Showing posts with label MAGARAN. Show all posts
Showing posts with label MAGARAN. Show all posts

Thursday, August 4, 2011

MAGARAN Mahu Tubuh Suruhanjaya Di Raja Siasat Pelakon Video Seks


Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (MAGARAN) hari ini telah menghantar memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang mencadangkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Di Raja bagi mengenalpasti identiti lelaki dalam video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penasihat Undang-Undang MAGARAN, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, cadangan penubuhan suruhanjaya tersebut bagi mengenal pasti pelakon video seks tersebut, berdasarkan Seksyen 2 (1) (D) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

”Seksyen 2(1)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 ini memberikan kuasa kepada Duli Paduka Tuanku untuk menubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat apa-apa perkara yang berfaedah bagi kebajikan awam. Sesungguhnya hasil siasatan Suruhanjaya Di Raja nanti akan memberikan faedah kepada rakyat Malaysia keseluruhannya untuk memilih pemimpin terbaik untuk Negara.

Sehubungan dengan itu, saya mewakili rakan-rakan NGO, bloger dan facebooker serta rakyat biasa yang ingin mengetahui kebenaran, memohon kepada Tuanku Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi mengenalpasti identiti lelaki dalam rakaman video lucah yang di kaitkan dengan Dato Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Zubir Abdullah, wakil kepada Setiausaha Sulit Kanan YDP Agong sebentar tadi di Istana Negara.

Ujarnya, pada 21 hb Mac 2011, masyarakat dikejutkan dengan berita penayangan satu klip video lucah di Carcosa Sri Negara oleh pihak yang bergelar Dato T kepada sekumpulan wartawan.

Pada 22 hb Mac 2011, Ketua Pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim membuat satu laporan polis berkaitan penayangan video lucah di Carcosa Sri Negara dan seterusnya membuat satu sidang media menafikan beliau adalah pelaku dalam video seks berkenaan.

“Semenjak dari tarikh tersebut, masyarakat telah mula bertelagah dan berpolemik tentang siapa lelaki pelaku dalam video seks berkenaan tanpa ada kesudahannya sehingga menimbulkan suasana tidak selesa dan fitnah memfitnah di kalangan masyarakat. Semua kekusutan ini perlu di selesaikan dengan menurut saluran perundangan yang betul demi untuk mengelakkan fitnah terus berleluasa menjadi budaya di kalangan masyarakat kita.

Maka sebuah panel bebas sewajarnya di tubuhkan untuk menyiasat identiti siapa pelaku dalam video seks berkenaan. Ini kerana wujud kebarangkalian pelaku dalam video seks berkenaan berkemungkinan akan menjadi calon Perdana Menteri Malaysia,” tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama, ujarnya sebagai warganegara Malaysia yang menjunjung perlembagaan dan rukunegara serta nilai-nilai moral untuk terus maju ke hadapan dengan acuan kita sendiri, setiap daripada kita bukan sahaja seharusnya bersih tetapi seharusnya di lihat bersih, tanpa mengira status kita samada rakyat biasa atau pemimpin Negara.

Oleh itu, bagi menzahirkan kebenaran, sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, seluruh rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui samada Dato Seri Anwar Ibrahim adalah lelaki dalam rakaman video lucah itu atau tidak. Apa jua keputusan Suruhanjaya DiRaja ini akan menghentikan fitnah dan akan membolehkan pihak-pihak yang teraniaya untuk membersihkan nama masing-masing.

“Laporan siasatan Suruhanjaya Di Raja ini juga akan dapat menyelamatkan Negara daripada dipimpin oleh pemimpin yang berakhlak keji, yang berpura-pura dan hipokrit,” ujarnya lagi.

Sumber-Sahabat Gunung