Showing posts with label Hishammuddin. Show all posts
Showing posts with label Hishammuddin. Show all posts

Monday, November 12, 2012

Nurul Izzah Politikkan Akidah @HishammuddinH20


Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar bahawa orang Melayu Islam boleh memilih agama di bawah faktor kebebasan agama boleh menimbulkan suasana yang bukan sahaja sensitif tetapi boleh menimbulkan kemarahan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tindakan itu bersifat mempolitikkan akidah dan menjadikan agama sebagai gadaian.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab untuk keselamatan, itu tidak akan kita benarkan.

"Jika dicampuradukkan politik dan pendekatan cakap tidak serupa bikin dengan agama dan isu kaum, ia memberi kesan yang boleh menjejaskan keselamatan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Rela Sabah Bersama Pemimpin di sini hari ini.

Hishammuddin berkata beliau ingin mengetahui jawapan Pas kepada hujah Nurul Izzah itu kerana dahulu Umno dikafirkan kerana berkawan dengan MCA dan Gerakan.

"Sekarang ini isu begitu sensitif, boleh diterima pula oleh Pas yang menunjukkan mereka tidak konsisten dalam pendirian mereka," katanya.

Laporan portal berita pro pembangkang pada 3 Nov memetik Nurul Izzah sebagai berkata:

Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.

"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," katanya.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk 'Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?' di Subang Jaya pada 3 Nov. - Bernama

Saturday, June 2, 2012

Pelancaran BN Pilihan Orang Muda Kedah Mendapat Sokongan Padu! #BNpilihanOrgMuda


Bersatu Bersetia Berkhidmat... Inilah keakraban Pemimpin UMNO Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin dan Dato' Mukhriz Mahathir melaungkan slogan 1 Malaysia.

Pelancaran jentera BN Jitra kedah

Pemuda Barisan Nasional dan Puteri Umno hari ini melancarkan Program ”BN Pilihan Orang Muda” Dan Jentera PRU13 Pemuda Dan Puteri BN peringkat negeri Kedah yang berlangsung di Dewan Besar IPG(IPDA) Jitra Kedah.

Program ini antaranya untuk menarik sokongan yang padu dari orang muda di samping itu Pemuda BN bersama Puteri UMNO juga akan memastikan golongan generasi muda/belia bersama-sama dengan pemimpin BN menerangkan pelbagai isu yang telah diputar belitkan oleh pembangkang yang bertujuan mencetuskan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.







Sunday, November 20, 2011

13 Ditahan ISA Di Tawau Amat Bahaya... Senjata Dan Bahan Letupan Ditemui!


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tetap mempertahankan tindakan menahan 13 orang di Tawau Isnin lalu di bawah ISA sekalipun dipertikaikan oleh Suruhajaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) dan parti-parti pembangkang kerana didakwa tidak hormati semangat pengumuman kerajaan untuk mansuhkan ISA.

Serentak dengan itu beliau membidas Suhakam sebagai tidak bertanggungjawab mendesak pembebasan mereka tanpa mengetahui latar belakang dan faktanya.

Beliau menjelaskan kumpulan 13 individu terbabit termasuk enam warga asing "tidak takut mati" dan "mahu mati jihad" amat berbahaya bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi seluruh rantau Asia Tenggara.

Beiau menyifatkan isu penahanan 13 individu terbabit sebagai "amat serius" dan berkata, pada ketika ini mereka sedang ditahan di pusat tahanan di Tawau.

Hishammuddin juga mendedahkan, operasi penahanan 13 individu yang dilaksanakan oleh unit khas anti keganasan polis turut menemui sejumlah besar senjata api dan bahan letupan.

Bercakap kepada wartawan selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Felda Bukit Tongkat di Kluang Sabtu,beliau menasihatkan pihak Suhakam supaya berjumpa dengannya terlebih dahulu di mana kementerian bersedia berkongsi maklumat tentang penahanan individu itu.

"Membuat kenyataan tanpa mengetahui latar belakang dan fakta, dan hendak membebaskan mereka yang cukup berbahaya itu adalah cukup tidak bertanggungjawab oleh Suhakam," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam yang menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya membebaskan 13 individu yang ditahan itu.

