah lapan tahun berlalu Anwar tidak meminta peguamnya ketepikan perkara pengamal homoseks berkenaan dalam keputusan bertulis hakim.

"Mengapa Anwar tak buat permohonan itu walhal ( dia ada beritahu saya) dia nak buat...dia tidak buat sebab apa ..sebab dia tahu kebenaran tidak berpihak kepada beliau,"ujar Ezam.

Bekas Setiausaha Politik Anwar itu menegaskan beliau sendiri berpendirian bahawa Anwar adalah pengamal homoseks berdasarkan keputusan penghakiman berkenaan.

Ezam turut memberitahu selain notis yang tidak ada followup pada Nalla tahun 2008 …perkara sama juga berlaku pada notis Anwar pada bekas Timbalan Presiden PKR,Dr Chandra Muzaffar.





Katanya jika tidak betul dakwaan itu,Anwar sepatutnya sudah mengarahkan peguamnya meminta mahkamah membatalkan perkara itu dalam keputusan bertulis berkenaan.

Ummi yang menyifatkan sidang akhbar bersama mereka itu sebagai tanda bermulanya ‘ perang nuklear’ terhadap Anwar...secara terbuka mendakwa beliau mempunyai bukti gambar yang diambilnya sendiri pada 30 Jun 1997 menunjukkan Anwar masuk ke Tivoli Villa bersama isteri Azmin Ali yakni Shamsidar Taharin.

Dakwanya Anwar yang waktu itu Timbalan Perdana Menteri pergi ke situ menaiki kereta Nalla.

"Datuk Nalla bawa kereta Diamler,hijau tua ..WBP 37,"katanya.

Nalla mengesahkan beliau tahu bahawa Ummi mengintipnya di Tivoli Villa pada hari itu dan ambil gambar. " Saya tau...hari ini baru saya kasi keluar ini (cerita)...siapa ada dalam kereta nanti kita cakaplah...sekarang tak mau cakap,"katanya.

Mendengar ini Ummi pula terus jawab, " dengan Shamsidar dan Anwar....dia (Nalla) yang bawa."

Berhubung soal bukti,Ummi menegaskan disamping bukti yang mereka sendiri ada,video seks 99.9 peratus tulen Anwar dengan pelacur China yang didedahkan oleh trio Datuk T adalah sejelas-jelas bukti yang ada.

Namun beliau hairan melihat mentaliti sesetengah orang yang masih tidak mahu percaya sekalipun ada bukti sekukuh itu." Itu lebih dari bukti...dah ada depan mata pun cuba nak menafikan,"katanya.

Mengenai dakwaannya tentang skandal Anwar dan Shamsidar,Ummi kata beliau akan dedahkan lebih banyak lagi nanti.

Beliau bertanya mengapa Azmin sendiri tidak samannya tentang dakwaan melibatkan isterinya itu.

Katanya bukti yang ada padanya akan membuatkan Anwar dan Azmin ' lari tak cukup tanah'.

Nalla,Ezam,Ummi dan Anuar pada sidang akhbar itu juga secara bersama berikrar untuk terus berperang membuat pendedahan selanjutnya hingga menjelang PRU13 agar rakyat tahu perangai sebenar Anwar.

-Agendadaily

Saturday, January 21, 2012

Ezam: ‘Anwar, Azmin, Kak Wan Tetap Musuh Saya’


Ezam Mohd Noor berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Azmin Ali kekal sebagai musuh.

Bekas ketua AMK itu mahu ketiga-tiga pemimpin utama PKR itu memohon maaf kepada beliau dan keluarganya.

Anwar adalah ketua Pakatan Rakyat, Dr Wan Azizah isterinya adalah presiden PKR dan Azmin, timbalannya.
“Mereka tahu apa yang saya ketahui dan mereka tahu kebenaran,” kata senator lantikan Umno Selangor.

Dalam satu temubual di sini, Ezam mendakwa, Dr Wan Azizah yang kini presiden PKR bekerjasama dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun Azmin mendapat sokongan kuat Anwar, kata Ezam.

“Azizah tidak akan sama sekali bekerjasama dengan Azmin kerana hal-hal peribadi,” tambahnya.


Keluarga Anwar

Ezam berkata, beliau dan keluarganya menjadi sebahagian keluarga Anwar ketika Anwar dipenjarakan enam tahun atas salah guna kuasa pada tahun 1999.

Ezam yang ditahan ISA selama dua tahun pada 2001 tegas mengatakan enam kotak bukti rasuah kerajaan berada dengan Anwar.

“Saya tidak mengetahui isi kandungan kotak-kotak tersebut. Tetapi Dr Wan Azizah memberitahu saya 10 tahun lalu,” kata Ezam.

Isu kotak itu, menurut bekas orang kuat PKR, turut tercatat dalam penulisan pakar perlembagaan negara, Profesor Dr Abdul Aziz Bari, yang bertajuk Politik Perlembagaan.

Mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar dari tuduhan liwat ke atas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, Ezam sebaliknya percaya mahkamah telah membuat keputusan yang salah. -FMT

Saturday, November 19, 2011

Ezam Bidas Tuduhan Syed Husin Sebagai Seorang Tua Nyanyuk


Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Parti Keadilan Rakyat, Senator Ezam Mohd. Nor menafikan beliau keluar parti demi mengejar wang dan jawatan sebagaimana didakwa veteran parti itu, Dr. Syed Husin Ali dalam memoir terbarunya.

Sebagai membuktikan perkara itu, beliau mempersoalkan bagaimana seorang yang dikatakan memperoleh habuan wang dan jawatan boleh membuat serangan kepada kerajaan yang memerintah khususnya Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) pada tahun 2007.

Jelasnya, pada tahun itu beliau hanya memegang jawatan sebagai pengarah syarikat kecil, Syarikat Gerak Agenda Sdn. Bhd. yang bukan bermotif keuntungan sebaliknya ditubuhkan untuk memerangi rasuah.

"Saya tidak gemar dilihat bertengkar secara terbuka dengan seorang tua dan tidak berkuasa seperti Dr. Syed Husin.

"Justeru cukuplah rekod dan fakta yang ada boleh menjawab dakwaan beliau bahawa keputusan saya (keluar parti) kerana wang dan jawatan pengarah syarikat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam memoirnya, Dr. Syed Husin menulis bahawa Ezam pernah memberitahunya sebulan sebelum meletakkan jawatan, bahawa dia mengalami kesempitan wang dan malu kerana bergantung kepada pendapatan isteri.

Beliau juga didakwa berkata 'kena cari peluang' mendapatkan satu dua jawatan pengarah dan perkara itu hanya boleh menjadi kenyataan jika ada bukti beliau sudah meninggalkan parti.

Sambil menyindir Syed Husin sebagai seorang tua yang tidak kuat ingatannya (nyanyuk), Ezam berkata, penjelasan itu adalah sebagai respons kepada kekecewaan veteran itu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang didakwa hidup mewah.

"Pada ketika itulah saya kongsi dengannya bahawa saya memang susah. Selama berjuang bergantung gaji tetap isteri dan usaha niaga di Indonesia yang pada masa itu kebetulan sedang merosot dan ditutup.

"Justeru cerita saya susah kepadanya dalam konteks itu, bukan dalam konteks keluar parti," katanya.

Ezam berkata, beliau banyak menghabiskan masa minum teh bersama Syed Husin dan mendengar aduan beliau yang kecewa disisihkan Anwar dan Azmin walaupun menjadi timbalan presiden.

Katanya, atas dasar kemewahan Azmin itu, maka Syed Husin memujuk beliau tidak keluar parti bagi menghalang Azmin menguasai parti kerana tidak rela orang seperti Azmin menggantikan tempat beliau.

Sunday, August 14, 2011

Kenyataan Bakar Malaysian Insider, Malaysiakini Ezam Sifatkan Koh Tsu Koon Tak Faham Dan Dangkal


Senator Ezam Mohd Nor, hari ini berkata kenyataan Koh Tsu Koon semalam, yang menyelar beliau berhubung isu bakar portal Malaysian Insider, Malaysiakini adalah dangkal dan tidak faham maksud sebenar yang disampaikan olehnya.

"Saya rujuk kenyataan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang disiarkan Malaysian Insider pada 13/8 menyelar ucapan saya yang mahu bakar portal Malaysian Insider dan Malaysiakini.

Jelas sekali kenyataan beliau dangkal, tidak faham maksud sebenar bakar portal berita dialam siber, bagaimana bakar entiti dialam siber? katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya lagi, "ucapan saya jelas rujuk kepada berita portal bukan reporter atau bangunan mereka. Justeru ianya jelas simbolik kemarahan terhadap kebiadapan portal berita itu kepada agama islam yang merupakan agama rasmi negara ini."

"Sebelum ini saya biarkan kenyataan dangkal PKR dan kuncu desak tindakan terhadap saya sebagai satu jenayah termasuk samakan bakar portal news dengan kebakaran rusuhan London kerana jelas satu perbandingan bodoh.

"Tetapi bila seorang menteri bersuara saya wajar jawab. Cuma hairan mengapa cepat selar ucapan saya tetapi biarkan portal berita itu membakar hati umat Islam di negara ini sekian lama? Saya ingatkan menteri yang jaga perpaduan ini."katanya.

Tambah Ezam lagi, "kesan hati umat yang dibakar lebih parah dan boleh hancurkan perpaduan".

Terdahulu Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari menyelar tindakan Senator Ezam Mohd Nor yang mengugut mahu membakar pejabat portal berita The Malaysian Insider dan Malaysiakini yang beliau dakwa sebagai ejen pengkhianat Islam.

Tegas Koh, tindakan Ezam, bekas pengikut setia Datuk Seri Anwar Ibrahim, sangat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima.

Beliau juga berkata tindakan Ezam itu terlalu mengikut perasaan apabila mengulas tentang kontroversi “serbuan” ke atas Gereja Methodist Damansara Utama oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 3 Ogos lalu.

Politik Harian/Bro Jinggo