Hasmy di dalam kenyataan itu melahirkan rasa terkejutnya tentang tindakan menahan 13 individu itu termasuk enam warga asing di bawah ISA dan menyatakan ia bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk memansuhkan akta terbabit.

Menurutnya, Suhakam mahu kesemua mereka itu di hadapkan ke perbicaraan terbuka dan diwakili peguam.

Hishammuddin berkata, kenyataan Suhakam itu juga menimbulkan tanda tanya sama ada mereka benar-benar bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat untuk memikul tugas mereka.

"Jikalau mereka betul cuba membebaskan (13 individu) tanpa soal siasat dan tanpa mengetahui fakta, biarlah rakyat yang menilainya sendiri ke mana arah Suhakam pada masa ini," katanya.

Katanya, isu mengenai penahanan 13 individu itu tidak harus dipolitikkan dan ini kerana ISA hanya spesifik digunakan untuk tujuan memerangi keganasan dan tidak untuk tujuan politik.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, negara seperti Amerika Syarikat dan beberapa negara lain yang sering bercakap tentang hak asasi manusia juga mempunyai undang-undang menangani keganasan seperti Patriot Act dan Anti-Terrorism Act. -Agendadaily

Sunday, August 28, 2011

TPM, Hishammuddin, KJ, Ahmad Maslan, Puad Zarkashi Bidas Kenyataan Mat Sabu

Pimpinan tertinggi UMNO hari ini membidas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menganggap pihak komunis yang menyerang pasukan keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950 adalah merupakan hero sebenar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Timbalan Presiden Pas itu yang mengangkat pengganas komunis sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara.

Malah, Muhyiddin turut menyifatkan kenyataan Mohamad Sabu bahawa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan adalah sesuatu yang biadab.

“Kenyataan Mohamad Sabu ini adalah satu penghinaan dan pengkhianatan terhadap perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan tanah air.

“Sebaliknya beliau dengan angkuhnya telah mengangkat kezaliman pengganas komunis sebagai satu kemuliaan,” katanya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata, kenyataan Timbalan Presiden Pas itu telah menimbulkan kemarahan ramai warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keluarga anggota keselamatan yang terkorban akibat peristiwa itu.

‘‘Malah, tindakan beliau mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan juga menunjukkan perjuangan Pas ketika ini semakin songsang di bawah kepimpinan seperti Mohamad Sabu,” katanya.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya semalam menyiarkan kontroversi yang dicetuskan Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu apabila mendakwa Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.

Selain itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu, Mat Sabu turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah pegawai British.


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan Mat Sabu bahawa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan adalah satu penghinaan kepada rakyat negara ini.

“Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Mat Sabu dan menganggap bahawa beliau merupakan pemimpin yang tidak berkualiti langsung,” katanya.

Di Kuching, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pendapat bahawa anggota polis yang diserang dalam tragedi Bukit Kepong berkhidmat untuk penjajah tidak benar kerana mereka berjuang mempertahankan sebuah wilayah dalam sebuah negeri yang mempunyai sultan.

Katanya, PKM pula tidak pernah ikhlas memperjuangkan kemerdekaan negara kerana matlamat sebenar mereka adalah menyingkirkan raja-raja Melayu dengan cara menubuhkan sebuah republik.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kenyataan Mat Sabu itu termasuk mahu mengubah fakta sejarah menunjukkan pemimpin Pas kini semakin jahil terutamanya sejak menjadi ‘boneka’ DAP.

‘‘Faktor itu juga dipercayai menjadi punca apabila mereka menukar konsep perjuangan mereka kepada negara berkebajikan dan dikhuatiri mereka juga akan mengubah kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan manakala raja-raja Melayu dipinggirkan,” katanya.

Di Kota Bharu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Mat Sabu disifatkannya sudah hilang pedoman.

Sehubungan itu, katanya, beliau meminta rakyat menolak pemimpin terbabit yang mengagung-agungkan pengganas komunis kerana gerakan itu telah banyak membawa kemusnahan kepada negara.-UM